NGO Kesal Kewujudan Petisyen Usir Rohingya
Oleh Mynewshub
KUALA LUMPUR – Sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang memperjuangkan hak pelarian melahirkan rasa kesal dengan kewujudan petisyen 'Remove Rohingya from Malaysia' yang menggesa komuniti Rohingya diusir dari negara ini.
Menurut NGO dikenali sebagai Rohingya Human Rights Initiative (ROHringya), ramai pihak mungkin tidak memahami implikasi sebenar tuntutan supaya pelarian Rohingya dikeluarkan dari Malaysia.
Mereka menjelaskan bahawa kebanyakan Rohingya tidak boleh kembali ke Myanmar kerana keadaan di negeri Rakhine masih tidak selamat, selain pihak yang didakwa bertanggungjawab terhadap penindasan dan keganasan terhadap etnik tersebut masih mempunyai pengaruh di kawasan berkenaan.
"Pengusiran bukan bermaksud mereka pulang ke rumah. Tiada rumah yang boleh mereka kembali. Ramai daripada mereka melarikan diri daripada konflik dan penganiayaan," kata NGO itu dalam satu kenyataan yang dimuat naik di media sosial.
Menurut mereka, sekiranya pelarian Rohingya dipindahkan keluar dari Malaysia, kemungkinan besar mereka akan dihantar ke kem pelarian di Cox's Bazar, Bangladesh yang kini menampung lebih sejuta pelarian dan berdepan kekangan kapasiti.
Selain itu, mereka mendakwa sebahagian daripada pelarian berkenaan mungkin ditempatkan di pusat tahanan imigresen atau berisiko dihantar semula melalui laluan laut.
NGO tersebut turut mendakwa tindakan penguatkuasaan terhadap pendatang tanpa izin dan migran di Malaysia sudah pun dipertingkatkan sejak tahun lalu.
Mereka merujuk kepada kenyataan pihak berkuasa bahawa operasi penguatkuasaan akan terus dipergiatkan pada 2026 selepas puluhan ribu migran ditahan sepanjang tahun 2025.
Sehubungan itu, NGO berkenaan menyeru masyarakat supaya melihat isu Rohingya dari sudut kemanusiaan serta memahami cabaran yang dihadapi golongan pelarian sebelum membuat sebarang tuntutan berkaitan pengusiran mereka.
"Perbincangan mengenai Rohingya perlu berasaskan fakta dan nilai kemanusiaan, bukan sekadar sentimen atau persepsi," katanya. - MYNEWSHUB
Sumber Info/Foto: Akaun Media Sosial Rohingya Human Rights Initiative - ROHringya
Erick Thohir Dalang Utama Yang Membuat Aduan Kepada FIFA
KUALA LUMPUR - Presiden Persatuan Bola Sepak Indonesia (PSSI), Erick Thohir adalah watak utama yang memainkan peranan membawa aduan kepada Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) berhubung status kelayakan tujuh pemain naturalisasi Malaysia.
Erick Thohir dikatakan bersikap baling batu sembunyi tangan dalam isu berkenaan.
Kebenaran itu didedahkan oleh sumber daripada Amerika Latin yang rapat dengan FIFA kepada Mynewshub.
Ia sebagai respon kepada laporan terdahulu portal ini bahawa Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) menamakan Vietnam sebagai pihak yang telah mengemukakan aduan rasmi kepada FIFA.
"Dia (Erick Thohir) suruh dan hantar orang buat aduan sambil cari dan hantar dokumen kepada orang dalam FIFA secara indirect.
"Vietnam buat complain, tetapi dokumen adalah dari orang upahan Erick Thohir, " katanya kepada Mynewshub di sini hari ini.
Untuk rekod, Erick Thohir juga adalah Menteri Pemuda dan Olahraga (Menpora) Indonesia.
Sumber berkenaan menjelaskan, walaupun AFC menyatakan Vietnam yang mengemukakan aduan rasmi kepada FIFA, namun difahamkan "de facto' sebenar adalah daripada kepimpinan tertinggi PSSI, sekali gus mencetuskan persoalan tentang motif sebenar tindakan berkenaan.
Kegusaran peningkatan prestasi skuad Harimau Malaya melangkaui kehebatan pasukan Indonesia dipercayai motif utama di sebalik tindakan mengerakkan aduan kepada FIFA.
Erick Thohir menurut sumber berkenaan juga dikatakan kurang senang dengan penglibatan Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail dalam industri bola sepak Malaysia.
Beliau dikatakan menggunakan beberapa media miliknya dan portal berita di Indonesia untuk menulis kandungan bersifat negatif terhadap pasukan Harimau Malaya.
Erick Thohir sebelum ini pernah menafikan dirinya sebagai dalang di sebalik apa yang berlaku.
Isu tersebut timbul ketika skuad kebangsaan Malaysia sedang memberi tumpuan kepada persiapan kejohanan antarabangsa, namun gangguan luar padang itu dilihat cuba mengheret pasukan negara ke dalam polemik pentadbiran.
Pemerhati sukan berpendapat, jika benar aduan itu didalangi oleh pucuk pimpinan PSSI, ia memberi gambaran kurang sihat terhadap semangat kesukanan serantau, apatah lagi melibatkan dua negara jiran yang berkongsi sejarah panjang persaingan bola sepak.
Untuk rekod, Erick Thohir bukan figura asing dalam kancah kontroversi pentadbiran bola sepak Indonesia.
Beliau sebelum ini pernah terpalit dengan isu tadbir urus apabila memegang dua jawatan penting serentak dalam PSSI.
Tindakan beliau memegang jawatan Presiden PSSI dan dalam masa sama mengetuai Jawatankuasa Pengadil pernah mencetuskan teguran, susulan garis panduan FIFA yang tidak membenarkan pemimpin tertinggi persatuan memegang pelbagai jawatan berkaitan pengadilan.
Susulan itu, beliau pernah disarankan melepaskan salah satu jawatan bagi mengelakkan konflik kepentingan, namun Erick Thohir mempertahankan tindakannya dengan alasan mahu memantau sendiri proses pembaharuan sistem pengadilan bola sepak Indonesia.
Langkah tersebut bagaimanapun menerima kritikan banyak pihak yang melihatnya sebagai amalan pemusatan kuasa dalam satu individu, sekali gus menimbulkan persoalan tentang ketelusan dan akauntabiliti.
Pada Oktober tahun lalu, Erick Thohir sekali lagi mencetuskan polemik apabila mempertikaikan pemilihan pengadil oleh FIFA dalam kempen Kelayakan Piala Dunia 2026.
Beliau mempersoalkan pelantikan pengadil dari negara Arab ketika skuad Indonesia berdepan Arab Saudi selepas skuad Gruda tewas 2-3 kepada Arab Saudi pada aksi pusingan keempat Kelayakan Piala Dunia 2026, sebelum dijadualkan meneruskan cabaran menentang Iraq.
Kenyataan terbuka mempertikai keputusan badan induk dunia itu menimbulkan reaksi berbelah bahagi, dengan segelintir pemerhati menyifatkannya sebagai tekanan terbuka terhadap sistem pengadilan antarabangsa.
Kini, dakwaan penglibatan beliau dalam aduan terhadap status pemain naturalisasi Malaysia pula mengundang tanda tanya