Sejak bila mempunyai pendirian sendiri dianggap sebagai sombong?
Kalau kerana BN Johor memilih untuk bertanding di semua 56 kerusi, maka itu adalah keputusan politik yang dibuat selepas mengambil kira pandangan akar umbi dan suara majoriti Bangsa Johor. Tidak semua keputusan yang berbeza dengan kehendak pihak lain boleh dilabel sebagai tidak bekerjasama.
Sepanjang saya berada dalam Kerajaan Negeri, saya melihat sendiri bagaimana Johor sentiasa membantu agensi dan kementerian Persekutuan. Sekolah-sekolah dibantu. Hospital dan klinik dibantu. IPD, CIQ dan kem tentera dibantu. Malah penjawat awam Persekutuan yang berkhidmat di Johor turut dihargai. Tidak pernah pula Kerajaan Negeri bertanya sama ada itu bidang kuasa kami atau tidak.
Sebab bagi kami, apabila melibatkan rakyat Johor, soal kementerian mana yang bertanggungjawab bukanlah perkara utama. Yang utama ialah masalah rakyat dapat diselesaikan.
Sebab itu saya agak hairan apabila timbul dakwaan kononnya Johor tidak boleh bekerjasama. Jika benar begitu, nyatakanlah satu perkara yang Johor pernah halang. Nyatakanlah satu projek rakyat yang Johor pernah gagalkan. Nyatakanlah satu usaha Kerajaan Persekutuan yang Johor pernah tolak sehingga merugikan rakyat.
Hakikatnya, yang sukar diterima oleh sesetengah pihak bukanlah soal kerjasama. Yang sukar diterima ialah apabila Johor memilih untuk membuat keputusan sendiri dan berpegang kepada prinsip sendiri.
Johor menghormati Kerajaan Persekutuan. Johor menghormati Perdana Menteri. Tetapi hormat tidak bermaksud perlu bersetuju dalam semua perkara. Jika setiap perbezaan pandangan mahu dianggap sebagai sombong, maka ruang untuk berbeza pendapat dalam demokrasi semakin sempit.
Rakyat Johor cukup bijak untuk menilai. Mereka tahu bezanya antara sombong dan berprinsip. Mereka tahu bezanya antara bekerja untuk rakyat dan bermain dengan persepsi politik.