Alhamdulillah, saya telah bersama hadir bagi merasmikan Majlis Apresiasi Wanita KEADILAN Melaka.
Turut hadir, Datuk Haji Azman bin Abidin, Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri KEADILAN Wilayah Persekutuan, Datuk Ginie Lim Ketua Penerangan Wanita KEADILAN Pusat serta Puan Mahani Masban, Ketua Wanita KEADILAN Melaka.
Pertemuan ini bukan sekadar sebuah majlis, tetapi ruang untuk kita para wanita duduk bersama, bertukar pandangan, mengimbas kembali perjalanan yang telah kita lalui dan yang paling penting, menguatkan semangat antara satu sama lain.
Penglibatan wanita dalam politik amat penting kerana suara dan pengalaman wanita perlu terus dibawa ke meja pembuat dasar dan proses membuat keputusan. Kehadiran wanita yang lebih ramai dan aktif dalam politik turut memperkayakan perspektif dalam memahami keperluan keluarga, komuniti serta masyarakat secara menyeluruh.
Setinggi-tinggi penghargaan atas jasa dan bakti yang telah dicurahkan. Terima kasih juga kepada semua pihak yang terlibat dalam menganjurkan program pada hari ini. Semoga pertemuan hari ini menjadi suntikan semangat untuk kita terus melangkah bersama.
Semoga segala usaha kita ini diberkati dan kita semua dilimpahi segala kebaikan di dunia dan di akhirat. Aaminn YRA
Hadir bersama Azizah untuk memberikan penghormatan terakhir kepada Kak Hasmah, sosok ibu yang kelembutan dan kasihnya akan sentiasa kami kenang, selain juga sebagai seorang sahabat dan rakan karib di tahun-tahun lampau.
Tentunya sukar untuk kami berdua menghadam hakikat ini bahawa beliau kini telah pergi, lebih-lebih lagi apabila setiap babak indah yang dikongsi bersama kembali terpancar di depan mata hati yang terdalam.
Justeru, negara akan terus mengenang jasa dan curah bakti Kak Hasmah. Dalam ingatan ramai, beliau adalah seorang ibu yang menyantuni sesiapa sahaja dengan penuh kasih, malah berupaya membuatkan setiap mereka berasa dekat dan dihargai.
Saya dan Azizah mendoakan agar Tun Dr Mahathir Mohamad terus kuat dengan ujian-Nya, terus dikurniakan kesihatan dan sentiasa dipayungi kasih sayang keluarga.
Semoga Allah SWT mengampuni Almarhumah, menerima segala amal bakti dan menempatkannya dalam kalangan hamba-Nya yang beriman dan beramal soleh.
Terima kasih juga Kak Hasmah atas setiap budimu kepada kami, dan pastinya doa serta ingatan kami mengiringi pemergianmu.
Al-Fatihah.
Antara kenangan manis yang sempat dirakam bersama Almarhumah Tun Dr. Siti Hasmah ❤️
Semoga Allah SWT mencucuri rahmat ke atas roh Almarhumah Tun, mengampuni segala dosa-dosanya, dan menempatkannya dalam kalangan orang-orang yang beriman serta beramal soleh. Aminn YRA
ISTIADAT PENGEBUMIAN PEMBESAR NEGARA BUAT ALMARHUMAH TUN DR SITI HASMAH MOHD ALI
Bagi pihak Kerajaan MADANI dan seluruh rakyat Malaysia, saya menzahirkan rasa dukacita dan ucapan takziah atas pemergian Almarhumah Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali yang menghembuskan nafas terakhir di Institut Jantung Negara pagi tadi. Negara tetap mengenang sosok keibuan dan menghargai jasa Almarhumah.
Saya telah mengarahkan Ketua Setiausaha Negara dan Panglima Angkatan Tentera untuk membantu pengurusan dan memberikan taraf Istiadat Pengebumian Pembesar Negara kepada Almarhumah.
Ingatan dan doa saya bersama Tun Dr Mahathir Mohamad serta seluruh keluarga dalam menghadapi kehilangan ini. Semoga Allah SWT mengampunkan segala dosa Almarhumah, menerima segala amal baktinya dan menempatkannya dalam kalangan orang beriman.
Al-Fatihah.
ANWAR IBRAHIM
28 September 2026
Saya, Azizah dan keluarga berdukacita menerima khabar pemergian Almarhumah Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali pagi ini.
Kami mengenali Almarhumah sebagai Kak Hasmah, seorang yang lembut tutur katanya, namun tabah dan kuat jiwanya, malah sentiasa mengambil berat tentang orang di sekelilingnya dengan kasih sayang seorang ibu.
Hari ini, negara kehilangan sosok keibuan yang dekat di hati rakyat. Sementalahan, kami akan mengenang Kak Hasmah dengan rasa kasih yang mendalam, bersama segala jasa dan kebaikan yang ditinggalkannya.
Saya dan Azizah merakamkan setulus takziah kepada Tun Dr Mahathir serta seluruh keluarga, dan mendoakan semoga Allah SWT mengampuni Almarhumah, menerima segala amal baktinya serta mengurniakan ketabahan kepada mereka yang ditinggalkan.
Al-Fatihah.
Inna lillahi wa inna ilayhi raji'un
Saya merakamkan salam takziah yang sedalam-dalamnya kepada YABhg. Tun Dr. Mahathir Mohamad serta seluruh ahli keluarga atas pemergian Almarhumah Tun Dr. Siti Hasmah binti Mohd Ali ke rahmatullah. Pemergian beliau merupakan satu kehilangan besar buat negara.
Almarhumah Tun Dr. Siti Hasmah adalah seorang tokoh negara yang telah berbakti seluruh hidupnya demi kesejahteraan awam, kesihatan masyarakat, serta ikon pemerkasaan dan kepimpinan wanita selaku antara perintis doktor wanita pertama.
Saya sangat menghormati Almarhumah Tun Siti. Beliau mengajar saya bagaimana membawa diri dengan penuh maruah dan profesionalisme yang tinggi. Kebijaksanaan Tun, disertai sifatnya yang begitu mesra dan menyenangkan, menjadikan beliau seorang insan yang sangat disayangi.
Tun membuktikan bahawa kekuatan seorang wanita tidak semestinya hadir melalui suara yang lantang. Kekuatan itu terpancar melalui kesabaran, kebijaksanaan, kelembutan dan keteguhan dalam membawa diri.
Saya mendoakan semoga Allah SWT mencucuri rahmat ke atas roh Almarhumah Tun, mengampuni segala dosa-dosanya, dan menempatkannya dalam kalangan orang-orang yang beriman serta beramal soleh.
Semoga YABhg. Tun Dr. Mahathir Mohamad dan seluruh ahli keluarga diberikan ketabahan dan kekuatan dalam mengharungi ujian yang berat ini.
Allahummaghfirlaha warhamha wa 'afiha wa' fu'anha.
Dato’ Seri Dr. Wan Azizah Dr. Wan Ismail
Alhamdulillah, malam ini saya dan Azizah dapat meluangkan waktu bertemu sahabat dan teman lama dalam Majlis Makan Malam Apresiasi 3 Generasi anjuran WADAH, ABIM dan PKPIM di Bangi. Majlis turut meraikan delegasi The Union of NGOs of The Islamic World (UNIW) yang hadir dalam acara ini.
Dalam menghadapi liku perjuangan bersama dengan gerakan Islam, saya sentuh kembali ucapan Almarhum Siddiq Fadzil bahawa Islam tidak bangkit hanya dengan ledakan semangat, emosi dan sentimen, tetapi dengan kekuatan ilmu yang menyedarkan dan menginsafkan.
Gerakan kesedaran atas nama Islam tempang sekiranya hanya berpaksikan semangat kemarahan dan menghalalkan adu domba. Kita harus bangkit dengan tradisi akliah dan tegak dengan idealisme. Gerakan apa pun atas nama Islam akan teruji bukan semata-mata pada slogan tapi kepada pelaksanaan perjuangannya.
Justeru saya menempelak kumpulan yang menunggang nama Islam atau Melayu, riuh melaungkan tentang bangsa tetapi mengetepikan soal akhlak dan idealisme perjuangan. Apa ertinya parti atau gerakan Islam sekiranya bergerak dengan meninggalkan prinsip akhlak, penuh dengan kebencian serta menjadikan fitnah dan cacian sebagai senjata dan wirid harian.
Saya juga sentuh kepentingan usrah dalam gerakan dengan tidak meninggalkan tradisi turath Islami yang juga penting dalam memandu gerakan dan perjuangan. Selain tegas dalam melawan rasuah, menentang pemikiran takfiri serta perjuangan membasmi kemiskinan tegar, gerakan Islam juga harus kekal dengan adab, akhlak dan menghormati kebangsaan.
#MalaysiaMADANI
#YakinMADANI
Alhamdulillah, saya telah berkesempatan menghadiri jemputan majlis pernikahan di Putrajaya. Terima kasih diucapkan kepada Puan Yusliza Mohd Yusof, serta suami En Mohd Fardhi Ahmad atas jemputan.
Tahniah diucapkan kepada kedua belah pihak keluarga pengantin diatas pernikahan anakanda tercinta, Amirul Hafidzi dan pasangannya Fatin Khairunnisa. Didoakan semoga pernikahan dipenuhi mawaddah, rahmah dan sakinah. Aamiin YRA
Alhamdulillah, saya telah berkesempatan hadir ke Majlis Perasmian Wacana Inspirasi Pendidikan Peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur Tahun 2026.
Turut hadir, Datuk Haji Azman Abidin, Setiausaha Politik kepada YAB Perdana Menteri; Tuan Haji Omar bin Salleh, Pengarah Bahagian Pendidikan Islam, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM serta Tuan Megat Affandi bin Datuk Wira Haji Ismail, Pengarah Pendidikan, Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.
Kepada para guru, terima kasih atas pengorbanan yang tidak semuanya dapat dilihat atau dicatat. Apabila seorang guru menyalakan harapan dalam diri seorang murid, guru tersebut sebenarnya sedang menyalakan masa depan negara.
Semoga Wacana Inspirasi Pendidikan ini terus menjadi wadah memperkukuh kerjasama antara warga pendidik, ibu bapa, komuniti dan semua pihak dalam memastikan setiap anak mendapat akses kepada pendidikan yang berkualiti serta peluang untuk membina masa depan yang lebih baik.
Semoga segala usaha kita ini diberkati dan kita semua dilimpahi segala kebaikan di dunia dan di akhirat. Aaminn YRA
Alhamdulillah, saya telah bersama hadir dalam Program Gender Outlook Forum 2026, yang telah dianjurkan oleh Wanita Berdaya Selangor (WBS) di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi yang membawa tema “Memeta Masa Depan: Kesaksamaan Gender sebagai Pemangkin Pertumbuhan.”
Turut hadir, YB Puan Anfaal Saari, Exco Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat Selangor; YBhg. Prof. Dato' Dr. Fariza Md Sham, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Akademik & Antarabangsa UKM; YBhg. Tan Sri Sharifah Zarah Syed Ahmad, Ahli Lembaga Pengarah UKM serta YBrs. Puan Siti Faridah Abdul Samad, Ketua Pegawai Eksekutif, Wanita Berdaya Selangor (WBS).
Perkembangan peranan wanita di Malaysia tidak berlaku secara mendadak. Dalam era sebelum merdeka, wanita dilihat mempunyai tugas yang lebih tradisional dan terhad.Namun, kesedaran awal mengenai kepentingan suara wanita telah pun berputik.
Penglibatan wanita semakin signifikan dalam semua bidang dan sejak 2020-an, bermulalah kemunculan konsep tanggungjawab bersama di rumah, dan kesedaran mengenai Generasi Sandwich serta Ekonomi Penjagaan.
Oleh sebab itu, forum seperti ini diadakan untuk menyediakan platform strategik bagi penggubal dasar, penyelidik, pertubuhan masyarakat sivil, dan pemimpin industri untuk membincangkan kesaksamaan gender, berkongsi amalan terbaik, serta merangka penyelesaian yang boleh dilaksanakan.
Terima kasih diucapkan kepada semua pihak yang telah bertungkus lumus secara langsung atau tidak langsung dalam penganjuran Gender Outlook Forum pada tahun ini.
Saya yakin dengan kerjasama erat antara semua pihak terutamanya kerajaan negeri, KPWKM dan agensi-agensi lain di peringkat persekutuan, pihak swasta/majikan, kesatuan pekerja dan sebagainya, lebih banyak kejayaan akan dicapai dan lebih ramai wanita akan dapat menyumbang kepada pembangunan negara,
Semoga segala usaha kita ini diberkati dan kita semua dilimpahi segala kebaikan di dunia dan di akhirat. Aaminn YRA
Dalam perjalanan pulang ke Malaysia, saya menerima khabar yang meruntun jiwa bahawa abang saya, Idrus Ibrahim, telah pergi buat selama-lamanya.
Sukar untuk saya ungkapkan rasa kehilangan ini apabila seorang sosok yang berkongsi begitu banyak kenangan sepanjang perjalanan hidup kini telah tiada, dan hanya Allah SWT yang tahu betapa beratnya hati menerima kenyataan ini.
Terkilan kerana tidak sempat berada di sisi pada saat-saat akhirnya, namun saya reda meski hati ini masih cuba menerima sebuah perpisahan yang tidak pernah kita bersedia untuk hadapi.
Terima kasih atas segala kenangan dan kebaikan yang ditinggalkan dan semuanya akan kekal terpahat dalam ingatan dan hati kami.
Mohon teman-teman titipkan doa buat Allahyarham Idrus Ibrahim, semoga Allah SWT mengampuni segala khilafnya, melimpahkan rahmat ke atas rohnya dan menempatkannya dalam kalangan hamba-Nya yang beriman dan beramal soleh.
Al-Fatihah.
Menerima khabar duka pemergian mantan Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Ahli Parlimen Kota Belud, Datuk Yahya Lampong yang telah kembali ke rahmatullah hari ini.
Salam takziah buat seluruh keluarga Allahyarham. Semoga Allah SWT mengampuni segala dosa, menerima amal kebajikan dan menempatkan Allahyarham dalam kalangan orang beriman.
Al-Fatihah.
Saya dan Azizah kembali bersama sahabat-sahabat lama, para perintis dan otai Reformasi yang telah melalui segala liku, derita dan pengorbanan sejak awal perjuangan ini. Pertemuan semula ini tentunya mengundang rasa terharu dan sebak mengenangkan perjalanan panjang yang telah kita lalui bersama.
Mana mungkin saya dan Azizah melupakan jasa dan pengorbanan setiap daripada mereka kerana tanpa kekuatan, keberanian dan semangat juang kalian, tidak mungkin saya berdiri di sini hari ini memikul amanah sebagai Perdana Menteri.
Namun perjuangan ini masih belum selesai, maka gilap semula semangat yang sudah ada, usah pernah letih, usah mudah bebal dan jangan biarkan rasa terkilan atau tersinggung memadamkan semangat perjuangan.
Himpunkan semula kekuatan dan pesan kepada anak-anak, keluarga, sahabat serta generasi seterusnya bahawa perjuangan membawa perubahan menuntut keberanian, kesabaran dan daya juang yang tidak pernah padam.
Usia mungkin bertambah dan langkah mungkin semakin perlahan, tetapi semangat jangan sesekali pudar kerana kita pernah jatuh, kalah dan menderita, namun kita juga tahu bagaimana untuk bangkit semula.
Lawan tetap lawan!
#MalaysiaMADANI
#YakinMADANI
Alhamdulillah, semalam saya telah dijemput hadir bagi merasmikan Mesyuarat Saintifik Tahunan Ke-22 Asian Breast Disease Association (ABDA) 2026 di Bangsar.
Turut hadir, Professor Dr Humairah Samad Cheung, Pengerusi Jawatankuasa Penganjur; Professor Dr Gary Tse, Presiden Asian Breast Disease Association serta Dr Farhana Fadzli, Presiden Malaysian Society of Radiologists dan College of Radiology, Academy of Medicine of Malaysia.
Penganjuran ABDA di Malaysia buat kali keempat sememangnya amat bermakna. Ia bukan sahaja mencerminkan hubungan erat antara komuniti perubatan Malaysia dengan rakan-rakan sejawat dari seluruh Asia, malah turut memperlihatkan semangat kerjasama dan persahabatan yang telah dipupuk oleh ABDA sejak penubuhannya.
Tema mesyuarat pada kali ini, “Merangka Strategi Pengurusan Pelbagai Disiplin Penyakit Payudara”, amat bertepatan dan penting. Apabila kita membincangkan penjagaan secara multidisiplin, kita sering memberi tumpuan kepada kesepaduan antara onkologi pembedahan, radiologi, patologi serta inovasi dalam ujian klinikal.
Kita harus menyedari bahawa usaha untuk meningkatkan hasil rawatan bukanlah tanggungjawab golongan profesional kesihatan semata-mata. Ia memerlukan usaha bersama daripada institusi kesihatan, organisasi profesional, pembuat dasar, pihak industri, organisasi pesakit serta masyarakat secara keseluruhannya.
Setinggi penghargaan terima kasih kepada Jawatankuasa Penganjur, barisan tenaga pengajar, penaja, rakan-rakan industri serta semua pihak yang telah menyumbang secara langsung atau tidak langsung kepada kejayaan penganjuran mesyuarat ini.
Semoga segala usaha kita ini diberkati dan kita semua dilimpahi segala kebaikan di dunia dan di akhirat. Aaminn YRA
Alhamdulillah, saya telah berkesempatan menghadiri jemputan majlis pernikahan di Bandar Baru Bangi. Terima kasih diucapkan kepada YB Senator Dato’ Prof. Emeritus Dr. Redzuan Othman serta isteri Datin Suraiya atas jemputan.
Tahniah diucapkan kepada kedua belah pihak keluarga pengantin diatas pernikahan anakanda tercinta, Izzah dan pasangannya Zarif. Didoakan semoga pernikahan dipenuhi mawaddah, rahmah dan sakinah. Aamiin YRA
Selaku pengerusi KASIH Malaysia, saya telah hadir ke Kempen Sifar Buli Negeri Selangor, sebagai usaha meningkatkan kesedaran mengenai kesan buli terhadap kesihatan mental serta membudayakan persekitaran yang lebih selamat dan prihatin untuk anak-anak dan golongan belia.
Kempen ini telah dianjurkan oleh Kerajaan Negeri Selangor melalui Jawatankuasa Tetap Kesihatan Awam bersama KASIH Malaysia dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Turut hadir, Yang Berhormat Puan Jamaliah Binti Jamaluddin, EXCO Kesihatan Awam dan Alam Sekitar Negeri Selangor serta YBrs. Inspektor Natalie Anak Allin, Bahagian Siasatan Seksual, Wanita, & Kanak-kanak, Ibu Pejabat Polis Kontijen Selangor.
Saya turut berkesempatan menyempurnakan pelancaran Inisiatif Hab Rakan Sokongan SEHAT dan Talian Belia SEHAT di bawah Program Selangor Mental Sihat (SEHAT). Hab Rakan Sokongan SEHAT menyediakan sesi bimbingan psikososial secara percuma dan sulit bersama Rakan Sokongan bertauliah, yang boleh ditempah melalui aplikasi SELangkah. Manakala Talian Belia SEHAT dikendalikan oleh Kaunselor Berdaftar daripada Pusat Kaunseling Selangor dan boleh dihubungi di 1700-82-7536, Isnin hingga Jumaat, 8.30 pagi hingga 4.30 petang.
Terima kasih kepada Kerajaan Negeri Selangor, Pusat Kaunseling Selangor, UIAM, NGO SAPOT dan semua pihak yang terlibat dalam pelaksanaan Kempen Sifar Buli dan penambahbaikan initiatif SEHAT.
Membanteras gejala buli adalah peranan semua pihak, bukan tanggungjawab agensi atau satu-satu entiti sahaja kerana buli boleh berlaku di mana-mana, tidak kira peringkat umur, latar belakang sosial dan profesional. Saya menyeru agar semua pihak bantu mempromosikan kempen dan perkhidmatan-perkhidmatan ini agar menfaatnya benar-benar sampai kepada mereka yang memerlukan.
Semoga segala usaha kita ini diberkati dan kita semua dilimpahi segala kebaikan di dunia dan di akhirat. Aaminn YRA
Alhamdulillah, saya telah pulang ke Permatang Pauh sebentar bagi menyantuni para Otai Reformis dalam program ‘Secangkir Kopi, Seribu Bicara’.
Pertemuan ini bukan sekadar untuk mengeratkan silaturahim, tetapi menjadi ruang untuk menghargai jasa dan pengorbanan para otai yang telah bersama-sama melalui pahit getir perjuangan, di samping memperkukuhkan semangat serta roh perjuangan reformasi untuk terus diwariskan kepada generasi akan datang.
Terima kasih saya ucapkan kepada seluruh otai dan veteran KEADILAN Pulau Pinang atas segala jasa, pengorbanan dan kesetiaan yang telah dicurahkan.
Semoga pertemuan ini dapat mengeratkan lagi ukhuwah kita, menyatukan hati kita dan memberikan kekuatan untuk kita terus melangkah bersama menghadapi cabaran yang mendatang.
Semoga segala usaha kita ini diberkati dan kita semua dilimpahi segala kebaikan di dunia dan di akhirat. Aaminn YRA.