Andai kekicauku tidak lagi mengucup ubun-ubunmu,
Tidak lagi berpuisi mengiringimu beradu,
Sunyi delapan purnama hingga genapnya dua belas,
Aku mahu kau tahu,
Bahawasanya aku sedang menanti doamu dari kuburan,
Dengan hati yang segar merindumu.
Teruskanlah hidupmu, sayang.🌷
Kerisauan.
Seakan ajalku di birai pintu. Tersenyum. Sempatkah aku langsaikan segala yang tertunda? Dadaku ada kelelahan yang seperti tetamu tak terundang. Kamu siapa ya? Kamu bukan orang biasa-biasa di sini. Apa hajatmu?
Matamu yang sentiasa tegang,
Yang membuatmu ke dasar mistik.
Lunak suaramu buatku,
Olahnya tak siapa tahu.
Vas hatiku kecil buat telapakmu,
Enggan kuncup sesudah mekar seribu.
Puisi-puisi cinta tidak lagi berlagu.
Olehmu seorang yang berbudi.
Lahar memori tidak terduga.
Angan yang tak berpenghujung.
Hari-hari yang bernafas biasa.
Angkasa termenung,
Purnama tersenyum duka,
Awan berlalu tanpa sesapa.
Yang benar menantikanmu,
Aku.