Bila dah umur 20+,kau akan rasa perasaan:
- malas nak kenal orang baru
- ada target untuk masa depan
- fikirkan cara nak happykan parents
- buat banyak benda yang boleh happykan diri sendiri
- lebih suka bersendirian / ada privacy life
- happy ada 2 / 3 orang kawan yang memahami
Rasanya dah bertahun tak naik LRT. Pagi ini, kebetulan ada program di UiTM Shah Alam, saya mengambil peluang merasai sendiri pengalaman menaiki LRT3 yang baharu beroperasi.
Dari Stesen Stadium Shah Alam ke Stesen UiTM Shah Alam, saya dapat melihat sendiri bagaimana LRT3 bakal memudahkan pergerakan mahasiswa, warga universiti dan masyarakat dengan sistem pengangkutan awam yang lebih pantas, selesa dan efisien.
Semoga kemudahan ini dimanfaatkan sepenuhnya dan menjadi pemangkin kepada budaya menggunakan pengangkutan awam demi mobiliti yang lebih baik untuk semua.
#LRT3
#UiTMShahAlam
#doczam
Merafak sembah dan setinggi-tinggi ucapan tahniah sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor pada 30 Jun 2026.
Patik dengan penuh takzim mendoakan ke hadrat Allah SWT agar Duli Yang Amat Mulia Tunku sentiasa dikurniakan keafiatan, kesejahteraan, rahmat serta perlindungan-Nya, dan terus diberikan kekuatan serta kebijaksanaan dalam memimpin Negeri Johor Darul Ta’zim ke arah kemajuan, kemakmuran dan kesejahteraan yang berterusan.
Daulat Tuanku!
Dalam menilai kemajuan Hala Tuju Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026–2035, kita tidak boleh sekadar bertanya berapa banyak program telah dilaksanakan atau berapa banyak inisiatif telah diperkenalkan.
Soalan yang lebih penting ialah: apakah perubahan yang telah berlaku kepada universiti, kepada graduan dan kepada negara?
Tengah hari tadi saya bersama seluruh warga Kementerian Pendidikan Tinggi bagi mendengar, meneliti dan menilai sejauh mana gerak kerja serta pelaksanaan inisiatif yang telah digerakkan.
Bagi saya, kejayaan pendidikan tinggi tidak hanya diukur melalui angka output, tetapi melalui kemampuan kita membina universiti yang lebih baik, melahirkan insan yang lebih berkualiti dan menyumbang kepada pembangunan negara yang lebih maju, berdaya saing serta berteraskan ilmu.
Sebab itu, semakan pencapaian pelan ini perlu melihat keseluruhan rantaian perubahan, daripada kapasiti yang dibangunkan, pelaksanaan yang digerakkan, hasil yang dicapai, impak kepada negara, sehingga tahap kesiapsiagaan kita menghadapi masa depan yang dipacu oleh kecerdasan buatan, teknologi baharu dan perubahan global yang pantas.
Akhirnya, pendidikan tinggi bukan sekadar tentang institusi. Ia adalah tentang membina masa depan negara.
Hala Tuju Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia 2026–2035 perlu turut merangkumi sejauh mana ia berjaya membangunkan insan, memperkukuh universiti, meningkatkan daya saing negara dan mempersiapkan Malaysia untuk masa hadapan.
#RancanganPendidikanTinggiMalaysia20262035
#MalaysiaMADANI
#KPT
#doczam
SEORANG BAPA
Sering kita mendengar
syurga itu di bawah telapak kaki ibu,
lalu kita menganyam puisi tentang kasihnya,
tentang tangan yang mengusap dahi,
tentang mata yang berjaga
di sepanjang malam yang panjang.
Tetapi di manakah seorang bapa
dalam lembaran kasih itu?
Bukankah daripada setitis benihnya
yang bertemu di rahim ibu,
lahir seorang insan
yang kelak mengenal dunia,
mengenal cinta dan air mata?
Seorang bapa
jarang pandai berkata-kata tentang sayang.
Bahasanya bukan pada tutur yang indah,
tetapi pada peluh yang menitis
di bawah terik mentari,
pada langkah yang tidak pernah berhenti
mencari rezeki untuk keluarga.
Dia mungkin tidak sering berada di sisi,
kerana hidup memanggilnya ke jalan-jalan jauh.
Dia mungkin tidak mengerti
setiap tangisan anaknya,
tetapi di dalam diamnya
tersimpan seribu kegusaran.
Ketika anak lena dibuai mimpi,
seorang bapa masih berjaga
menghitung hari-hari mendatang,
memikirkan persekolahan,
memikirkan masa depan,
memikirkan segala yang belum tentu.
Seorang bapa
adalah pohon rendang di halaman kehidupan.
Tidak banyak berbunga,
tidak selalu dipandang,
tetapi teduhnya melindungi
daripada panas dan hujan.
Walau apa pun darjatnya,
sama ada nelayan yang bergelut dengan ombak,
petani yang bergelumang lumpur,
buruh yang membina kota,
atau penjawat yang tekun di meja kerja,
doanya tetap sama:
“Ya Tuhan,
peliharalah anak-anakku.
Jadikan mereka manusia yang lebih baik daripadaku.”
Dan doa itu terbang ke langit
tanpa diketahui sesiapa.
Memang suara bapa
tidak sebening suara ibu.
Tidak semerdu nyanyian kasihnya.
Tetapi suara bapa
hadir dalam setiap denyut kehidupan:
pada buku yang dibeli untuk anak membaca,
pada pakaian yang menutup tubuh,
pada rumah yang melindungi keluarga,
pada harapan yang tidak pernah padam.
Apabila rambutnya memutih
dan langkahnya mula perlahan,
barulah kita mengerti:
lelaki yang jarang dipuji itu
telah menghabiskan usia
untuk membina jambatan kehidupan
buat anak-anak yang dicintainya.
Maka janganlah kita lupa
di sebalik kasih seorang ibu yang mulia,
ada seorang bapa
yang diam-diam memikul dunia
di atas bahunya.
Dan dalam diam itu,
tersimpan cinta yang tidak pernah meminta balasan,
seluas langit yang menaungi bumi,
setulus doa yang tidak pernah putus
hingga ke hujung usia.
SELAMAT HARI BAPA
Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Parlimen ke-15 dijadualkan berlangsung selama 16 hari bermula dari 22 Jun hingga 16 Julai ini.
Hari ini hari pertama sidang dewan. Saya akan menjawab soalan nombor 8 daripada Dato' Sri Dr. Wee Jeck Seng [Tanjung Piai] minta MENTERI PENDIDIKAN TINGGI menyatakan apakah strategi Kementerian bagi memacu soal pembangunan penyelidikan (R&D) yang berimpak tinggi di institusi pengajian tinggi awam, dasar pembiayaan, mekanisme pemindahan penyelidikan ke industri dan KPI pengkomersilan inovasi dalam tempoh tiga tahun terakhir ini.
#Parlimen
#KPT
#doczam
https://t.co/oxfXbiq5p3
Salam takziah kepada Dato’ Sri Nancy Shukri Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat sekeluarga atas kembalinya ke rahmatullah suami tercinta, Allahyarham Datuk Kamil Misuari.
Semoga Dato’ Sri @NancyShukri serta seluruh ahli keluarga diberi kekuatan dan ketabahan menghadapi ujian berat ini.
Sama-sama kita mendoakan semoga ruh Allahyarham dicucuri rahmat Allah dan ditempatkan dalam kalangan hambaNya yang beriman dan beramal soleh.
Allahummaghfirlahu, warhamhu, wa 'afihi, wa'fu 'anhu
Al-Fatihah
Salam Maal Hijrah 1448H.
Setiap hijrah menuntut pengorbanan. Setiap perubahan menuntut kesungguhan.
Semoga kedatangan 1448H mengingatkan kita untuk terus memperbaiki diri, memperkukuh perpaduan dan membina masa depan yang lebih baik untuk generasi akan datang.
Selamat Tahun Baharu Hijrah 1448H.
#MaalHijrah1448H
#doczam
Hari ini saya menyempurnakan Majlis Peluncuran Program Rintis Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0 Peringkat Universiti Awam di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjong Malim.
Dalam dunia yang semakin kompleks dan mencabar, pendidikan tinggi tidak boleh hanya melahirkan graduan yang cemerlang dari segi akademik semata-mata. Kita perlu membentuk mahasiswa yang memiliki integriti, disiplin, ketahanan diri, semangat kepimpinan serta jiwa patriotik yang kukuh.
PLKN 3.0 merupakan ikhtiar strategik Kerajaan melalui kerjasama Kementerian Pendidikan Tinggi dan Kementerian Pertahanan untuk membangunkan karakter generasi muda secara lebih menyeluruh. Program ini menggabungkan elemen kepimpinan, kenegaraan, ketahanan diri dan semangat cintakan negara dalam pendekatan yang lebih segar, interaktif dan berasaskan pengalaman.
Seramai 1,005 mahasiswa baharu UPSI akan menjadi kumpulan perintis program ini sebelum ia diperluaskan ke universiti awam lain di seluruh negara.
Pada majlis yang sama, saya turut melancarkan buku UPSI Berduka yang diterbitkan bagi merakam tragedi kemalangan bas yang meragut 15 nyawa pelajar UPSI di Gerik, Perak pada 9 Jun tahun lalu.
Penerbitan buku ini bukan sekadar mendokumentasikan satu tragedi yang menyayat hati, malah menjadi penghormatan kepada para mangsa yang terkorban serta keluarga yang terkesan dengan kehilangan insan tersayang. Naskhah ini turut merakamkan semangat kebersamaan, keprihatinan dan solidariti yang ditunjukkan oleh pelbagai pihak ketika berdepan detik sukar tersebut.
Saya percaya masa depan Malaysia tidak hanya ditentukan oleh kecerdasan intelektual, tetapi juga oleh kekuatan karakter, keteguhan nilai dan jati diri generasi pewarisnya.
#PLKN
#UPSIBerduka
#MalaysiaMADANI
#MADANIBekerja
#RancakkanMADANI
#doczam
Kita sentiasa komited meraikan kepelbagaian serta memastikan tiada sesiapa tercicir daripada menikmati hak pendidikan tinggi yang berkualiti dan saksama. Komitmen ini termasuklah membuka akses yang lebih luas kepada golongan Orang Kurang Upaya (OKU) untuk menyambung pengajian dalam bidang yang bersesuaian dengan minat, keupayaan dan potensi mereka.
Pagi tadi, saya bersama-sama para pegawai yang menguruskan hal ehwal pelajar OKU di institusi pendidikan tinggi sempena Majlis Penutup Program Kepimpinan Strategik untuk Inklusiviti OKU di Institusi Pendidikan Tinggi Awam anjuran AKEPT.
Saya amat menghargai komitmen semua pihak dalam menjayakan agenda ini. Inklusiviti bukan sekadar dasar di atas kertas, tetapi perlu diterjemahkan melalui tindakan yang memberi impak nyata kepada mahasiswa OKU. IPT perlu terus memperkukuh aksesibiliti, kemudahan mesra OKU dan peluang pembelajaran yang lebih inklusif agar setiap anak bangsa berpeluang mencapai potensi terbaik mereka.
Pendekatan yang dibawa oleh YAB Perdana Menteri melalui pengumuman yuran pengajian percuma kepada pelajar OKU sepanjang pengajian di IPT merupakan bukti jelas bahawa agenda keterangkuman ini diberi perhatian serius oleh kerajaan.
Pendidikan tinggi yang cemerlang ialah pendidikan tinggi yang membuka ruang kepada semua.
#InklusivitiOKU
#MalaysiaMADANI
#KPT
#doczam
Pagi tadi saya sempat meluangkan masa mengunjungi Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2026.
Sampai-sampai terus singgah di Dewan Tun Dr. Ismail yang menempatkan kumpulan Majlis Penerbitan Ilmiah Malaysia (MAPIM) serta beberapa agensi di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) yang menyediakan pelbagai perkhidmatan dan maklumat kepada orang ramai seperti PTPTN, EMGS, UPU dan Yayasan Perkasa Siswa (YPS).
Seperti tahun-tahun sebelumnya, PBAKL terus meriah dengan kehadiran pengunjung daripada pelbagai lapisan masyarakat dan peringkat usia. Melihat ibu bapa membawa anak-anak memilih buku serta golongan muda yang memenuhi ruang pameran memberi keyakinan bahawa budaya membaca dan cintakan ilmu masih subur dalam kalangan rakyat Malaysia.
Budaya membaca perlu terus dipupuk sejak usia muda kerana daripada pembacaan lahirnya pemikiran, daripada ilmu lahirnya kebijaksanaan, dan daripada kebijaksanaan terbina sebuah bangsa yang maju serta berdaya saing.
Kepada yang masih belum berkesempatan hadir, saya mengajak anda sekeluarga untuk mengunjungi PBAKL 2026 yang akan berlangsung sehingga 7 Jun 2026. Insya-Allah, ada sesuatu untuk semua di sini, daripada buku ilmiah dan akademik sehinggalah bahan bacaan santai yang menarik.
Walaupun sekejap, sempat juga saya dapatkan beberapa naskhah buku baharu untuk dibaca. Lebih menarik lagi bila dapat jumpa semula dengan rakan-rakan lama dalam kalangan penulis, penerbit dan penggiat industri buku.
Terima kasih atas segala usaha dan komitmen anda dalam memperkaya khazanah ilmu negara. Teruskan berkarya, teruskan menulis dan menerbitkan karya yang dapat membentuk pemikiran serta masa depan generasi anak bangsa.
#PBAKL2026
#doczam
Selamat Menyambut Hari TVET Negara 2026
TVET bukan lagi sekadar satu pilihan, tetapi telah menjadi antara laluan utama dalam melahirkan tenaga mahir, bakat berkemahiran tinggi dan pemimpin industri masa hadapan.
Saya mengajak seluruh rakyat Malaysia untuk bersama-sama memeriahkan Sambutan Hari TVET Negara 2026 yang akan berlangsung pada 5 hingga 7 Jun 2026 di Dataran Putrajaya.
Mari bersama-sama menyokong agenda pemerkasaan TVET demi melahirkan generasi berkemahiran, berdaya saing dan bersedia menghadapi cabaran masa depan.
#HariTVETNegara2026
#MalaysiaMADANI
#doczam
DIRGAHAYU TUANKU
Merafak Sembah Ucapan Setinggi-Tinggi Tahniah
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Tuanku pada 1 Jun 2026 bersamaan 15 Zulhijah 1447H.
Patik sekalian mendoakan semoga Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Tuanku, Raja Permaisuri Agong serta seluruh Kerabat Diraja sentiasa dikurniakan keafiatan, kesejahteraan, dipanjangkan usia dalam keberkatan serta berada di bawah lindungan dan rahmat Allah SWT.
Semoga Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Tuanku terus memayungi negara dengan penuh kebijaksanaan dan kasih sayang, serta menjadi lambang perpaduan, kestabilan dan kemakmuran buat seluruh rakyat Malaysia.
DAULAT TUANKU
#HariKeputeraanYDPA
#MalaysiaMADANI
#doczam
Kepada seluruh rakan-rakan Sabah dan Sarawak, Selamat Menyambut Pesta Kaamatan dan Hari Gawai walau di mana jua anda berada.
Semoga perayaan ini disambut dalam suasana penuh kegembiraan bersama keluarga, sahabat handai dan masyarakat setempat, serta menjadi kesempatan untuk memperkukuh semangat muafakat, perpaduan dan keharmonian yang kita nikmati bersama.
Kotobian Tadau Tagazo Do Kaamatan.
Gayu Guru Gerai Nyamai.
#doczam
Selamat Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2026.
Dalam dunia yang semakin pantas berubah dan dibanjiri pelbagai maklumat dari pelbagai sumber, kewartawanan yang berteraskan kebenaran dan kesahihan terus menjadi tunjang penting dalam membina masyarakat yang berilmu serta mencorak pemikiran.
Wartawan bukan sekadar penyampai berita, tetapi saksi kepada perjalanan sejarah, perakam denyut nadi rakyat dan penghubung antara suara masyarakat dengan pelbagai pihak.
Terima kasih kepada seluruh pengamal media yang terus teguh memikul amanah, menjunjung etika dan menyampaikan maklumat dengan penuh tanggungjawab.
Selamat Hari Wartawan Nasional kepada semua pengamal media walau di mana anda berada.
#HAWANA2026
Salam Aidiladha buat seluruh umat Islam di mana jua anda berada.
Aidiladha bukan sekadar tentang ibadah korban, tetapi juga mengajar kita erti keikhlasan, pengorbanan, ketaatan dan kasih sayang sesama insan. Dalam menghayati semangat pengorbanan Nabi Ibrahim A.S dan Nabi Ismail A.S, marilah kita memperkukuh ukhuwah, menyantuni mereka yang memerlukan serta mensyukuri segala nikmat yang dikurniakan Allah SWT.
Semoga Aidiladha kali ini membawa keberkatan, ketenangan dan kebahagiaan buat kita semua.
Selamat Hari Raya Aidiladha.
Salam Hari Arafah.
Di sebalik kesibukan dan cabaran kehidupan, hari yang mulia ini mengingatkan kita tentang erti kehambaan, keinsafan dan kekuatan doa.
Marilah kita memperbanyakkan istighfar, mendoakan kesejahteraan insan-insan yang kita sayangi serta memohon agar Allah SWT terus memimpin langkah kehidupan kita dengan rahmat dan petunjuk-Nya.
Moga segala amalan diterima dan seluruh umat Islam dikurniakan keberkatan, keampunan serta ketenangan jiwa.
Semoga para dhuyufurrahman yang sedang berwukuf di Arafah turut dipermudahkan segala urusan dan memperoleh haji yang mabrur, insya-Allah.