𝗥𝗠𝗞𝟭𝟯: 𝗧𝗘𝗥𝗜𝗠𝗔 𝗞𝗔𝗦𝗜𝗛 𝗪𝗔𝗥𝗚𝗔 𝗞𝗘𝗠𝗘𝗡𝗧𝗘𝗥𝗜𝗔𝗡 𝗘𝗞𝗢𝗡𝗢𝗠𝗜
Saya belum sempat menelaah perkataan demi perkataan setiap muka surat dalam dokumen RMK13 yang dibentangkan hari ini.
Namun, berdasarkan ringkasan eksekutif yang saya baca setakat ini, saya gembira kerana hampir 95% dari yang dibangunkan sepanjang proses berjalan sehingga saya meletak jawatan, kekal dalam RMK13.
Semua reformasi besar yang melibatkan perubahan sistem pendidikan, struktur ekonomi, tumpuan kepada perkara-perkara baru seperti agenda negara menua dan membangunkan sektor ketiga - semuanya dikekalkan.
Disamping itu, rekayasa ekonomi yang telah dimulakan sebelum ini - dari NETR, KL20, JSSEZ, “Made by Malaysia”, beralih ke ekonomi berasaskan “consumption powerhouse”, CCUS dan yang telah dibangunkan dan belum diumumkan seperti Zon Pelaburan Pelancongan Khas (STIZ) - semuanya ada.
Begitu juga beberapa hasil kerja kami di Kementerian Ekonomi yang banyak tentangan sebelum ini, termasuklah pelaksanaan “anti red tape act” (ILTIZAM) dan akta mengharamkan amalan Ali Baba, semuanya dikekalkan.
Insya Allah, saya akan ulas satu persatu dalam tempoh seminggu akan datang. Izinkan saya menelaah setiap muka surat terlebih dahulu.
Saya dijangka akan berbahas mengenai RMK13 hari Isnin atau Selasa depan, seterusnya podcast YBM minggu depan (Jumaat, 8 Ogos) saya akan bersama-sama Dr Muhammad Khalid untuk mengupas RMK13 dengan lebih mendalam.
Sepanjang Ogos ini, saya juga akan mengupas sektor/bab satu persatu, untuk berkongsi perkara-perkara dasar yang perlu diketahui rakyat.
Maka selesailah satu tanggungjawab besar yang saya dan rakan-rakan di Kementerian Ekonomi pikul sejak November 2022, iaitu merangka perancangan masa depan yang lebih baik untuk semua rakyat Malaysia.
Saya ucap terima kasih dan tahniah kepada semua warga Kementerian Ekonomi, dari KSU, TKSU-TKSU, pasukan RMK13 hinggalah kakitangan sokongan, yang bertungkus lumus menyediakan dokumen ini selama 20 bulan.
Tugas mereka lebih mencabar akibat ura-ura rombakan yang perlu dibuat di saat akhir.
Alhamdulillah, akhirnya ura-ura itu hanya reaksi politik sahaja, bermakna kepimpinan Kementerian Ekonomi berjaya mempertahankan supaya perancangan jangka masa panjang negara jangan dicampur aduk dengan hiruk pikuk politik.
Habis satu tugas, kita semua ada tugas yang baru iaitu memastikan perancangan ini dilaksanakan dengan cekap, sesiapa pun menjadi kerajaan.
Doa saya rakyat jua yang akan mendapat manfaat di masa akan datang.
𝗞𝗔𝗧𝗔 𝗔𝗗𝗔 𝗥𝗘𝗙𝗢𝗥𝗠𝗔𝗦𝗜 𝗣𝗘𝗡𝗗𝗜𝗗𝗜𝗞𝗔𝗡 𝗗𝗔𝗟𝗔𝗠 𝗥𝗠𝗞𝟭𝟯, 𝗠𝗔𝗡𝗔𝗡𝗬𝗔?
Ada beberapa pengumuman besar dalam RMK13 yang akan mengubah lanskap pendidikan negara dalam tahun-tahun akan datang.
(1) Pendidikan pra-sekolah bermula 5 tahun akan diwajibkan dan disediakan untuk semua di sekolah-sekolah kerajaan seluruh negara.
(2) Pendidikan sekolah rendah akan bermula pada umur 6 tahun, dan pelajar akan habis sekolah menengah pada umur 16 tahun.
(3) Pelaburan untuk meningkatkan kompetensi guru supaya kerjaya perguruan melalui proses penilaian dan latihan berterusan seperti profesional lain.
Perkara-perkara ini jadi perdebatan besar dalam kerajaan sebelum ini.
Diagnosisnya begini:
(1) Peruntukan untuk pendidikan, sebagai peratusan dari saiz ekonomi negara, sebenarnya tinggi relatif kepada negara-negara yang sama kategori dengan kita.
(2) Tetapi banyak peruntukan ini lebih cenderung kepada pembinaan fizikal yang kosnya semakin tinggi setiap tahun.
(3) Akibatnya, pelaburan untuk meningkatkan kompetensi guru tidak mencukupi. Kalau tukar silibus pun, kalau guru tidak dilatih dengan baik, ia tidak akan mencapai matlamat menaiktaraf silibus.
(4) Dari perspektif pembangunan kanak-kanak, umur yang paling kritikal ialah di antara 4 hingga 7 tahun. Lebih awal kanak-kanak melalui pembangunan fizikal dan mental yang baik, potensi pembelajaran ditingkatkan di tahun-tahun persekolahan seterusnya.
(5) Ibubapa pula terbeban dengan kos membayar yuran pra-sekolah kerana ia tidak ditawarkan secara universal dan hak rakyat. Kos pra-sekolah menjadi beban kos sara hidup bagi keluarga muda.
(6) Dari perspektif ekonomi, Malaysia melalui negara menua. Jumlah tenaga kerja akan mengecil, jadi sebaiknya generasi akan datang menyertai tenaga kerja lebih awal, selepas pendidikan menengah wajib yang berakhir pada umur 16 tahun.
Beberapa perubahan khusus yang perlu berlaku hasil reformasi pendidikan RMK13 ini:
(a) Kemudahan pra-sekolah di dalam sekolah-sekolah akan ditambah dan dibina baru di seluruh Malaysia bermula 2026
(b) Masa persekolahan dan silibus akan disesuaikan agar darjah satu bermula pada umur 6 tahun dan habis umur 16 tahun
(c) Sebahagian Institut Pendidikan Guru (IPG) akan dijadikan pusat latihan kompetensi guru yang khusus untuk melatih guru-guru dalam perkhidmatan secara berterusan, bukan lagi untuk melatih pelajar lepasan sekolah untuk menjadi guru
Keluarga yang ada anak umur tiga tahun ke bawah, dah boleh bayangkan anak masuk pra-sekolah wajib berumur 5 tahun lepas ini.
Dalam Episod 7 Podcast Yang Berhenti Menteri, saya kupas isu hangat antara PETRONAS dan Petros berkenaan hak mengawal minyak dan gas di Sarawak.
Saya huraikan dari sudut undang-undang, hak negeri, dan implikasi ekonomi yang mungkin timbul dari pertikaian ini.
𝗕𝗘𝗟𝗜𝗔 𝗠𝗔𝗟𝗔𝗬𝗦𝗜𝗔 𝗗𝗜 𝗞𝗘𝗗𝗨𝗗𝗨𝗞𝗔𝗡 𝗞𝗘𝗟𝗜𝗠𝗔 𝗧𝗘𝗥𝗧𝗜𝗡𝗚𝗚𝗜 𝗗𝗜 𝗗𝗨𝗡𝗜𝗔, 𝗗𝗔𝗟𝗔𝗠 𝗦𝗘𝗡𝗔𝗥𝗔𝗜 𝗣𝗘𝗠𝗕𝗨𝗟𝗜 𝗦𝗜𝗕𝗘𝗥
Orang kita memang hebat-hebat, tanpa disedari kita duduki kedudukan teratas di dunia.
Terbaru, Malaysia menduduki kedudukan kedua di Asia, selepas China, dalam ranking kejadian buli siber di kalangan remaja. Di peringkat dunia, kita berada di kedudukan kelima, seperti yang dilaporkan United Nations Children’s Fund (UNICEF).
Satu kajian mengenai insiden buli siber di kalangan remaja menunjukkan 47% dari ibu bapa sedar sekurang-kurangnya ada seorang kanak-kanak dan remaja yang dibuli siber di dalam komuniti mereka.
Malah, satu dari empat ibu bapa merasakan anak mereka dibuli siber.
Sebagai ibu bapa, kita semua bertanggungjawab. Anak-anak mengambil teladan dari kita. Bila kita buat komen di media sosial yang buat kita rasa hebat tetapi sebenarnya kita membuli siber, itu membiasakan perbuatan buli siber dalam masyarakat.
Saya ada satu cadangan.
Di kalangan netizen, perbalahan yang sering membawa kepada maki hamun dan buli siber ini selalunya berkait politik.
Untuk bulan Ogos, jom kita cuba salurkan ego dan nafsu buli siber kita itu kepada perkara lain.
Pada satu ketika, rakyat Malaysia menjadi berita antarabangsa kerana menghentam Israel secara terus di akaun-akaun Israel, sehingga rakyat Malaysia dikenali sebagai Bawang Army.
Sudah sampai masanya kita menjadi Bawang Army beramai-ramai untuk mendesak Israel menghentikan kekejaman yang menyebabkan kebuluran besar-besaran di Gaza.
Di masa dunia tertumpu kepada kesengsaraan di Gaza akibat tindakan Israel menyekat makanan kepada rakyat Palestin, kita lebih bising mengenai Turun Anwar, Kekal Anwar dan semua perkara politik.
Buli siber perlu dibendung dalam masyarakat terutamanya di kalangan remaja.
Kalau dah tak tahan sangat nak buat posting panas, biarlah ada kebaikan, contohnya untuk mendesak Israel menghentikan kekejaman ini.
𝟲 𝗔𝗺𝗮𝗹𝗮𝗻 𝗬𝗮𝗻𝗴 𝗣𝗲𝗿𝗹𝘂 𝗗𝗶𝗵𝗲𝗻𝘁𝗶𝗸𝗮𝗻 𝗨𝗻𝘁𝘂𝗸 𝗧𝗶𝗱𝗮𝗸 𝗠𝗲𝗻𝗴𝗴𝗲𝗹𝗶𝗻𝗰𝗶𝗿𝗸𝗮𝗻 𝗥𝗠𝗞𝟭𝟯
Dalam perbahasan RMK13 baru-baru ini, saya menggariskan 6 amalan yang perlu dihentikan untuk memastikan segala perancangan RMK13 tidak tergelincir.
1. Tukar kerajaan, buang terus walaupun rancangan baik
2. Kalau bukan idea aku, aku takkan sokong
3. Sokong dulu depan, belakang kita sailang
4. Isu 20:80
5. Rancangan lain projek lain
6. Kita dah buat semua ni, kita dah ada
Saya berharap kerajaan sekarang dan kerajaan akan datang menghindari perangai-perangai ini supaya rancangan yang baik di atas kertas dipadankan dengan pelaksanaan yang baik untuk mencapai matlamat.
Dalam Podcast YBM #7, saya ditanya berkenaan pendirian saya tentang rundingan antara PETRONAS dan Petros berhubung hasil minyak dan gas di Sarawak
Sebarang perbincangan perlu capai penyelesaian yang adil dan menyeluruh supaya tidak menjejaskan ekonomi negara.
Jika rundingan ini tidak dilaksanakan dengan cermat, PETRONAS boleh kehilangan antara RM15 hingga RM20 bilion setahun. Itu jumlah besar yang selama ini digunakan untuk bantu rakyat seluruh negara
Kita juga perlu jaga keyakinan pelabur dalam industri minyak dan gas. Ini sektor yang perlukan pelaburan awal berbilion ringgit. Mereka perlukan dasar yang stabil dan jelas
Saya jelaskan lebih lanjut dalam video ini. Harap dapat beri sedikit pencerahan.
Dalam 𝗣𝗼𝗱𝗰𝗮𝘀𝘁 𝗬𝗕𝗠 #𝟴, saya mengupas rasional di sebalik cadangan menaikkan had umur persaraan, susulan pembentangan RMK13 baru-baru ini.
Isu ini panas kerana ada yang melihat ia seolah-olah menutup ruang untuk anak muda, dari peluang kerja hinggalah peluang naik pangkat. Pada masa yang sama, timbul pula perdebatan tentang keperluan memulakan pra sekolah lebih awal bagi membina generasi masa depan.
Semua hujah, fakta, dan cerita saya kupas dalam episod ini.
🎧 Tonton Episod Penuh Podcast YBM #8: https://t.co/QDah7DeFr5
Sekolah adalah tempat yang sangat penting untuk kita. Sekolah bukan sahaja memberi ilmu, ia tempat memupuk budaya dan sikap.
Bila Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek jadi cheerleader ajak murid-murid sekolah ucapkan Happy Birthday PMX We Love You, saya kena tegur Fadhlina.
Jangan kita campur adukkan kehendak dan kemahuan kita dengan pendidikan kanak-kanak.
Kalau ya pun dia sangat cintakan PMX dan mahu buktikan kesetiaan, cukup dengan ucapan dari dia sendiri, tak perlu libatkan murid-murid.
Bila dia buat begitu, nanti di masa akan datang tak salahlah menteri-menteri pendidikan akan datang meminta murid-murid, pelajar dan siswa menyatakan taat setia dan kecintaan kepada pemimpin lain.
Sedangkan sekolah tidak boleh dicampur adukkan dengan politik dan pandangan peribadi kita.
Saya cukup berhati-hati dengan sekolah. Sepanjang saya jadi Ahli Parlimen, sebaik mungkin saya bantu permohonan sekolah-sekolah di Pandan. Tapi saya hanya hadir ke dalam kawasan sekolah sekali sahaja, itu pun sebab dipujuk sangat oleh guru besar.
Sebabnya ialah saya tidak mahu campur adukkan politik dengan sekolah dan anak-anak kita.
Saya tahu kalau orang lain buat, saya akan marah.
Tapi kini bila Menteri Pendidikan dari PKR sendiri yang buat, saya pun rasa malu.
Lepas ni orang PKR tak boleh kritik dah kalau ada ahli politik masuk sekolah dengan mesej politik.
𝗨𝗖𝗔𝗣𝗧𝗔𝗠𝗔 𝗗𝗜 𝗣𝗘𝗥𝗦𝗜𝗗𝗔𝗡𝗚𝗔𝗡 𝗞𝗘𝗣𝗜𝗠𝗣𝗜𝗡𝗔𝗡 𝗦𝗜𝗦𝗪𝗔 𝗠𝗔𝗟𝗔𝗬𝗦𝗜𝗔 (𝗠𝗦𝗟𝗦)
Setiap tahun, hampir seribu wakil pelajar Malaysia dari seluruh dunia menyertai satu persidangan yang dipanggil MSLS anjuran United Kingdom Executive Council (UKEC) for Malaysian students.
UKEC adalah badan gabungan persatuan pelajar Malaysia di UK & Ireland, yang menggabungkan lebih 50 persatuan dan ditubuhkan tahun 1994.
Saya adalah pengerusi UKEC bagi tahun 1997 ke 1999 dan tahun ini UKEC menyambut ulang tahun ke-30.
Saya juga adalah satu-satunya pengerusi UKEC yang berkecimpung dalam politik nasional sepenuh masa sejak 30 tahun lalu.
Saya diberi peluang memberi ucaptama penutup bagi tahun ini dengan satu tema khusus: sejauh mana reformasi sedang berjalan.
Dalam perkongsian tanpa teks ucapan lebih sejam, saya gariskan beberapa prasyarat untuk memastikan reformasi berjalan baik:
1. Agenda reformasi mesti mempunyai matlamat yang jelas; iaitu bentuk masyarakat yang macam mana yang kita nak bentuk
2. Kerangka reformasi mesti ada parameter dan sasaran yang khusus
3. Pelaksanaan reformasi mesti ada impak yang bawa kesan kepada masyarakat
4. Reformasi mesti diketuai oleh tokoh-tokoh berwibawa yang diyakini rakyat kerana rekod yang bersih, terutamanya yang mengetuai badan-badan penguatkuasa
Saya juga ditanya mengenai cara berfikir yang lebih baik agar siswa dapat menyumbang kepada negara.
Jawapan saya: golongan muda yang ada semuanya lebih cerdik dari kami semasa kami umur yang sama.
Yang diperlukan bukanlah otak yang lebih bergeliga, tetapi hati yang lebih ikhlas, baik dan kental.
(Rakaman ini adalah ihsan UKECtv)
𝗞𝗘𝗝𝗔𝗗𝗜𝗔𝗡 𝗦𝗘𝗥𝗔𝗡𝗚𝗔𝗡 𝗧𝗘𝗥𝗛𝗔𝗗𝗔𝗣 𝗔𝗡𝗔𝗞 𝗦𝗔𝗬𝗔
Sekitar jam 145 petang ini, semasa anak dan isteri saya memasuki kereta untuk meninggalkan sebuah pusat membeli belah di Putrajaya, secara tiba-tiba seorang lelaki mengheret anak saya dan mencucuknya dengan jarum suntikan.
Semakan menunjukkan dua orang lelaki yang menaiki sebuah motosikal telah mengekori kereta isteri saya. Pada hemat saya, mereka telah merancang serangan itu lebih awal.
Serangan itu melibatkan dua orang lelaki yang berpakaian hitam sepenuhnya dan bertopi keledar yang menutup muka keseluruhannya. Mereka telah menunggu lebih awal dan bergegas menyerang anak saya pada ketika yang sesuai.
Anak saya telah dibawa segera ke Hospital UPM untuk rawatan.
Pihak polis juga telah berada di tempat kejadian sejurus kejadian. Saya dan keluarga saya telah pun memberi kenyataan kepada pihak polis.
Sebarang maklumat lanjut mengenai kejadian, siasatan dan keputusan pemeriksaan doktor sewajarnya dikeluarkan oleh pihak polis dan Hospital UPM.
Saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada pihak PDRM dan Hospital UPM yang telah membantu keluarga saya melalui kejadian ini.
Sepanjang saya menjadi seorang ahli politik berprofail awam, inilah kali pertama keluarga saya menjadi sasaran serangan dan ugutan seperti ini. Saya percaya serangan ini adalah satu amaran kepada saya supaya tidak bersuara lantang dalam beberapa isu tertentu.
Terima kasih kepada semua yang telah menghantar mesej dan bertanya khabar.
Insya Allah, sementara saya akan mengambil langkah susulan untuk meningkatkan kawalan keselamatan, saya juga tidak akan tunduk kepada sebarang ugutan dan akan terus menjalankan tugas saya seperti biasa.
𝗥𝗔𝗙𝗜𝗭𝗜 𝗥𝗔𝗠𝗟𝗜
𝟭𝟯 𝗢𝗴𝗼𝘀 𝟮𝟬𝟮𝟱
Hey, I use the Wise card to pay online and when I travel abroad. Really easy and a lot cheaper than bank cards! Here's a free Wise card for you. Join me in saving money!
https://t.co/wWy2pvgP1y
Malay Boys Higher Education Crisis
The ongoing crisis facing Malay boys in higher education demands urgent attention and strategic solutions to ensure equal access and opportunities for all students. #HigherEducation#MalayBoys#EqualityInEducation.