Assalamualaikum wbt..saya ada menjual perfume badan rm100 sebotol dan minyak wangi kereta dari pokok gaharu rm15....boleh wasap untuk order...tq☺️ https://t.co/sSJBbn66ui
Tiga Suspek Samun Bersenjata Di Ipoh, Pulau Pinang Sudah Dikenal Pasti
Oleh Mynewshub
IPOH – Polis sudah mengenal pasti tiga lelaki tempatan yang dipercayai terbabit dalam dua kejadian samun bersenjata di Perak dan Pulau Pinang yang berlaku Ahad lalu.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Muhammad Najib Hamzah berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian samun di sebuah kedai runcit di Taman Klebang Ria, Chemor sebelum menjalankan siasatan lanjut.
Menurut beliau, hasil siasatan awal mendapati kumpulan sama dipercayai turut terbabit dalam satu lagi kejadian samun di sebuah kedai serbaneka di Nibong Tebal, Pulau Pinang.
“Dalam kejadian di Chemor, tiga suspek memasuki premis dengan membawa parang sebelum melarikan wang tunai serta beberapa barangan milik mangsa,” katanya dalam kenyataan.
Difahamkan, mangsa yang merupakan seorang wanita berusia lingkungan 20-an bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan.
Kejadian tersebut turut tular di media sosial selepas rakaman insiden berkenaan dikongsi orang ramai.
Sementara itu, dalam kejadian di Nibong Tebal, suspek dipercayai bertindak lebih agresif apabila menyerang seorang lelaki berusia 27 tahun menggunakan parang sebelum melarikan wang tunai, beberapa kotak rokok dan sebuah beg silang.
Mangsa dilaporkan mengalami kecederaan di bahagian kepala dan kedua-dua tangan sebelum menerima rawatan di Hospital Sungai Bakap dan kemudian dirujuk ke Hospital Sunway Pulau Pinang.
Keadaan mangsa dilaporkan stabil.
Polis kini giat mengesan semua suspek yang dipercayai terlibat dalam kedua-dua kejadian tersebut.
Kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.
Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Bilik Gerakan IPD Ipoh di talian 05-2451500 atau tampil ke balai polis berhampiran bagi membantu siasatan. — Mynewshub