SEUTAS ROLEX UNTUK PALESTIN BERTUKAR PEMILIK
Alhamdulillah, telah sempurna penyerahan jam Rolex saya yang merupakan derma kurnia Raja Arab Saudi, DYMM Al-Malik Salman bin Abdulaziz Alsaud hafizahullahu ta’ala kepada pemilik baharunya, seorang “Hamba Allah” daripada Pasir Gudang, Johor.
Saya tanya kepada beliau, “Mengapa terdetik untuk membida dengan nilai RM135,000 pada 7 minit terakhir sebelum ditutup pada jam 12 tengah malam semalam?”
Pembida ini sebak dan kemudiannya menangis. Jawapannya kerana ia adalah derma kurnia Raja Arab Saudi, milik saya, dan demi Palestin.
Saya dalam perjalanan ke Abu Dhabi untuk menghadiri mesyuarat tahunan bersama Syeikhul Azhar. Saya akan singgah sebentar ke Jordan untuk menyerahkan sendiri RM100,000 kepada pelarian Palestin di Amman, melalui Muslim Care Malaysia.
Baki RM35,000 akan diserahkan bermula esok kepada 8 NGO terpilih iaitu MERCY Malaysia, Global Peace Malaysia, Cinta Gaza, Aqsa Syarif, PAS Relief, MAPIM, Aman Palestin dan MyFundAction.
Sehingga saat ini, Palestin masih berdarah. Terbaharu saya terima info, kem pelarian Palestin di Jabalia pula dibom tentera Zionis Israel.
Semoga ini menjadi sejuzuk kecil saksi pengorbanan kecil kami untuk Palestin.
لَنْ تَنَالُوا الْبِرَّ حَتّٰى تُنْفِقُوْا مِمَّا تُحِبُّوْنَ ۗوَمَا تُنْفِقُوْا مِنْ شَيْءٍ فَاِنَّ اللّٰهَ بِهٖ عَلِيْمٌ
Maksudnya: “Kamu tidak akan memperoleh kebajikan, sebelum kamu menginfakkan sebagian harta yang kamu cintai. Dan apa pun yang kamu infakkan, tentang hal itu sungguh, Allah Maha Mengetahui.” (Surah Ali Imran: 92)