Bayi baru lahir menangis ditemukan dalam semak
Manjung: Bayi lelaki dipercayai baru dilahirkan ditemukan masih bertali pusat dalam semak di belakang surau di Kampung Permatang, Sitiawan, di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Asisten Komisioner Hasbullah Abd Rahman berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung perkara itu pada 6.54 petang.
Menurutnya, bayi terbabit ditemui ahli jawatankuasa surau apabila terdengar bunyi tangisan bayi ketika sedang membersihkan persekitaran surau berkenaan.
"Ahli jawatankuasa itu terdengar bunyi tangisan bayi dan mengikut bunyi itu sehingga membawa kepada penemuan bayi yang dipercayai baru lahir terbabit.
"Siasatan polis mendapati bayi lelaki itu ditinggalkan dalam semak dengan dibaluti kain lalu dirujuk ke Hospital Seri Manjung untuk rawatan lanjut," katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurutnya, pihak polis kini mengesan ibu bayi berkenaan dan kes disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan kerana buang bayi.
Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Nur Munawara Ahmad di talian 011-16240391 atau Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung di talian 05-6886222.
Disiarkan pada: Disember 15, 2024 @ 1:07pm
Zahratulhayat Mat Arif
[email protected]
Artikel ➡️ Harian Metro