Pada malam Israk Mikraj,
Langit terbuka bukan untuk dibanggakan,
Tetapi untuk mengajar manusia mencintai Tuhan
Sebagaimana alam tunduk dalam ketaatan.
Israk Mikraj juga mengajar kita bahawa jarak terjauh bukanlah langit,
Tetapi laluan hati yang lalai daripada solat dan ketaatan
Kenapa perlu bersedih,
Sedang alam pun sentiasa "tersenyum".
Mentari terbit menyapa pagi,
Angin bertiup lembut membawa harapan,
Hujan jatuh bukan menenggelam malah menyubur kehidupan.
Belajarlah dari alam,
Sungguh kita sebahagian daripadanya.
🌎🍂
"Sulam gembira dari benang kekurangan" ✨🌕
Dalam sempit hati berbunga,
Prinsip syukur jadi penawar jiwa,
Harta bukan sumber bahagia,
Cukup Redha, hidup bermakna.
#Cahaya4Gaza 🍉
Ibu dan Ayah, amanah dunia,
Lelah disimpan demi tercinta.
Tak pinta bintang, tak dambakan bulan,
Cukuplah ikhlas si anak mendoakan.
Wahai Ibu Ayah, penatmu tiada ganti.
Terima Doa Anakmu, hadiah abadi.
💕
Hati berbolak balik....
Hati adalah raja,
Anggota tubuh adalah tenteranya.
Tempatkan hatimu pada tuhan,
Agar perbuatanmu penuh kebaikan.
Jalani takdir yang disuratkan,
Sungguh tuhan janji tidak meninggalkan.
TENTANG KONFLIK YANG TAK PERLU DISELESAIKAN
"Faiz, saya tak tenang. Sebab tu saya nak berjumpa. Saya nak minta maaf dan saya nak memaafkan. Tapi lepas saya jumpa, saya bukan hanya kena minta maaf, sebaliknya saya diminta untuk menurut semua permintaan dan syaratnya. Bahkan dia langsung tak menyedari kesilapan-kesilapannya."
Tertera kata "typing" di status wasapnya. Saya membiarkan dia habiskan cerita.
"Saya fikir takkan hal yang jelas salahnya, dia tak mampu nak mengaku dan kita sama-sama meminta maaf? Berada di titik terendah sama-sama, dan mencari cara untuk saling bergerak ke depan?"
Saya menghela nafas panjang.
Soalan demi soalan mula bertubi-tubi menyucuk inti fikiran saya.
Benarkah semua konflik harus diselesaikan?
Benarkah semua konflik boleh selesai dengan semata berjumpa dan berbincang?
Bagaimana bila tidak ada ruang untuk manusia saling menyedari, dan saling menyesali? Hanya satu pihak sahaja?
Bagaimana jika kita berdepan dengan seorang narsisis, yang jelas tidak punya empati, kasihan, dan tak mungkin berada di titik terendah seperti kita?
Bagaimana jika kita berdepan dengan orang yang tak akan menyedari kesilapan dirinya, dan tak akan mampu merendah dan mencari kata sepakat untuk saling "move on"?
Seperti biasa, hal-hal begini sentiasa berjaya membuatkan saya menghabiskan cuti saya dengan membaca, menyelidik, menyelak satu per satu semua perbahasan tentangnya, terutama dari sudut agama.
Kita seringkali dinasihat untuk tidak memutuskan silaturrahim. Carilah cara untuk berdamai.
Tapi setakat apakah kita harus berusaha? Dan sampai mana?
Kenapa Nabi SAW tak berbincang dengan Abu Lahab jika konflik boleh selesai dengan semata berbincang?
Kenapa Allah tak melembutkan hati Abu Jahal untuk terima Nabi SAW dan mencari titik persefahaman untuk saling hidup di kota Mekah dengan aman damai?
Kenapa Allah memerintah Nabi SAW dan para sahabat keluar dari Mekah? Bukankah sepatutnya Nabi SAW terus mencari cara untuk berunding dan berkompromi asalkan konflik antara Nabi dan para pembesar Quraisy selesai?
Akhirnya, konflik Nabi SAW dengan Abu Jahal, Abu Lahab, tak selesai pun.
Dan konflik dengan Abu Sufyan hanya selesai setelah berlakunya "fathul makkah", setelah Nabi SAW mempunyai "upper hand".
Begitulah halnya tentang konflik. Tak semua konflik akan selesai, atau perlu diselesaikan.
Bila hanya kita sahaja yang ingin menyelesaikan, sanggup merendah diri, memohon maaf, tapi pihak satu lagi tidak mahu, wajarkan konflik itu diselesaikan?
Dan bila kita tak selesaikan konflik, apakah kita tidak akan tenang?
Mungkin ini masalahnya, kita fikir kita akan tenang bila kita senang dengan semua orang.
Ya, masalahnya di kata 'orang' itu.
Sedangkan tenang itu bukan tentang orang lain, tapi diri sendiri.
Tak mungkin Nabi SAW tak tenang hanya kerana tidak selesai konfliknya dengan Abu Jahal, kan?
Kita akan tenang bila kita sudah melakukan sebaiknya, tanpa menggugurkan maruah dan "sense of justice" kita.
Soal orang terima atau tidak, ia tak harus menjadi asbab ketenangan kita.
Dia terima, dan saling bergerak ke hadapan, Alhamdulillah.
Dia tak terima, pun Alhamdulillah. Kita sudah buat yang terbaik.
Tenanglah kita setelah kita berdamai dengan diri sendiri, dengan kenyataan bahawa "ternyata aku hanya semampu ini, Tuhan juga yang mengurus hati manusia."
Betapa benarnya saat Tuhan berfirman:
يَا أَيَّتُهَا النَّفْسُ الْمُطْمَئِنَّةُ (27) ارْجِعِي إِلَى رَبِّكِ رَاضِيَةً مَرْضِيَّةً(28)
Fokusnya ialah pada diri sendiri, berusahalah untuk menjadi "nafsul mutmainnah", jiwa yang tenang.
Setelahnya kembalilah kepada Tuhan dengan redha, dengan melapangkan diri, menyerah, dan saat itu, seselari itu juga,
Tuhan akan meredhai kita, melapangkan kita.
رَاضِيَةً مَرْضِيَّةً
Ia datang serentak.
Kita pulang dengan redha, dan serentak itu, Tuhan akan meredhai kita.
Ternyata konflik akhirnya takkan selesai, ketika kita sudah pun menetapkan kata usai,
dan tenang akan mulai menapak, menumbuh dengan damai.
"Jadilah engkau serupa tanah, bukan batu, yang mampu memekarkan beraneka bunga warna-warni, hingga limpahan kehijauan musim semi segera terbit dalam dirimu"
Rumi