Bola Terjatuh Ke Longkang, Empat Sahabat Pergi Buat Selamanya
Oleh Mynewshub
KULIM – Mereka keluar dari rumah untuk bermain bola seperti kanak-kanak lain, namun tiada siapa menyangka petang yang sepatutnya dipenuhi gelak tawa bertukar menjadi tragedi meragut empat nyawa.
Empat kanak-kanak ditemukan lemas di dalam longkang sedalam kira-kira 3.05 meter di Taman Desa Kayangan, Sungai Karangan, selepas dipercayai cuba mengambil bola yang terjatuh ke dalamnya.
Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Syamsul Sinring berkata, siasatan awal berdasarkan temu bual dengan ibu mangsa mendapati kesemua mereka keluar bermain bola sebelum permainan itu berakhir dengan tragedi.
“Kesemua mangsa dipercayai cuba untuk mengambil bola sebelum terjatuh ke dalam longkang dan lemas.
“Anggaran kedalaman longkang tersebut kira-kira 3.05 meter dan lebarnya 1.83 meter,” katanya.
Lebih memilukan, tiada sesiapa menyaksikan detik mereka terjatuh, menyebabkan jeritan meminta pertolongan — jika ada — tidak didengari.
Mangsa dikenal pasti sebagai Muhamad Aeril Aziz Muhamad Zafis, 12, dan adik tirinya, Muhammad Arif Naufan Abdullah, 8.
Dua lagi mangsa ialah Muhammad Zafril Arsyad Muhamad Azrin, 12, dan Muhammad Iman Nuruddin Khairol Anuar, 10.
Dua mangsa berusia 12 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala dua lagi yang berusia lapan dan 10 tahun menghembuskan nafas terakhir ketika dalam perjalanan ke Hospital Kulim.
Rakaman dan gambar kejadian yang tersebar di media sosial memperlihatkan beberapa individu membawa naik tubuh mangsa dari kawasan longkang dan kolam tadahan dalam keadaan tidak sedarkan diri.
Kesemua jenazah kemudian dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar untuk proses bedah siasat.
Sebiji bola yang cuba diselamatkan akhirnya tertinggal sebagai saksi bisu kepada kehilangan empat nyawa kecil — mereka keluar bersama untuk bermain, namun tidak pernah pulang ke pangkuan keluarga. – Mynewshub