Bermula esok (Isnin), jom luangkan beberapa minit setiap hari bersama-sama kami untuk renungan yang ringkas dan penuh makna melalui Siri Hikmah Kehidupan yang membawakan 6 Hikmah dan 6 Renungan sebagai panduan kita mengahdapi kehidupan dengan sabar dan syukur.
Jangan lepaskan untuk mengikuti setiap episod. Semoga setiap perkongsian kami ini menjadi asbab kebaikan buat kita semua.
Ramai diantara kita risau bila duit makin berkurang tapi jarang pula kita risau pahala makin hilang.
Rezeki hanya menemani kita di dunia tetapi pahala akan menemani hingga ke akhirat.
Jangan biarkan akaun akhirat kosong.
Setiap hari kita panik bila bateri telefon tinggal 1%. Terus cari pengecas. Tapi pernahkah kita risau bila "bateri" iman semakin lemah?
Hakikatnya, hati juga perlukan cas. Solat, al-Quran, zikir, doa dan istighfar ialah pengecas yang menghidupkan semula jiwa.
Jangan tunggu hati menjadi keras baru mencari Allah. Cas iman setiap hari kerana kekuatan hidup bukan terletak pada bateri telefon yang penuh tetapi pada hati yang sentiasa dekat dengan-Nya.
Bayangkan... jika solat yang baru kita tunaikan sebentar tadi adalah solat terakhir dalam hidup kita. Adakah kita benar-benar telah mengerjakannya dengan penuh khusyuk dan ikhlas?
Tiada siapa mengetahui bila ajal akan menjemput. Selagi masih diberi nafas, marilah kita memperbaiki solat sedikit demi sedikit. Semoga setiap sujud menjadi bekalan terbaik untuk bertemu Allah SWT.
Ya Allah, jadikanlah kami dalam kalangan hamba-Mu yang sentiasa menjaga solat.
Setiap hari kita menarik ribuan nafas namun tidak pernah sekali pun Allah menghantar bil untuk setiap hembusan itu. Itulah kasih sayang-Nya yang tidak pernah putus.
Ironinya, nikmat yang datang tanpa henti sering kita anggap biasa. Sedangkan sujud yang hanya mengambil beberapa minit masih kita tangguhkan, masih kita berkira.
Jangan tunggu sehingga nafas menjadi sempit untuk menghargai setiap nikmat yang Allah pinjamkan. Selagi dada masih berombak, pintu taubat masih terbuka dan peluang untuk sujud masih ada.
Setiap nafas itu percuma. Jangan biarkan sujud menjadi perkara yang paling mahal dalam hidup kita.
Kita tiba di penghujung siri Kenali 8 Pintu Syurga dengan mengenali Al-Maqamul Amin iaitu syurga yang melambangkan tempat tinggal yang penuh keamanan, ketenangan dan keselamatan daripada segala ketakutan, kesedihan serta keburukan.
Di dunia, hati sering diuji dengan keresahan, kehilangan dan pelbagai cabaran. Namun, di Al-Maqamul Amin tiada lagi rasa takut, tiada lagi dukacita dan tiada lagi keletihan. Yang ada hanyalah kebahagiaan yang kekal di bawah rahmat Allah SWT.
Semoga siri ini bukan sekadar menambah pengetahuan tentang nama-nama syurga tetapi menjadi motivasi untuk kita memperbanyakkan amal soleh, memperbaiki akhlak dan terus istiqamah mencari keredaan Allah. Mudah-mudahan Allah SWT menghimpunkan kita semua di syurga-Nya bersama Rasulullah SAW dan insan-insan yang beriman.
"Sesungguhnya orang-orang yang bertakwa berada di tempat yang aman (Maqamin Amin)."
(Surah ad-Dukhan: 51)
Semoga 8 pintu syurga yang telah kita kenali menjadi inspirasi untuk terus memperbaiki diri kerana impian seorang mukmin bukan sekadar mengetahui nama-namanya tetapi menjadi insan yang dipanggil untuk memasukinya.
Perjalanan mengenali 8 Pintu Syurga kini membawa kita ke Darul Muqamah iaitu syurga yang menjadi tempat tinggal kekal bagi hamba-hamba Allah yang berjaya meraih rahmat-Nya.
Di Darul Muqamah, tiada lagi kesedihan, keletihan, ketakutan atau perpisahan. Penghuninya menikmati kehidupan yang kekal abadi dalam nikmat Allah SWT, tanpa kematian dan tanpa pengakhiran.
Kehidupan di dunia hanyalah persinggahan yang sementara, manakala Darul Muqamah ialah destinasi yang kekal selama-lamanya. Justeru, jadikan setiap amal soleh, taubat yang ikhlas dan kesabaran menghadapi ujian sebagai bekalan untuk menuju tempat yang abadi itu.
Semoga Allah SWT menetapkan hati kita di atas jalan kebenaran dan mengurniakan kita tempat di Darul Muqamah, tempat tinggal yang kekal di sisi-Nya.
"Segala puji bagi Allah yang telah menghilangkan dukacita daripada kami... Dialah yang dengan kurnia-Nya menempatkan kami di Darul Muqamah (tempat tinggal yang kekal), di dalamnya kami tidak merasa penat dan tidak pula merasa letih."
(Surah Faatir: 34–35)
Hari ini telah berlangsung Kursus Pemantapan Hospital Mesra Ibadah (HMI) IKN dan Pengukuhan Pasukan Siri 2 Bilangan 1 yang dalam usaha memperkukuh kefahaman, meningkatkan kompetensi serta mempererat semangat kerja berpasukan demi penyampaian perkhidmatan yang lebih holistik.
Kursus ini turut diserikan dengan kehadiran YBrs. Dr. Nur Aslina binti Bahakodin, Pengarah Institut Kanser Negara, serta YBrs. Dr. Nurul Amiera binti Asli, Timbalan Pengarah (Perubatan II) sebagai tanda sokongan terhadap usaha memperkasakan pelaksanaan Hospital Mesra Ibadah di IKN.
Semoga ilmu yang dikongsikan menjadi bekalan untuk terus menyantuni pesakit dengan penuh ihsan, profesionalisme dan nilai-nilai insani, sekali gus memperkukuh budaya kerja cemerlang di Institut Kanser Negara.
Perjalanan mengenali 8 Pintu Syurga kini membawa kita kepada Darus-Salaam yang bermaksud "Negeri Kesejahteraan" atau "Tempat Kedamaian". Ia merupakan syurga yang dipenuhi keamanan, ketenangan dan kasih sayang tanpa sedikit pun rasa takut, sedih atau dukacita.
Darus-Salaam disediakan untuk hamba-hamba yang teguh imannya, kukuh pegangan Islamnya serta menjadikan al-Quran sebagai panduan dalam setiap aspek kehidupan. Mereka bukan sekadar membaca al-Quran, malah menghayati dan mengamalkan setiap ajarannya.
Di dunia, ketenangan sering datang dan pergi. Namun di Darus-Salaam, kedamaian itu kekal selama-lamanya sebagai ganjaran daripada Allah SWT kepada hamba-hamba-Nya yang beriman.
Semoga Allah SWT mengurniakan kita hati yang sentiasa terpaut kepada al-Quran, mengukuhkan iman dalam setiap ujian dan akhirnya menghimpunkan kita di Darus-Salaam bersama insan-insan yang dikasihi-Nya.
"Bagi mereka disediakan Darus-Salaam di sisi Tuhan mereka. Dialah Pelindung mereka kerana apa yang telah mereka kerjakan."
(Surah al-An'am: 127)
Perjalanan mengenali 8 Pintu Syurga diteruskan dengan Syurga Na'im, iaitu syurga yang dipenuhi segala bentuk kenikmatan yang dijanjikan Allah SWT kepada hamba-hamba-Nya yang beriman.
Syurga Na'im merupakan ganjaran buat mereka yang beriman, beramal soleh dan sentiasa bertakwa dalam setiap urusan kehidupan. Mereka menjadikan ketaatan kepada Allah sebagai keutamaan walaupun terpaksa mengorbankan keselesaan dan keinginan dunia.
Kenikmatan dunia hanyalah sementara, namun kenikmatan di Syurga Na'im kekal selama-lamanya. Setiap sujud yang ikhlas, setiap amal kebajikan yang dilakukan tanpa mengharapkan pujian dan setiap pengorbanan demi mencari keredaan Allah akan dibalas dengan ganjaran yang tidak mampu dibayangkan oleh akal manusia.
Semoga Allah SWT mengurniakan kita hati yang istiqamah dalam iman, memperbanyakkan amal soleh dan akhirnya menghimpunkan kita di Syurga Na'im bersama para nabi, siddiqin, syuhada' dan orang-orang soleh.
"Bagi orang-orang yang beriman dan beramal soleh, disediakan bagi mereka Syurga Na'im."
(Surah al-Syura: 22)
Hari ini kita teruskan siri Kenali 8 Pintu Syurga dengan pintu keempat iaitu Syurga Khuldi.
Syurga Khuldi atau Jannatul Khuld bermaksud syurga yang kekal abadi. Ia merupakan antara syurga yang dijanjikan Allah SWT sebagai ganjaran kepada hamba-hamba yang bertakwa, sentiasa mentaati segala perintah-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya.
Keabadian di syurga bukanlah kerana siapa kita tetapi kerana rahmat Allah yang dikurniakan kepada mereka yang istiqamah dalam ketaatan. Semoga setiap amal yang kita lakukan hari ini menjadi asbab untuk dipanggil memasuki Syurga Khuldi.
"Katakanlah: Mahukah Aku khabarkan kepada kamu yang lebih baik daripada itu? Bagi orang yang bertakwa, di sisi Tuhan mereka disediakan syurga yang kekal (Jannatul Khuld)..."
(Surah al-Furqan: 15)
Hari ini kita teruskan lagi siri Kenali 8 Pintu Syurga dengan pintu ketiga iaitu Syurga Ma'wa.
Syurga Ma'wa disediakan untuk mereka yang benar-benar beriman, bertakwa dan sentiasa berjuang melawan hawa nafsu kerana takut kepada Allah SWT. Menahan diri daripada maksiat, memilih ketaatan walaupun sukar dan mengutamakan keredaan Allah adalah antara jalan menuju syurga yang mulia ini.
Setiap hari kita berdepan pelbagai godaan. Namun, setiap kali kita memilih untuk taat kepada Allah, itulah kemenangan sebenar. Semoga Allah mengurniakan kekuatan untuk terus istiqamah sehingga dikurniakan tempat di Syurga Ma'wa.
"Dan di sisinya terdapat Syurga Ma'wa."
(Surah al-Najm: 15)
Hari ini kita teruskan siri Kenali 8 Pintu Syurga dengan pintu kedua, iaitu 'Adn.
Syurga 'Adn merupakan tempat yang dijanjikan kepada mereka yang beriman dan istiqamah beramal soleh. Mereka sentiasa menjaga solat, memperbanyakkan sedekah, segera bertaubat apabila melakukan kesilapan, bersabar mencari keredaan Allah serta membalas keburukan dengan kebaikan.
Syurga tidak dihuni oleh manusia yang sempurna, tetapi oleh mereka yang sentiasa berusaha memperbaiki diri dan tidak pernah berputus asa daripada rahmat Allah. Semoga setiap amal yang kita lakukan menjadi sebab untuk Allah mengizinkan kita memasuki Syurga 'Adn.
"Iaitu Syurga 'Adn yang mereka akan memasukinya..."
(Surah al-Nahl: 31; Surah Sad: 50)
Hari ini kita mulakan siri Kenali 8 Pintu Syurga dengan pintu yang paling agung iaitu Firdaus.
Firdaus ialah syurga yang tertinggi, destinasi yang menjadi impian setiap insan beriman. Ia bukan dicapai dengan angan-angan tetapi melalui keimanan yang teguh dan amal soleh yang istiqamah. Jagalah solat, tunaikan zakat, peliharalah lidah, maruah diri dan teruslah taat kepada Allah dalam setiap keadaan.
Semoga siri ini menjadi peringatan buat kita semua untuk bukan sekadar mengenali pintu-pintu syurga tetapi berusaha menjadi insan yang layak memasukinya. Semoga Allah mengurniakan kita semua Syurga Firdaus.
"Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan beramal soleh, bagi mereka Syurga Firdaus sebagai tempat tinggal."
(Surah al-Kahfi: 107)
Sebelum ini kita telah bersama-sama menelusuri siri Kenali 7 Pintu-Pintu Neraka sebagai peringatan dan muhasabah buat diri. Kini, tibalah masanya untuk menghayati pula janji Allah SWT kepada hamba-hamba-Nya yang beriman.
Mari kita kenali 8 pintu syurga dan penghuninya. Semoga setiap perkongsian bukan sekadar menambah ilmu, bahkan menjadi inspirasi untuk kita memilih jalan yang membawa kepada reda Allah.
Ikuti siri Hikmah An-Nafis bermula hari ini. Semoga kita semua dipertemukan di salah satu pintu syurga, insya-Allah.
Video Sorotan Lawatan Penanda Aras Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) dan Hospital Tunku Azizah (HTA) ke Institut Kanser Negara (IKN) | 8–9 Julai 2026
𝐄𝐩𝐢𝐬𝐨𝐝 𝐀𝐤𝐡𝐢𝐫 | 𝐒𝐞𝐭𝐢𝐚𝐩 𝐏𝐞𝐬𝐚𝐤𝐢𝐭 𝐀𝐝𝐚𝐥𝐚𝐡 𝐀𝐦𝐚𝐧𝐚𝐡
Sepanjang beberapa hari bersama Matron Suhaida, Raja Najihah belajar bahawa menjadi seorang jururawat bukan sekadar mahir melakukan prosedur.
Dia belajar memulakan rawatan dengan salam dan Bismillah. Dia belajar menjaga maruah pesakit, mendengar dengan penuh empati dan sentiasa meletakkan ihsan dalam setiap tindakan.
Akhirnya, Matron Suhaida meninggalkan satu pesanan yang akan sentiasa diingati...
"𝑵𝒂𝒋𝒊𝒉𝒂𝒉, 𝒋𝒂𝒏𝒈𝒂𝒏 𝒍𝒊𝒉𝒂𝒕 𝒑𝒆𝒔𝒂𝒌𝒊𝒕 𝒔𝒆𝒃𝒂𝒈𝒂𝒊 𝒕𝒖𝒈𝒂𝒔. 𝑳𝒊𝒉𝒂𝒕𝒍𝒂𝒉 𝒎𝒆𝒓𝒆𝒌𝒂 𝒔𝒆𝒃𝒂𝒈𝒂𝒊 𝒂𝒎𝒂𝒏𝒂𝒉 𝒚𝒂𝒏𝒈 𝑨𝒍𝒍𝒂𝒉 𝒌𝒊𝒓𝒊𝒎𝒌𝒂𝒏 𝒌𝒆𝒑𝒂𝒅𝒂 𝒌𝒊𝒕𝒂."
Hari itu, Raja Najihah sedar bahawa Hospital Mesra Ibadah bukan hanya tentang apa yang dilakukan tetapi tentang siapa diri kita ketika melakukannya.
Semoga setiap langkah kita di sisi pesakit menjadi ibadah, setiap layanan menjadi rahmat, dan setiap amanah dilaksanakan dengan penuh kasih sayang.
Terima kasih kerana mengikuti siri Hikmah An-Nafis. Semoga setiap episod menjadi inspirasi untuk kita terus menyantuni dengan hati.
𝐃𝐮𝐚 𝐇𝐚𝐫𝐢, 𝐃𝐮𝐚 𝐇𝐨𝐬𝐩𝐢𝐭𝐚𝐥, 𝐒𝐚𝐭𝐮 𝐀𝐬𝐩𝐢𝐫𝐚𝐬𝐢.
Dua hari berturut-turut, Institut Kanser Negara (IKN) menerima kunjungan delegasi hospital terkemuka negara bagi Lawatan Penanda Aras Hospital Mesra Ibadah (HMI). Selepas menerima delegasi Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang semalam, hari ini IKN sekali lagi berbesar hati menyambut kehadiran delegasi Hospital Tunku Azizah (HTA), Kuala Lumpur. Kunjungan ini mencerminkan keyakinan dan komitmen bersama dalam memperkukuhkan pelaksanaan HMI demi manfaat pesakit, waris dan warga kesihatan.
Delegasi HTA telah diketuai oleh YBrs. Dr. Atika Azura binti Abdul Rashed, Timbalan Pengarah (Perubatan I). Ketibaan delegasi telah dialu-alukan oleh Pengarah IKN, YBrs. Dr. Nur Aslina binti Bahakodin, bersama barisan Timbalan-Timbalan Pengarah IKN serta Ahli Jawatankuasa Hospital Mesra Ibadah (HMI) IKN.
Sepanjang sesi perkongsian, delegasi didedahkan dengan pengalaman IKN dalam membangunkan ekosistem HMI yang menyeluruh melalui tadbir urus yang sistematik, amalan terbaik, inovasi serta kolaborasi pelbagai disiplin yang menjadi tunjang kepada pelaksanaan HMI di IKN.
Semoga setiap perkongsian yang terjalin menjadi inspirasi kepada lebih banyak institusi kesihatan untuk bersama-sama membudayakan perkhidmatan yang bukan sahaja cemerlang dari sudut klinikal, malah kaya dengan nilai ihsan, rahmah dan keberkatan.
𝐄𝐩𝐢𝐬𝐨𝐝 𝟒 | 𝐌𝐞𝐧𝐝𝐞𝐧𝐠𝐚𝐫 𝐈𝐭𝐮 𝐉𝐮𝐠𝐚 𝐑𝐚𝐰𝐚𝐭𝐚𝐧
Hari itu, Raja Najihah melihat Matron Suhaida duduk lebih lama di sisi pesakit. Tiada prosedur dilakukan. Tiada ubat diberikan. Hanya mendengar.
Raja Najihah tertanya-tanya, "Bukankah tugas kita sudah selesai?"
Matron Suhaida hanya tersenyum.
"Najihah, tidak semua kesakitan boleh dilihat pada tubuh. Ada yang terlindung di hati. Kadang-kadang, pesakit bukan mencari jawapan. Mereka cuma mencari seseorang yang sudi mendengar."
Pesakit itu akhirnya tersenyum. Bukan kerana penyakitnya hilang tetapi kerana beban di hatinya terasa lebih ringan.
Hari itu, Raja Najihah belajar bahawa mendengar dengan penuh empati juga satu bentuk rawatan.