Syukur ilahi aku sihat.
Bukan hilang.
Tetap ada seperti bintang.
Hanya perlu sedikit masa, mengatur balik corak langkah untuk masa depan.
Dan orang yang mendoakan.
Kalian aku sayang.
Sejujurnya. Aku banyak memendam banyak hal sendirian. Tentang keluarga, impian. Bahkan tentang kesihatan. Meskipun tak suka menipu. Sialnya dunia ini memaksa untuk menipu agar tidak menyakiti sesiapa.
Bukan semua tangan layak kugenggam,
bukan semua suara patut kudengar.
Aku pilih sunyi yang memberi ruang,
bukan keramaian yang menelan tenangku.
Dalam jarak itu, aku damai
dan dalam tenang itu aku merasa bebas.
Sabar yang di perah dari siang dan malam. Di antara tanggungjawab dan harapan. Berjalan sendiri tanpa suara. Beruntung. Masih ada langit mendengar. Dan tuhan menjadi tempat pulang.
Waktu petang. burung pulang perlahan.
Angin menyentuh daun. Dunia perlahan berjalan. Menjauhkan diri dari bingit bising. Menyedut udara sedalam mungkin. Sementara diri masih tersesat jauh di dalam fikiran.
Sepotong tiramisu terasa seperti tisu. lembut tapi kosong.
Kopi yang manispun telah hilang. Tinggal pahit yang melekat selepas aku menoleh semula pada perjalanan hidup sendiri.
Luka ini tidak meminta simpati,
tidak jua mengharap belas.
Cukuplah ia menjadi rahsia
yang mati mengikut arus nafas.
Dan akan dipendam semua
hingga terpejam buat selamanya.
Sehingga jasad pulang
ke pangkuan sang pencinta.
Kudongakkan dagu, kupadamkan pandang,
kelopak mata kututup menahan rawan.
Sunyi menjerat ruang yang sempit,
perihnya menikam tanpa terlihat.
Bahu kanan dan kiri seakan tenggelam,
dihimpit beban yang tiada terucap.
Keadaan diri tiada terlukis oleh kata,
retaknya jiwa tiada terungkap oleh suara.
Semakin sarat, semakin dalam untuk di pendam.
Berselindung jauh dari pandangan insan.
Biarlah ia karam di dasar diam,
daripada timbul lalu dijadikan senda.
Malam dan bintang datang membawa ketenangan yang telah lama hilang dalam diri. Jadi, jangan hairan kalau diri sendiri kadang rindu menatap bintang di waktu malam.