Alhamdulillah, hari ini saya meraikan lebih 200 pemimpin komuniti terdiri daripada anggota jawatankuasa pengurusan lebih 80 masjid dan surau di dalam kawasan DUN Kota Anggerik dalam Majlis Hi-Tea Ihya' Ramadan di Seksyen 7 Shah Alam.
Pada majlis sama, saya turut menyampaikan sumbangan Ihya' Ramadan merangkumi bantuan kewangan, kurma Ajwa berserta kupiah dan telekung solat kepada setiap masjid dan surau dengan jumlah keseluruhan sumbangan bernilai RM 200,000.
Majlis seumpama ini merupakan amalan lazim saya sejak menjadi wakil rakyat bertujuan untuk menyantuni pimpinan masjid dan surau dalam kawasan serta memperkukuh hubungan silaturahim bersama mereka.
Alhamdulillah, pagi ini saya dikurniakan kelapangan dan kekuatan untuk menunaikan solat subuh berjemaah di Masjid Jamek Raja Tun Uda, Seksyen 16.
Saya seterusnya luangkan masa menekuni kuliah subuh yang disampaikan oleh Ustaz Muhammad Hamdi Abdul Latif yang mengupas tentang subjek perubatan Islam.
Selepas selesai kuliah, saya luangkan masa menyantuni dan menyertai para jemaah menikmati sarapan pagi di perkarangan luar dewan solat.
Alhamdulillah, pagi ini saya diberi kekuatan untuk menunaikan solat subuh berjemaah di Surau Al-Ansor, Seksyen 2.
Saya seterusnya luangkan masa menyertai sesi tadabbur Al-Quran yang dipimpin oleh Ustaz Mohd Firdaus Atan yang mengupas perihal surah Al-Qari'ah.
Selepas selesai kuliah, saya luangkan masa menyantuni dan menyertai para jemaah menikmati sarapan pagi di perkarangan luar surau.
Petang semalam saya meneruskan #JelajahBazarRamadan bersama @platselangor di Bazar Ramadan Seksyen 2, Shah Alam.
Selain menyantuni para peniaga dan pengunjung dengan edaran kurma dan bubur lambuk, saya turut mengagihkan lebih 200 kupon digital RM10 kepada para pengunjung yang berbelanja di bazar ini.
Inisiatif kupon digital ini bertujuan untuk menyokong peniaga tempatan dan menggalakkan transaksi digital menerusi pembayaran secara atas talian.
21 April 2024
Sekitar majlis Rumah Terbuka Aidilfitri DUN Kota Anggerik 2024 yang diadakan di Dewan Raja Muda Musa, Seksyen 7 Shah Alam.
Alhamdulillah, majlis berjalan lancar dengan sambutan yang cukup luar biasa! Dianggarkan lebih 5,000 orang tetamu hadir memeriahkan majlis.
Terima kaseh saya ucapkan kepada semua yang hadir. Semoga Allah SWT memperkukuh dan mengeratkan lagi silaturahim di antara kita.
Sekalung penghargaan turut saya zahirkan kepada semua yang terlibat menjayakan majlis ini khususnya para pegawai dan petugas dari Pusat Khidmat Masyarakat DUN Kota Anggerik, Pejabat EXCO Belia, Sukan & Keusahawanan Negeri Selangor, Majlis Sukan Negeri Selangor, Yayasan Hijrah Selangor dan Darul Ehsan Facilities Management Sdn. Bhd.
Usai solat Zuhur, saya menyantuni lebih dari 150 orang wakil jawatankuasa pengurusan masjid dan surau di Majlis Hi-Tea Perdana sempena menyambut bulan Ramadan di Dewan Jamuan, Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam.
Pada majlis sama, saya seterusnya menyempurnakan penyerahan sumbangan Ihya' Ramadan kepada 75 buah masjid dan surau di dalam kawasan DUN Kota Anggerik.
Saya amat gembira dan bersyukur kerana dapat bersilaturahim dengan pimpinan masjid dan surau yang selama ini banyak membantu membantu urusan saya dan anak-anak kariah di kawasan DUN Kota Anggerik.
Turut hadir di majlis ini adalah Al-Fadhil Ustaz Naiwari Sarry yang mewakili Pengarah Jabatan Agama Islam Negeri Selangor, Al-Fadhil Ustaz Mohd Ayob Wari, Pegawai Hal Ehwal Islam Pejabat Agama Islam Daerah Petaling dan Al-Fadhil Ustaz Muhamad Hafiz Muhamad Haneefa, Pengerusi Persatuan Institusi Tahfiz Al-Quran Negeri Selangor.
Tahun ini sebanyak tujuh buah masjid dan 68 buah surau dalam kawasan DUN Kota Anggerik telah menerima peruntukan sebanyak RM150,000 bagi tujuan menyemarakkan bulan Ramadan dengan pelbagai program dan aktiviti.
Insya-Allah semoga sumbangan ini akan dapat membantu pengurusan masjid dan surau di sepanjang bulan Ramadan pada tahun ini.
Selaku Ahli Dewan Negeri Selangor, saya akan terus komited mendukung aktiviti-aktiviti pengukuhan masyarakat, wanita, belia, dan institusi agama melalui kegiatan dan aktiviti yang memberikan impak positif kepada umat Islam.
Insya-Allah, segala ikhtiar ini dapat menyuburkan syiar Islam di bandaraya Shah Alam.
Saya seterusnya ke Dewan Sukan SUK di Seksyen 5 untuk merasmikan Kejohanan Ping Pong Piala YB Najwan Halimi.
Kejohanan ini disertai oleh 32 pasukan dari pelbagai agensi termasuk jabatan kerajaan, masjid, persatuan belia dan pelajar sekolah.
Penganjuran kejohanan ini merupakan salah satu inisiatif Pejabat EXCO Belia, Sukan & Keusahawanan Negeri Selangor untuk menyemarakkan perkembangan sukan ping pong di kalangan masyarakat.
Saya memulakan urusan pada sebelah pagi semalam dengan menghadiri Majlis Penyerahan Surat Kebenaran Merancang dan Perasmian Nama Tapak Surau As-Sobirin di Seksyen 8 yang disempurnakan oleh YAD Dato' Emran Kadir, Orang Besar Daerah Petaling.
Sebelum majlis perasmian bermula, satu sesi dialog di antara anggota jawatankuasa pembinaan surau turut diadakan dengan anak-anak kariah bagi merungkai isu-isu berbangkit terkait hasil kutipan sumbangan dan garis masa pembinaan surau.
Saya turut menzahirkan komitmen untuk membantu usaha menambah dana pembinaan dan memudahcara penyelesaian isu pencerobohan tanah milik Jabatan Agama Islam Negeri Selangor oleh sebuah pusat tahfiz berdekatan.
27 Januari 2024
Menyantuni warga Shah Alam di Karnival Kesihatan DUN Kota Anggerik anjuran Pejabat Ahli Dewan Negeri Kota Anggerik di Seksyen 11.
Acara tahunan ini dilaksanakan bertujuan menyediakan perkhidmatan saringan kesihatan asas secara percuma kepada masyarakat Shah Alam khususnya warga emas dan kelompok B40.
Ujian mamogram dan saringan barah pangkal rahim turut ditawarkan kepada wanita berusia 30 tahun ke atas selain pemeriksaan mata secara percuma dan peluang membuat cermin mata murah.
Pada acara sama, saya turut menyerahkan sumbangan Back To School kepada anak-anak yang mendaftar di bawah skim Tabung Warisan Anak Selangor (TAWAS) dan baucar Jom Shopping! kepada para penerima warga emas kelahiran bulan Januari.
Pada sebelah petang, saya menyertai Mesyuarat Pengelolaan Liga Malaysia dan Taklimat Pengurusan Stadium dan Venue Liga Malaysia Musim 2024/2025 di Iskandar Puteri yang dipengerusikan oleh Menteri Belia & Sukan, YB @hannahyeoh dan Pengerusi Malaysian Football League (MFL), Dato' Ab Ghani Hassan.
DYAM Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tengku Mahkota Johor @HRHJohorII turut berkenan berangkat hadir ke mesyuarat ini serta bertitah berkongsi pandangan dan cadangan menjurus kepada pembangunan bola sepak peringkat negeri dan nasional.
Pelbagai isu terkait pembangunan bola sepak khusus melibatkan kelab-kelab di peringkat negeri, pengurusan stadium dan fasiliti latihan dibincangkan dengan baik dan konstruktif.
📷 @MFL_MY
Delegasi kami seterusnya dibawa melawat ke Pusat Latihan JDT Padang Seri Gelam, Johor Bahru.
Kami diraikan oleh YB Mohd Hairi Mad Shah, EXCO Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi & Sumber Manusia Negeri Johor.
Saya merafak sembah menjunjung kasih ke bawah DYAM @HRHJohorII yang berkenan menerima saya mengadap usai baginda menjalani latihan kecergasan di gimnasium di Pusat Latihan JDT Padang Seri Gelam.
9 Januari 2024
Bersama barisan EXCO Sukan Negeri dari Sabah, Pahang, Negeri Sembilan, Melaka, Terengganu, Kelantan serta para pegawai terlibat dalam sesi lawatan kerja ke Stadium Sultan Ibrahim di Iskandar Puteri, Johor.
Sesi lawatan ini adalah bersempena dengan Mesyuarat Pengelolaan Liga Malaysia dan Taklimat Pengurusan Stadium dan Venue Liga Malaysia Musim 2024/2025 yang dipengerusikan oleh Menteri Belia & Sukan, YB @hannahyeoh bersama Pengerusi @MFL_MY Malaysian Football League (MFL), Dato' Ab Ghani Hassan.
Kami turut mengikuti sesi taklimat dan tinjauan sekitar stadium yang diselaraskan oleh Encik Kevin Ramalingam, Ketua Unit Komersial Kelab Bola Sepak Johor Darul Ta'zim (JDT).
Alhamdulillah, pagi ini saya menyempurnakan sembelihan lembu di Pangsapuri Teratai, Taman Bukit Subang, Seksyen U16.
Insya-Allah, hasil sembelihan ini akan dimasak untuk jamuan tengah hari bersama penduduk setempat dalam acara Kenduri Rakyat Kota Anggerik - Pangsapuri Teratai.
Selamat menyambut Hari Raya Aidiladha kepada semua umat Islam.
Semoga Allah SWT menerima segala amalan kita.
Insya-Allah, pada hari ini saya akan turun menyantuni program sembelihan korban sempena Aidiladha di beberapa surau di sekitar Shah Alam.
Semalam merupakan hari rasmi pembubaran Dewan Negeri Selangor penggal ke-14.
Berkhidmat mewakili warga Shah Alam di DUN Kota Anggerik pastinya merupakan satu penghormatan buat saya. Pelbagai pengalaman, cabaran dan kenangan sepanjang bergelar wakil rakyat tidak hanya mendewasakan saya sebagai seorang insan namun turut membuka ruang kepada saya untuk mengenali dan bersilaturahim dengan pelbagai lapisan masyarakat.
Sepanjang lima tahun mewakili warga Shah Alam, saya telah berikhtiar sedaya upaya saya untuk memberikan khidmat yang terbaik; sentiasa turun ke lapangan, mengurangkan protokol dan menghapuskan jurang antara pemimpin dan masyarakat; membuka ruang komunikasi yang lebih luas serta mengamalkan pendekatan yang lebih responsif dalam memperkasakan komuniti setempat selain menangani hal-hal terkait kemudahan asas, infrastruktur, kebajikan dan kesejahteraan rakyat.
Terima kaseh saya ucapkan di atas kepercayaan dan sokongan yang dizahirkan sepanjang tempoh lima tahun ini. Saya pohon maaf seandainya wujud kekhilafan, kekurangan dan kelemahan di pihak saya sepanjang menjalankan tugas sebagai wakil rakyat.
Insya-Allah, semoga dikurniakan ruang dan penghormatan untuk saya meneruskan lagi khidmat dan berbakti kepada warga Shah Alam di masa akan datang.
Pagi ini saya memenuhi undangan merasmikan Mesyuarat Agung PIBG ke-26 SK Seksyen 9.
Dalam ucapan perasmian, saya menganjurkan agar kerjasama antara pihak ibu bapa dan guru diperkukuh serta saling melengkapi dalam ikhtiar untuk memastikan suasana pembelajaran yang kondusif buat anak-anak yang belajar di sini.
Saya turut menyampaikan sumbangan bernilai RM5,000 kepada pihak PIBG SK Seksyen 9 sebagai dukungan kepada pelaksanaan aktiviti-aktiviti berimpak tinggi melibatkan para guru dan murid.