Kenyataan Media BERSIH
5 Mac 2026
SPRM Tidak Boleh Jadi Senjata Politik, Azam Baki Perlu Letak Jawatan Segera
Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) mengecam halatuju Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), yang dilihat semakin menyimpang daripada mandat asalnya untuk penguatkuasaan mencegah serta melawan rasuah, namun sebaliknya menjadi alat intimidasi politik melalui institusi ini.
“Pemburuan” awam terbaru terhadap James Chai, seorang warganegara biasa dan bekas pegawai kepada bekas Menteri Ekonomi Rafizi Ramli, menandakan satu tahap baharu yang membimbangkan. Dengan menyiarkan “notis mengesan” yang turut memaparkan alamat rumah keluarganya - di mana ibu bapanya yang sudah lanjut usia menetap - walaupun James Chai menegaskan beliau tidak pernah dihubungi secara langsung untuk sebarang siasatan, SPRM telah terlibat dalam tindakan memalukan secara sengaja serta membina persepsi telah bersalah. Ini bukanlah prosedur siasatan yang lazim dan wajar, dan hanya boleh disifatkan sebagai pendedahan (doxxing) institusi yang bertujuan mencemarkan reputasi.
BERSIH mengambil maklum dengan kebimbangan bahawa peningkatan tindak balas ini berlaku ketika ramai pihak termasuk YB Rafizi Ramli terus lantang memperjuangkan reformasi institusi dan baru-baru ini berucap di perhimpunan #TangkapAzamBaki yang dianjurkan oleh masyarakat sivil dan aktivis mahasiswa. Masa tindakan ini diambil menimbulkan persepsi wujudnya pola tindakan balas, di mana SPRM dipersenjatakan terhadap mereka yang menuntut kebertanggungjawaban institusi penguatkuasaan antikorupsi ini.
Mempergunakan Suruhanjaya tersebut untuk menyasarkan pegawai politik atas alasan “kepentingan negara” sambil mengabaikan kerosakan di peringkat tertinggi suruhanjaya itu sendiri adalah satu pengkhianatan terhadap semangat reformasi.
Keyakinan awam terhadap SPRM telah merosot ke tahap rendah susulan pendedahan terkini oleh Bloomberg mengenai dakwaan kaitan “mafia korporat” dalam agensi tersebut serta bayangan berpanjangan berhubung pegangan saham Ketua Pesuruhjayanya, Azam Baki.|
Berbanding menangani dakwaan serius ini secara telus, pihak berkuasa memilih untuk:
1. Mengganggu wartawan dengan menghantar polis ke pejabat tempatan Bloomberg untuk menjejaki wartawan penyiasat;
2. Membingkaikan kewartawanan penyiasatan yang sah sebagai satu konspirasi asing, iaitu taktik yang mengingatkan kepada pendekatan era Najib Razak semasa skandal 1MDB, apabila tindakan keras diambil terhadap media dan aktivis dengan alasan “aktiviti memudaratkan demokrasi berparlimen” demi kelangsungan politik susulan laporan The Wall Street Journal mengenai 1MDB.
BERSIH melihat ironi besar apabila Perdana Menteri Anwar Ibrahim, yang suatu ketika dahulu mendapat sokongan teguh media antarabangsa dan pertubuhan hak asasi manusia ketika berdepan penganiayaan politik, kini mengetuai pentadbiran yang melabel kewartawanan penyiasatan sah oleh media antarabangsa sebagai “campur tangan”.
Menolak laporan rasuah sebagai konspirasi untuk menjatuhkan kerajaan adalah satu kaedah memperdaya rakyat Malaysia daripada melihat isu sebenar. Perdana Menteri perlu beringat bahawa beliau sendiri pada satu masa pernah menjadi mangsa undang-undang dan institusi berat sebelah yang kini dibiarkan berterusan.
Sehubungan kegagalan sistemik ini, BERSIH sekali lagi mengulangi tuntutan berikut:
1. Peletakan Jawatan Segera Azam Baki: Kehadiran beliau sebagai Ketua Pesuruhjaya tidak lagi boleh dipertahankan dan terus menjejaskan reputasi SPRM.
2. Reformasi segera SPRM: Reformasi Proses pelantikan Ketua Pesuruhjaya SPRM mesti diteliti oleh Jawatankuasa Pilihan Parlimen (JKP) bagi memastikan pengawasan dwi-partisan dan berintegriti.
3. Hentikan gangguan terhadap James Chai dan wartawan: Hentikan penggunaan “Notis Mengesan” sebagai alat memalukan secara terbuka dan hentikan intimidasi terhadap media. Modus operandi SPRM seolah-olah sesuatu pihak itu telah bersalah sebelum ada siasatan yang telus.
4. Tubuhkan segera satu panel yang bebas atau Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat semua tuduhan yang tertunggak termasuk tuduhan ''mafia korporat'' di dalam SPRM.
Anwar Ibrahim dan Kerajaan Madani tidak boleh mendakwa memerangi rasuah sambil melindungi ketua penguatkuasanya daripada penelitian yang sama yang dikenakan secara terpilih terhadap pihak lain. Sehingga kini Kerajaan Madani tidak menunjukkan kepimpinan yang berkesan untuk menyiasat Azam Baki melalui satu badan yang bebas daripada campur tangan Eksekutif.
Dikeluarkan oleh:
Jawatankuasa Pemandu BERSIH
Kenyataan penuh James Chai, mantan pegawai kepada @rafiziramli. Sebarkan! (Bebenang 1/2).
HANYA KERANA ADA KAITAN DENGAN YB RAFIZI RAMLI
Saya bukan Jho Low 2.0: Mengapa Anwar Ibrahim dan Azam Baki menyasarkan seseorang seperti saya
Pada 7 Mac 2015, saya menganjurkan satu protes yang dinamakan “Rise with Justice”. Ketika itu saya merupakan pelajar tahun ketiga jurusan undang-undang di United Kingdom. Saya tidak pernah terbayang bahawa Malaysia akan berani menggunakan seluruh jentera negara untuk mensabitkan Dato’ Seri Anwar Ibrahim buat kali kedua secara tidak adil.
Ramai pelajar Malaysia di UK ketika itu tidak berani hadir ke protes tersebut. Namun sebagai pemimpin pelajar bagi Malaysia Progressives United Kingdom, saya tetap meneruskannya kerana saya mahu dunia mengetahui tentang ketidakadilan mendalam yang berlaku dalam negara.
Ramai pemimpin Reformasi selalu bercakap tentang kebangkitan politik mereka pada tahun 1998. Bagi saya, kebangkitan itu berlaku pada 2015.
Apabila Anwar Ibrahim akhirnya menjadi Perdana Menteri pada November 2022, saya menulis sebuah artikel bertajuk “Anwar made me believe in something”. Artikel itu menggambarkan betapa bermaknanya detik tersebut kepada penyokong seperti saya.
Saya teringat kepada ramai penyokong yang sanggup berdepan hujan dan panas, kekasaran polis, gas pemedih mata, kehilangan pekerjaan dan dipulaukan masyarakat — semuanya demi satu idealisme: melihat keadilan ditegakkan. Melihat Anwar dibebaskan dari penjara. Melihat Anwar menjadi pemimpin negara.
Namun pada 4 Mac 2026, Anwar dan Tan Sri Azam Baki kini menyasarkan saya.
Asas siasatan ini adalah dakwaan bahawa terdapat salah guna dana oleh bekas majikan saya, YB Rafizi Ramli, dan bahawa perjanjian yang saya terlibat dengannya diluluskan secara tergesa-gesa.
SPRM telah mengeluarkan notis pencarian awam terhadap saya seolah-olah saya seorang pelarian. Azam Baki juga mengadakan sidang media mengenai perkara ini, memberi gambaran bahawa saya sedang bersembunyi seperti seorang penjenayah.
Hakikatnya, saya tidak bersembunyi.
Fakta dan kronologi sebenar
1. Pada 15 Februari 2023, saya dilantik sebagai Pegawai Tugas-Tugas Khas (Dasar) kepada Menteri Ekonomi Malaysia, melapor kepada YB Rafizi Ramli.
2. Pada 22–23 April 2024, Kerajaan Malaysia menganjurkan persidangan teknologi dua hari bernama KL20, yang menampilkan ramai tokoh antarabangsa dan tempatan dalam industri teknologi dan startup.
Ini merupakan antara acara teknologi paling berprofil tinggi pernah dianjurkan di Malaysia:
• Hampir RM1 bilion dana global dilancarkan
• Sekitar 20 firma modal teroka dan pengasas syarikat memutuskan membuka pejabat di Malaysia
• Lebih 10 dasar dan inisiatif baharu diperkenalkan
• Pengumuman taman semikonduktor terbesar di Asia Tenggara
Saya dan rakan-rakan di Kementerian Ekonomi memimpin penganjuran persidangan ini. Arm Limited dijemput sebagai penceramah jemputan dalam sesi semikonduktor.
3. Pada hari pertama KL20, 22 April 2024, pasukan Arm Limited telah dijemput secara tergesa-gesa untuk bertemu Perdana Menteri di pejabatnya. Saya tidak berada dalam pertemuan tersebut.
Namun daripada gambar di Instagram, saya melihat bahawa YB Tengku Zafrul, YB Gobind Singh Deo, YB Zambry Kadir, YB Fahmi Fadzil dan beberapa pegawai kanan kerajaan turut hadir.
Setahu saya, permintaan utama kerajaan adalah supaya Arm Limited membantu aspirasi semikonduktor Malaysia. Disebabkan semangat yang terhasil daripada KL20 dan juga urgensi daripada Perdana Menteri, pihak Arm Limited memberikan cadangan awal bagaimana kerjasama ini boleh dilaksanakan.
4. Selepas pertemuan itu, saya ditugaskan oleh Menteri Ekonomi untuk meneroka peluang kerjasama dengan Arm Limited, kerana saya mengendalikan KL20 dan kebanyakan inisiatif teknologi kementerian.
5. Antara Mei 2024 hingga 5 Mac 2025, saya menghasilkan:
• lebih 20 pembentangan Google Slides
• lebih 10 dokumen Google Docs
• berbincang dengan lebih 100 pihak berkepentingan dalam kerajaan dan industri
Arwah adik zara pssed awy in an age whre socmed was loud. Her name trended, her photo shared, her story told n retold until the whole country cried. But there’s another story almost the same. A story time hs buried. This is about a boy named Muhammad Naim Mustaqim🧵