KENYATAAN BALAS BERHUBUNG JEMPUTAN “IKHLAS” MENTERI PENGANGKUTAN
1. Saya berasa terharu dan lega kerana akhirnya, saya dan Kerajaan Negeri Johor mendapat jemputan yang “ikhlas” daripada YB Menteri Pengangkutan untuk melihat pelaksanaan projek KTM Komuter pada Selasa ini.
2. Saya tidak mempunyai sebarang masalah untuk hadir dan insya-Allah akan melapangkan jadual saya bagi tujuan tersebut. Pelaksanaan projek ini adalah demi kesenangan Bangsa Johor bukan kerjasama politik. Jadi sepatutnya tidak timbul sebarang masalah atau keraguan. Pada saya, urusan rasmi kerajaan dan urusan kerjasama politik adalah dua perkara yang berbeza.
3. Namun begitu, sehingga hari ini, pejabat saya telah memaklumkan bahawa saya masih belum menerima sebarang surat jemputan rasmi dan butiran program daripada pihak Kementerian Pengangkutan untuk saya hadir mewakili Kerajaan Negeri Johor.
4. Saya hanya dimaklumkan oleh pihak media bahawa “jemputan” tersebut dibuat ketika program politik Pelancaran Jentera Pilihan Raya Pakatan Harapan Negeri Sembilan malam semalam.
5. Walaubagaimanapun, saya tetap terharu dengan “keikhlasan” jemputan ini. Sekurang-kurangnya, Kerajaan Negeri Johor akhirnya “dijemput”, walaupun program ini telah dirancang sejak lebih seminggu lalu. Kerana sebelum ini beberapa program Kementerian, saya atau EXCO yang bertanggungjawab tidak mendapat sebarang jemputan rasmi. Antaranya pada :
a. 9 Januari 2023, Lawatan ke CIQ
b. 26 September 2024, Lawatan dan Pengumuman VEP
c. 4 Oktober 2024, Lawatan dan Pengumuman VEP
d. 23 Mac 2025, Lawatan ke ETS Segamat
6. Terkini adalah pada 3 April 2026, ketika Lawatan Kerja YB Menteri Pengangkutan ke tapak projek RTS Link, Kerajaan Negeri sekali lagi tidak dijemput. Namun beberapa pemimpin DAP Johor pula dilihat hadir dalam program. Apabila saya berhubung dengan pihak tertinggi Kementerian Pengangkutan, saya dimaklumkan jemputan hanya melibatkan pihak vendor/pembekal. Adakah pemimpin-pemimpin DAP ini merupakan vendor/pembekal? (Sila lihat gambar-gambar)
7. Untuk pengetahuan semua, bagi memastikan agenda memperkasakan pengangkutan awam di Johor melalui projek KTM Komuter ini dapat berjalan dengan baik, Kerajaan Negeri, turut menghulurkan bantuan sebanyak RM700,000 bagi kerja-kerja mencantikkan dan membalut tren. Saya juga difahamkan pelaksanaannya terpaksa ditangguhkan bagi menunggu kehadiran YB Menteri Pengangkutan untuk melancarkannya pada hari Selasa ini.
8. Selain itu, atas permohonan KTM, Kerajaan Negeri melalui Perbadanan Pengangkutan Awam Johor (PAJ) turut bersetuju untuk menyediakan perkhidmatan bas pengantara di stesen-stesen terlibat, termasuk perkhidmatan shuttle dengan kos operasi sekitar RM86,000. Kerajaan Negeri juga menyelaras laluan Bas Muafakat Johor serta menaja tempat duduk bernilai kira-kira RM9,000 demi keselesaan penumpang.
9. Perkongsian ini bukanlah bertujuan untuk “claim credit”, tetapi sekadar memaklumkan bahawa Kerajaan Negeri Johor turut menyumbang dalam menjayakan inisiatif Kerajaan Persekutuan. Johor bukan sekadar menerima, tetapi turut membantu melaksanakan.
10. Bagi saya, projek pembangunan bukanlah milik mana-mana parti politik termasuklah DAP. Sebaliknya, ia adalah tanggungjawab semua pihak yang diberikan amanah dan kita mesti kekal profesional untuk melaksanakannya demi manfaat dan kesenangan rakyat.
11. Saya menunggu surat jemputan rasmi dan butiran program. Insya-Allah, saya akan melapangkan jadual saya bagi tujuan tersebut.
Syukur Alhamdulillah. Barisan Nasional Johor mengambil maklum pengumuman Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Malaysia berhubung tarikh-tarikh penting bagi Pilihan Raya Umum Dewan Negeri Johor ke-16.
Saya ingin merakamkan penghargaan kepada SPR atas persiapan dan pelaksanaan proses demokrasi ini, selaras dengan peruntukan undang-undang serta tanggungjawab yang telah diamanahkan.
Semoga tempoh kempen yang ditetapkan dapat dimanfaatkan sebaik-baiknya oleh semua pihak untuk membentangkan tawaran, rekod pencapaian dan hala tuju masing-masing secara matang, berhemah dan tertib.
Saya menyeru seluruh jentera BN Johor agar berkempen dengan penuh tertib dan beradab.
Kepada rakyat Bangsa Johor yang saya kasihi, saya berharap tempoh ini menjadi ruang untuk membuat penilaian yang adil dan rasional. Nilailah berdasarkan rekod, kestabilan, pencapaian dan kemampuan untuk terus membawa Johor ke hadapan.
Johor telah berada di landasan yang baik. Insya-Allah, dengan sokongan rakyat, kita akan terus mempertahankan kestabilan dan meneruskan kemajuan demi masa depan negeri serta Bangsa Johor.
Allah Peliharakan Sultan
Allah Berkati Johor
Kepada Allah Kita Berserah
#BangsaJohor #MajuJohor #BNJohor #BarisanNasional #UndilahBarisanNasional
Syukur Alhamdulillah, sebanyak RM5.975 juta diperuntukkan menerusi Belanjawan Johor 2026 bagi Bantuan Bilik Guru untuk tahun keempat pelaksanaannya, yang memberi manfaat kepada 1,195 buah sekolah dan lebih 49,000 guru di seluruh negeri Johor.
Usaha ini adalah tanda penghargaan Kerajaan Negeri terhadap jasa dan pengorbanan warga pendidik yang menjadi tulang belakang kepada pembentukan masa depan anak Bangsa Johor. Guru bukan sahaja mengajar di bilik darjah, tetapi membina keyakinan, membentuk akhlak, menyemai harapan dan menyediakan generasi pewaris Johor yang lebih baik.
Menerusi Majlis Aspirasi Pendidikan Negeri Johor 2026 di SMK Tasek Utara, Johor Bahru, saya turut berbesar hati menyampaikan Anugerah Khas, Tokoh Kepimpinan Pendidikan dan Tokoh Guru 2026 kepada warga pendidik yang telah membuktikan kecemerlangan, komitmen dan jasa luar biasa dalam memperkasa dunia pendidikan negeri ini.
Saya juga ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada seluruh warga pendidik di Negeri Johor atas jasa, komitmen dan pengorbanan yang tidak ternilai dalam mendidik anak bangsa. Tanpa guru-guru, tidak mungkin kita mampu melahirkan generasi yang berilmu, berakhlak dan mampu membawa masa depan negeri ke arah yang lebih cemerlang.
Semoga usaha ini terus memperkukuh kebajikan warga pendidik, memartabatkan sistem pendidikan negeri dan melahirkan generasi Bangsa Johor yang berilmu, berakhlak, berkualiti dan berdaya saing. Insya-Allah.
Allah Peliharakan Sultan
Allah Berkati Johor
Kepada Allah Kita Berserah
#BangsaJohor #MajuJohor #JohorBersih #JohorSelamat #XtifJohor
Syukur Alhamdulillah, saya telah turun padang meninjau sendiri perkembangan projek RTS Link di Bukit Chagar yang bakal menjadi pemangkin utama transformasi mobiliti Johor Bahru dan rantau selatan negara.
Projek strategik ini bukan sekadar menghubungkan Johor Bahru dan Singapura, tetapi bakal mengubah landskap pergerakan rakyat secara menyeluruh apabila mula beroperasi kelak.
Namun begitu, Kerajaan Negeri amat memahami bahawa peningkatan pergerakan manusia dan kenderaan susulan pembukaan RTS turut menimbulkan kebimbangan rakyat khususnya berkaitan kesesakan trafik di pusat bandar Johor Bahru. Justeru, beberapa langkah sedang dan akan dilaksanakan dari sekarang, antaranya:
1. Memperkukuh akses pejalan kaki melalui pembinaan Pedestrian Overhead Bridge (POB) yang menghubungkan RTS Bukit Chagar dengan kawasan tumpuan utama sekitar bandar;
2. Memperkukuh sistem rel dan pengangkutan awam bersepadu melalui penyambungan RTS dengan ETS, Komuter Selatan, bas awam, teksi dan shuttle;
3. Memperluaskan konsep Park & Ride di lokasi strategik seperti Larkin, Southkey, Sutera Mall, Toppen, serta AEON Bandar Dato’ Onn bagi mengurangkan jumlah kenderaan memasuki pusat bandar;
4. Melaksanakan pengurusan trafik yang lebih tersusun dan pintar termasuk laluan kontra serta penaiktarafan lampu isyarat pintar; dan
5. Menyusun semula aliran trafik di kawasan tumpuan utama sekitar JB Sentral dan Jalan Jim Quee supaya lebih lancar dan teratur.
Insya-Allah, segala usaha ini merupakan komitmen berterusan Kerajaan Negeri dalam memastikan Johor Bahru benar-benar bersedia menyambut pembukaan RTS demi manfaat Bangsa Johor.
Allah Peliharakan Sultan
Allah Berkati Johor
Kepada Allah Kita Berserah
#BangsaJohor #MajuJohor #JohorBersih #JohorSelamat #XtifJohor
Makanan Sedap, Harga Berpatutan dan Bersih
Syukur Alhamdulillah, dalam usaha mengurangkan beban kos sara hidup rakyat, Kerajaan Negeri Johor melaksanakan projek rintis di Medan Niaga Kampung Melayu Majidi melalui pengenalan Baucer Kasih Johor bernilai RM200 yang memberi manfaat kepada seramai 3,349 Ketua Isi Rumah (KIR). Inisiatif ini turut diperkukuh dengan pelaksanaan Menu Kasih Johor, yang menawarkan pelbagai pilihan makanan dan minuman pada harga berpatutan berkonsepkan “Makanan Sedap, Harga Berpatutan dan Bersih”.
Usaha ini merupakan pendekatan Kerajaan Negeri dalam memperkukuhkan ekosistem ekonomi rakyat dan membantu peniaga tempatan. Intervensi di Medan Niaga ini melibatkan pelbagai penambahbaikan merangkumi aspek kebersihan, keselamatan, fasiliti awam serta pemantauan kualiti makanan dengan kerjasama Johor Chef Association (JCA).
Medan Niaga ini menempatkan sebanyak 147 unit premis merangkumi bazar, pasar basah, lot makanan dan minuman, bilik sejuk, ruang niaga pelbagai guna (MCS) serta kedai serbaneka. Antara langkah utama yang dilaksanakan ialah pemberian diskaun 50% kadar sewaan kepada semua peniaga bermula November 2025 hingga Disember 2026 sebagai usaha membantu memperkukuhkan ekonomi peniaga tempatan.
Kerajaan Negeri komited untuk memperluaskan pelaksanaan inisiatif ini ke seluruh Negeri Johor secara berfasa melalui kerjasama bersama semua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT). Model pembangunan Medan Niaga Kampung Melayu Majidi ini akan dijadikan rujukan dalam usaha memperkasa medan niaga yang lebih sistematik, progresif dan berdaya saing di setiap daerah.
Semoga inisiatif ini bukan sahaja meringankan perbelanjaan harian masyarakat, tetapi turut memperkukuh ekonomi peniaga kecil, menghidupkan komuniti setempat dan meningkatkan kesejahteraan rakyat secara menyeluruh. Insya-Allah.
Allah Peliharakan Sultan
Allah Berkati Johor
Kepada Allah Kita Berserah
#BangsaJohor #MajuJohor #JohorBersih #JohorSelamat #XtifJohor
Menjunjung kasih Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim atas perkenan berangkat mencemar duli ke sesi fotografi di Tangga Selat Istana Besar, Johor Bahru sempena Sambutan Ulang Tahun UMNO Ke-80.
Menjunjung kasih juga kepada Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor yang berangkat sama mengiringi Seri Paduka Baginda dalam majlis yang penuh bersejarah ini.
Syukur Alhamdulillah. Sesungguhnya, sesi fotografi ini amat besar maknanya kerana ia diadakan di tempat kelahiran UMNO, Istana Besar Johor, bagi mengenang sejarah penubuhan parti ini pada 11 Mei 1946 ketika zaman pemerintahan Almarhum Sultan Sir Ibrahim, hasil Kongres Melayu Ketiga yang dipimpin oleh Dato’ Onn Jaafar.
Kali terakhir sambutan seumpama ini diadakan di Istana Besar Johor adalah pada tahun 2006, sempena Sambutan Ulang Tahun UMNO Ke-60. Justeru, kembalinya sambutan ke-80 ini ke Istana Besar Johor membawa makna yang cukup mendalam kepada seluruh saf perjuangan UMNO.
Penubuhan UMNO menjadi salah satu lembaran utama dalam perjuangan nasionalisme negara, mencetuskan gerakan menentang Malayan Union dan seterusnya membuka jalan ke arah kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu pada tahun 1957.
Hari ini, setelah 80 tahun, UMNO kekal sebagai antara tonggak penting dalam sejarah politik tanah air. Legasi ini bukan sekadar untuk dikenang, tetapi wajib diteruskan dengan penuh amanah bagi memastikan kestabilan, perpaduan dan pembangunan negara terus dipertahankan.
Semoga ulang tahun ke-80 ini menjadi titik kebangkitan baharu buat seluruh saf perjuangan UMNO untuk terus memperkukuh kesatuan, mengembalikan keyakinan rakyat dan memimpin perjuangan demi agama, bangsa dan tanah air. Insya-Allah.
Allah Peliharakan Sultan
Allah Berkati Johor
Kepada Allah Kita Berserah
#BangsaJohor #MajuJohor #UMNO #UMNOJohor #UMNODuluKiniDanSelamanya