Syukur Alhamdulillah, saya berkesempatan bersama-sama lebih 5,000 jemaah dalam Program Semarak Subuh Perdana 2026 di Masjid Sultan Iskandar, Bandar Dato’ Onn. Melihat saf-saf dipenuhi jemaah sejak awal pagi benar-benar mencerminkan semangat Bangsa Johor untuk terus mengimarahkan rumah Allah serta memulakan hari dengan sujud kepada-Nya.
Semarak Subuh Johor adalah usaha untuk membudayakan Solat Subuh berjemaah, mengeratkan ukhuwah dan mendekatkan masyarakat dengan masjid. Insya-Allah, kita mahu semangat ini terus subur di seluruh Johor dan menjadi sebahagian daripada kehidupan yang seterusnya membawa keberkatan kepada diri, keluarga dan negeri Johor yang kita cintai.
Melalui program ini juga, sebanyak RM1 juta telah disumbangkan kepada Tabung Kasih Johor – Palestin hasil sumbangan 11 GLC dan 16 PBT sebagai tanda solidariti dan keprihatinan kita terhadap saudara-saudara di Palestin. Sejak dilancarkan pada Julai 2024, tabung ini telah mengumpul RM6 juta. Turut berlangsung penyerahan zakat perniagaan oleh Kedai Emas De Aurora dan Woodfire sebagai tanda tanggungjawab serta keprihatinan kepada masyarakat.
Allah SWT berfirman dalam Surah Al-Baqarah, ayat 148: “Maka berlumba-lumbalah kamu dalam mengerjakan kebaikan.” Semangat inilah yang ingin kita terus hidupkan dengan memperkukuh nilai agama, membantu mereka yang memerlukan serta membina masyarakat yang lebih prihatin dan bersatu.
Semoga kekuatan agama terus menyatukan kita dan menjadi pedoman dalam membina masa depan Johor. Kita terus melangkah dengan amanah untuk memelihara, membangunkan dan membawa Johor ke arah yang lebih maju dan sejahtera. Insya-Allah.
Dari sungai ke segara, Palestin pasti merdeka!
Allah Peliharakan Sultan
Allah Berkati Johor
Kepada Allah Kita Berserah
#BangsaJohor #MajuJohor #SemarakSubuhJohor #TabungKasihJohorPalestin #SolidaritiPalestin #PrayForPalestine
Syukur Alhamdulillah, Program Semarak Maghrib dan Isyak bakal diadakan di seluruh pelusuk negeri Johor. Ia merupakan manifestasi iltizam Kerajaan Negeri Johor untuk terus mengimarahkan masjid-masjid serta menyemarakkan budaya solat berjemaah dalam kalangan umat Islam.
Inisiatif ini juga merupakan antara manifesto Barisan Nasional pada Pilihan Raya Negeri Johor Ke-16 baru-baru ini, dan amanah yang diberikan oleh Bangsa Johor akan terus diterjemahkan melalui pelaksanaan setiap komitmen yang telah dijanjikan.
Program pertama kali seumpamanya ini dilaksanakan di Masjid Jamek As-Syakirin, Bukit Saujana. Jika sebelum ini kita berusaha menyemarakkan Solat Subuh berjemaah di seluruh negeri, ikhtiar ini diteruskan dengan menyemarakkan Solat Maghrib dan Isyak agar masjid sentiasa hidup dengan solat berjemaah, majlis ilmu dan pengisian rohani.
Program ini turut diserikan dengan Perkongsian Hadis 40 bertajuk “Niat Penentu Perbuatan Hamba” yang disampaikan oleh As-Syeikh Tuan Haji Mohd Zaini bin Mohd Salleh, Kadi Daerah Johor Bahru, serta bacaan Surah Al-Mulk sebagai santapan rohani buat para jemaah.
Saya ingin mengajak seluruh umat Islam, khususnya di Negeri Johor, untuk bersama-sama menjayakan Program Semarak Maghrib dan Isyak serta terus hadir memakmurkan rumah Allah SWT. Inisiatif ini merupakan usaha Kerajaan Negeri untuk terus meningkatkan syiar Islam dalam membina Johor yang maju berlandaskan Al-Quran dan Sunnah.
لا حول ولا قوة إلا بالله
Tiada daya dan tiada kekuatan melainkan dengan pertolongan Allah. Semoga setiap langkah menuju ke masjid, setiap saf yang dipenuhi dan setiap doa yang dipanjatkan membawa rahmat, keberkatan serta kesejahteraan buat Negeri Johor Darul Ta’zim. Insya-Allah.
Allah Peliharakan Sultan
Allah Berkati Johor
Kepada Allah Kita Berserah
#BangsaJohor #MajuJohor #SemarakMaghribDanIsyakJohor #RapatkanSaf
Syukur Alhamdulillah, dalam lawatan kerja ke daerah Mersing, saya telah dibentangka Pelan Transformasi Ekonomi Negeri Johor (JETP) Daerah Mersing yang menyentuh pelbagai inisiatif strategik bagi memacu pembangunan ekonomi dan meningkatkan kesejahteraan rakyat Mersing.
Menerusi JETP, Kerajaan Negeri memberi penekanan kepada agenda pembangunan yang menyeluruh. Segala inisiatif yang dirancang bukan sekadar memperkukuh daya saing Mersing sebagai destinasi pelaburan dan pelancongan, malah membuka lebih banyak peluang ekonomi, merancakkan aktiviti perniagaan, mewujudkan peluang pekerjaan berkualiti serta meningkatkan taraf hidup dan kesejahteraan rakyat.
Dalam masa sama, saya turut berpeluang beramah mesra bersama masyarakat Mersing dalam Majlis Jalinan Rakyat sebagai tanda penghargaan kepada seluruh rakyat yang telah menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi, sekali gus mencerminkan semangat kebersamaan dalam membina Johor yang lebih stabil dan sejahtera.
Kerajaan Negeri turut meluluskan peruntukan berjumlah hampir RM1.5 juta bagi lapan inisiatif yang memberi manfaat secara langsung kepada rakyat, meliputi:
1. RM200,000 bagi kerja-kerja membaik pulih Gelanggang Futsal Taman Sri Mersing
2. RM200,000 bagi kerja-kerja membaik pulih Gelanggang Futsal Felda Nitar 1
3. RM100,000 bagi kerja-kerja menaik taraf Bangunan KAF (Kami Anak FELDA), Felda Tenggaroh Timur 1
4. RM80,000 bagi kerja-kerja membaik pulih Gelanggang Sepak Takraw Felda Tenggaroh 6
5. RM100,000 bagi kerja-kerja memasang lampu solar di Kampung Peta
6. RM100,000 bagi kerja-kerja memasang lampu solar di Kampung Tanjung Tuan
7. RM200,000 bagi penggantian karpet Masjid Kampung Sri Lalang
8. RM500,000 bagi pembukaan semula Unit Hemodialisis Hospital Mersing
Saya turut berkesempatan meninjau Unit Hemodialisis Hospital Mersing yang sebelum ini ditutup. Peruntukan yang diluluskan bagi pembukaan semula unit ini akan membolehkan pesakit buah pinggang di daerah Mersing kembali mendapat akses kepada rawatan dialisis yang lebih dekat, sekali gus mengurangkan beban perjalanan serta meningkatkan keselesaan pesakit dan ahli keluarga.
Kerajaan Negeri komited memastikan setiap daerah menikmati manfaat pembangunan secara adil dan seimbang, tanpa ada yang tercicir daripada arus kemajuan. Semoga segala usaha ini akan terus diperdemi meningkatkan kualiti hidup setiap lapisan Bangsa Johor. Insya-Allah.
Allah Peliharakan Sultan
Allah Berkati Johor
Kepada Allah Kita Berserah
#BangsaJohor #MajuJohor #Mersing #JETP
Menjunjung titah DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor agar sektor kesihatan terus diperkukuh demi kesejahteraan Bangsa Johor.
Syukur Alhamdulillah. Susulan lawatan saya ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) sebelum ini, saya turut berkesempatan meninjau sendiri perkembangan pengoperasian Hospital Pasir Gudang (HPG) serta mendengar taklimat mengenai status semasa hospital dan cabaran yang sedang dihadapi.
HPG telah dilengkapi dengan kemudahan moden, kapasiti yang besar serta pelbagai bidang kepakaran. Namun, hospital yang amat dinantikan oleh Bangsa Johor ini masih belum dapat beroperasi pada kapasiti sepenuhnya kerana berdepan isu pengisian tenaga kerja. Daripada keseluruhan 2,271 jawatan yang diperuntukkan, hanya 1,079 telah diisi, manakala 1,192 jawatan masih kosong melibatkan pakar perubatan, jururawat serta petugas kesihatan lain.
Inilah cabaran sebenar yang perlu diberikan perhatian segera. Dengan kepakaran termasuk Pediatrik, Obstetrik dan Ginekologi, Anestesiologi, Radiologi, Patologi, Ortopedik, Otorinolaringologi serta Oftalmologi, HPG mempunyai potensi besar untuk memperkukuh sistem penyampaian perkhidmatan kesihatan di Johor serta mengurangkan beban hospital-hospital sedia ada.
Sehubungan itu, saya sekali lagi memohon perhatian dan pertimbangan segera daripada Kementerian Kesihatan Malaysia agar proses pengisian jawatan di HPG dapat dipercepatkan. Hospital ini amat diperlukan bagi menampung keperluan kesihatan penduduk Pasir Gudang dan kawasan sekitarnya yang semakin berkembang.
Kerajaan Negeri akan terus bekerjasama rapat dengan Kementerian Kesihatan Malaysia bagi memastikan segala keperluan Hospital Pasir Gudang dapat dipenuhi, agar hospital ini dapat beroperasi sepenuhnya seperti yang dirancang dan memberikan perkhidmatan kesihatan terbaik kepada Bangsa Johor.
Semoga segala urusan dipermudahkan dan usaha ini membuahkan manfaat yang besar buat seluruh Bangsa Johor. Insya-Allah.
Allah Peliharakan Sultan
Allah Berkati Johor
Kepada Allah Kita Berserah
#BangsaJohor #MajuJohor #JohorBersih #JohorSelamat #XtifJohor
Bermula 3 Ogos ini, akses kesihatan Bangsa Johor akan terus diperkukuh menerusi peluasan konsep Klinik Decanting apabila Unit Ibu dan Anak (KKIA) Klinik Kesihatan Kulai mula beroperasi di Lotus Kulai bagi menyediakan perkhidmatan yang lebih cekap, selesa dan berkualiti kepada rakyat.
Syukur Alhamdulillah, saya telah meninjau sendiri perkembangan projek bernilai RM1.19 juta ini, yang kini telah mencapai kemajuan sebanyak 78 peratus dan berada di landasan yang baik untuk mula beroperasi mengikut jadual.
Pemindahan operasi ini bukan sekadar melibatkan pertukaran lokasi, tetapi merupakan langkah penting bagi mengurangkan kesesakan dan meningkatkan kapasiti perkhidmatan Klinik Kesihatan Kulai. Untuk makluman, ketika ini, klinik berkenaan memberi perkhidmatan kepada lebih 92,000 penduduk dengan purata 852 pesakit setiap hari, termasuk sekitar 281 pesakit bagi perkhidmatan Unit Ibu dan Anak. Jumlah ini jelas memberi tekanan kepada kapasiti sedia ada serta menjejaskan keselesaan pesakit dan petugas kesihatan.
Dengan kemudahan baharu ini, ibu, bayi dan kanak-kanak akan menikmati persekitaran rawatan yang lebih selesa, selamat dan kondusif. Pada masa yang sama, saya yakin ia turut memudahkan urusan para petugas kesihatan untuk terus memberikan perkhidmatan yang lebih cekap, teratur dan berkualiti kepada Bangsa Johor.
Saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Jabatan Kesihatan Negeri Johor, Pejabat Kesihatan Daerah Kulai, pihak pengurusan Lotus Kulai serta semua pihak yang telah memberikan komitmen dalam menjayakan projek ini.
Saya juga berharap KKM dapat terus memberikan perhatian terhadap keperluan penjawatan petugas kesihatan di Johor. Tanpa tenaga kerja yang mencukupi, sebaik mana sekalipun fasiliti yang disediakan, rakyat tetap akan berdepan cabaran untuk mendapatkan perkhidmatan yang baik dan lancar.
Semoga Allah SWT mempermudah segala urusan, mengurniakan kekuatan kepada seluruh petugas kesihatan serta memberkati setiap usaha yang dilaksanakan demi memastikan Bangsa Johor terus menikmati perkhidmatan kesihatan yang terbaik. Insya-Allah.
Allah Peliharakan Sultan
Allah Berkati Johor
Kepada Allah Kita Berserah
#BangsaJohor #MajuJohor #JohorBersih #JohorSelamat #XtifJohor
Syukur Alhamdulillah. Saya berkesempatan melawat Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru bagi melihat sendiri keadaan semasa hospital serta mendengar taklimat mengenai pelbagai usaha penambahbaikan yang sedang dilaksanakan demi memastikan perkhidmatan kesihatan kepada Bangsa Johor terus berjalan dengan baik.
Antara usaha yang sedang dilaksanakan ialah proses decanting Jabatan Kecemasan dan Trauma (JKT) ke Pusat Bersalin dan Labor & Delivery (L&D) bermula awal Ogos ini bagi membolehkan kerja-kerja naik taraf sistem elektrik dijalankan dengan selamat. Pada masa yang sama, projek menaik taraf bekalan utama elektrik, sistem elektrikal dan mekanikal hospital bernilai hampir RM159 juta serta beberapa penambahbaikan lain turut giat dilaksanakan demi memastikan HSA terus memberikan perkhidmatan yang lebih selamat dan berkualiti kepada Bangsa Johor.
Namun, ada satu perkara yang benar-benar merisaukan saya, iaitu kekurangan petugas kesihatan di HSA. Saya bimbang beban yang mereka pikul hari ini sudah terlalu berat, sedangkan HSA merupakan antara hospital rujukan utama yang menerima ribuan pesakit dari seluruh Johor setiap hari. Justeru, saya dengan penuh rendah hati memohon pertimbangan dan perhatian segera daripada Kementerian Kesihatan Malaysia agar isu kekurangan petugas di Hospital Sultanah Aminah diberikan keutamaan.
Buat seluruh petugas barisan hadapan kesihatan, terima kasih tidak terhingga kerana terus bertahan demi rakyat. Walau penat, walau letih, mereka tetap memilih untuk hadir dan terus berkhidmat. Saya sedar dan insaf tugas ini sememangnya bukan mudah. Percayalah, kami tidak akan berhenti memperjuangkan segala yang diperlukan agar saudara dan saudari tidak terus memikul beban ini bersendirian.
Insya-Allah, Kerajaan Negeri akan terus berusaha sedaya upaya untuk mencari jalan penyelesaian yang terbaik. Marilah kita sama-sama berdoa agar Allah SWT mempermudahkan setiap urusan, melindungi seluruh petugas kesihatan, mengurniakan kesembuhan kepada para pesakit serta memimpin kita kepada jalan penyelesaian yang terbaik.
Semoga dipermudahkan segala urusan. Insya-Allah.
Allah Peliharakan Sultan
Allah Berkati Johor
Kepada Allah Kita Berserah
#BangsaJohor #MajuJohor #JohorBersih #JohorSelamat #XtifJohor
Syukur Alhamdulillah, saya berkesempatan mengadakan lawatan ke SJKT Taman Tun Aminah, Skudai yang menempatkan seramai 1,526 murid dengan sokongan 82 guru, yang memainkan peranan penting dalam melahirkan generasi muda berilmu dan berdaya saing.
Sepanjang tempoh 2022 hingga 2026, Kerajaan Negeri telah menyalurkan peruntukan lebih RM60 ribu kepada SJKT Taman Tun Aminah bagi pelbagai keperluan termasuk menaik taraf bilik guru, pembelian Smart TV, pelaksanaan aktiviti sekolah serta bantuan kepada PIBG.
Semasa lawatan, saya turut meluangkan masa berinteraksi dan mendengar sendiri pandangan para pelajar. Saya percaya setiap anak Johor mempunyai potensi untuk berjaya apabila diberikan peluang, bimbingan dan sokongan yang sewajarnya.
Semoga pendidikan yang berkualiti terus membuka lebih banyak peluang kepada anak-anak Johor untuk membina masa depan yang lebih baik, seterusnya melahirkan generasi yang mampu menyumbang kepada kemajuan negeri. Insya-Allah.
Allah Peliharakan Sultan Allah Berkati Johor Kepada Allah Kita Berserah
#BangsaJohor #MajuJohor #JohorBersih #JohorSelamat #XtifJohor
Menjunjung titah DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor atas segala pandangan, nasihat dan teguran yang menjadi pedoman kepada Kerajaan Negeri untuk terus menambah baik penyampaian serta memastikan setiap perancangan diterjemahkan kepada hasil yang benar-benar dapat dirasai rakyat.
Saya bersama barisan EXCO Kerajaan Negeri Johor menerima amanah ini dengan penuh rasa tanggungjawab. Segala pandangan, teguran dan dorongan terhadap usaha yang telah dilaksanakan bukanlah alasan untuk kami berasa selesa kerana masih banyak keperluan rakyat dan cabaran pembangunan yang perlu ditangani.
Kerajaan Negeri akan terus dinilai berdasarkan kerja, prestasi dan keberkesanan pelaksanaan. Keutamaan kami kekal untuk memperkukuh ekonomi, menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan, menambah baik kemudahan asas serta memelihara kebajikan seluruh Bangsa Johor.
Pada masa yang sama, kepentingan serta hak Johor akan terus diperjuangkan, manakala hubungan profesional dan baik dengan Kerajaan Persekutuan akan terus dipelihara demi memastikan agenda pembangunan neger dapat dilaksanakan dengan sebaiknya.
Tanggungjawab kami sebagai pemimpin Johor adalah untuk terus bekerja dan berkhidmat dengan menjaga kestabilan serta memastikan kemajuan Johor dapat diteruskan. Insya-Allah.
Allah Peliharakan Sultan
Allah Berkati Johor
Kepada Allah Kita Berserah
#BangsaJohor #MajuJohor #JohorBersih #JohorSelamat #XtifJohor
Syukur Alhamdulillah, saya berpeluang melancarkan Pelan Transformasi Ekonomi Negeri Johor (JETP), sebuah pelan strategik yang menjadi landasan penting menuju Maju Johor 2030. Menerusi JETP, Johor menyasarkan KDNK RM260 bilion, 200,000 peluang pekerjaan baharu serta 100,000 pekerjaan berpendapatan premium menjelang tahun 2030.
JETP bukan sekadar sebuah pelan ekonomi, tetapi hala tuju pembangunan negeri yang akan menjadi pemangkin kepada aspirasi Maju Johor 2030. Dalam menjayakan aspirasi ini, tiada daerah yang akan ditinggalkan dan tiada komuniti yang akan dipinggirkan. Limpahan pembangunan bukan sahaja tertumpu di Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ), malah akan diperluaskan di kesemua 10 daerah di negeri ini, agar limpahan manfaatnya dinikmati oleh seluruh Bangsa Johor.
Saya turut menyeru seluruh pemegang taruh merangkumi Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri, pihak berkuasa tempatan, agensi kerajaan, pemain industri, institusi pendidikan serta seluruh Bangsa Johor untuk terus berganding bahu dan bergerak sebagai satu pasukan. Kejayaan Johor bukan bergantung kepada satu pihak, tetapi kepada komitmen bersama dalam merealisasikan agenda pembangunan negeri.
Di kesempatan ini juga, saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak yang telah menyumbang idea, kepakaran dan komitmen dalam merangka serta menjayakan Pelan Transformasi Ekonomi Negeri Johor ini.
Semoga segala usaha yang dilaksanakan menerusi JETP dapat mempercepat pembangunan di seluruh Johor, memperkukuh potensi setiap daerah serta memastikan manfaat pertumbuhan ekonomi dapat dirasai oleh seluruh Bangsa Johor. Insya-Allah.
Allah Peliharakan Sultan
Allah Berkati Johor
Kepada Allah Kita Berserah
#BangsaJohor #MajuJohor #JETP #JSSEZ #JTDC
Menjunjung kasih Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor, atas sokongan dan keprihatinan berterusan terhadap agenda pembangunan Orang Muda Johor.
Syukur Alhamdulillah, saya berpeluang beramah mesra dan bersantai bersama Orang Muda Johor di TMIYC Muar, selain turut hadir dalam Program Sarapan Bersama Orang Muda Johor di Pitstop Tangkak.
Program seperti ini menjadi platform penting untuk Kerajaan Negeri mendengar sendiri suara, pandangan dan cadangan anak muda, khususnya berkaitan peluang pekerjaan, pembangunan bakat, pendidikan, keusahawanan, ekonomi setempat serta hala tuju Johor dalam menghadapi perubahan ekonomi yang semakin pesat.
Kerajaan Negeri akan terus memperkasa agenda belia dengan menyediakan lebih banyak peluang, inisiatif dan ruang pembangunan untuk anak muda. Semangat Maju Johor bukan hanya tertumpu di kawasan tertentu, tetapi memastikan kemajuan dirasai di setiap daerah melalui peluang pekerjaan, peningkatan kemahiran, pertumbuhan perniagaan tempatan dan limpahan ekonomi kepada rakyat.
Justeru, saya menyeru seluruh Orang Muda Johor agar bersedia, meningkatkan kemahiran dan berani merebut segala peluang yang sedang diwujudkan di negeri ini. Insya-Allah, dengan semangat, keberanian dan kesungguhan anak muda, masa depan Johor yang lebih makmur, maju dan berdaya saing akan terus dibina bersama.
Allah Peliharakan Sultan
Allah Berkati Johor
Kepada Allah Kita Berserah
#BangsaJohor #MajuJohor #XtifJohor #OrangMudaJohor #OMJ
Memahami tekanan kos sara hidup yang dihadapi Bangsa Johor disebabkan keadaan ekonomi global yang tidak menentu, sukacita ingin saya kongsikan Kerajaan Negeri telah memperuntukkan lebih RM30 juta bagi pelaksanaan Bantuan Bakul Kasih Johor yang akan memanfaatkan lebih 550,000 keluarga yang memerlukan di seluruh negeri Johor.
Bantuan bakul makanan ini merangkumi keperluan asas seperti beras, tepung gandum, sardin, gula dan barangan dapur lain yang penting untuk membantu meringankan perbelanjaan harian keluarga penerima.
Inisiatif Bakul Kasih Johor ini disalurkan sebagai salah satu usaha kecil untuk membantu meringankan beban, khususnya kepada mereka yang benar-benar memerlukan.
Dalam lawatan saya ke daerah Tangkak dan Muar, saya berkesempatan turun padang menyampaikan Bantuan Bakul Kasih Johor ini. Semoga bantuan kecil ini dapat meringankan sedikit beban perbelanjaan harian keluarga penerima.
Insya-Allah, Kerajaan Negeri akan terus berusaha menjaga kebajikan rakyat dengan sebaiknya, agar setiap keluarga Bangsa Johor dapat hidup dalam keadaan yang lebih makmur dan sejahtera.
Allah Peliharakan Sultan
Allah Berkati Johor
Kepada Allah Kita Berserah
#BangsaJohor #MajuJohor #JohorBersih #JohorSelamat #XtifJohor
Syukur Alhamdulillah, saya telah mempengerusikan Mesyuarat Penyelarasan Bantuan Kasih Johor (BKJ) Fasa Keempat bagi meneliti dan menambah baik proses penyerahan bantuan kepada penerima, khususnya bagi kategori yang melibatkan jumlah penerima yang besar seperti warga emas dan suri rumah.
Kerajaan Negeri mengambil maklum setiap pandangan dan maklum balas yang diberikan. Sehubungan itu, beberapa langkah penambahbaikan akan dilaksanakan segera bagi memastikan bantuan ini dapat disampaikan dengan lebih teratur, mudah dan selesa kepada penerima. Antaranya termasuklah:
1. Tempoh penyerahan BKJ dilanjutkan sehingga 28 Jun 2026 bagi memberi lebih ruang dan masa kepada penerima;
2. Jumlah kaunter juga akan ditambah mengikut nisbah penerima di setiap lokasi. Bagi lokasi yang melibatkan lebih 3,000 penerima, sekurang-sukarangnya 35 kaunter semakan dan 35 kaunter bayaran akan disediakan. Manakala bagi lokasi yang melibatkan 2,000 penerima ke bawah, sekurang-kurangnya 10 kaunter semakan dan 10 kaunter bayaran akan disediakan. Kaunter aduan/pertanyaan juga akan disediakan;
3. Tempoh operasi turut akan dilanjutkan sehingga 12 jam, khususnya bagi daerah Johor Bahru, bagi mengurangkan kesesakan serta memberi lebih keselesaan kepada penerima, terutamanya warga emas;
4. Ruang menunggu juga akan disediakan di lokasi yang mempunyai jumlah penerima tinggi supaya penerima dapat menunggu dengan lebih selesa sebelum proses semakan dibuat;
5. Bagi memudahkan proses semakan dan bayaran, penerima hanya perlu membawa kad pengenalan untuk tujuan semakan sebelum bayaran dibuat;
6. Wakil waris terdekat dibenarkan untuk mengambil bantuan bagi pihak penerima yang tidak berupaya hadir. Sekiranya tiada waris, pihak Kerajaan Negeri akan turun ke rumah penerima yang layak untuk menyerahkan bantuan tersebut;
7. Southern Volunteers akan digerakkan bagi membantu warga emas atau OKU yang hadir;
8. Permohonan rayuan akan dibuka bermula 1 Julai 2026 bagi memberi peluang kepada mereka yang layak tetapi belum tersenarai untuk membuat semakan dan permohonan semula.
Saya sedar dan insaf bahawa setiap bantuan yang disampaikan membawa harapan kepada penerima, khususnya mereka yang benar-benar memerlukan. Insya-Allah, Kerajaan Negeri akan terus memperbaiki dan menambah baik proses pelaksanaan dari semasa ke semasa. Semoga usaha penambahbaikan ini dapat melancarkan lagi proses penyerahan BKJ agar manfaatnya benar-benar sampai kepada Bangsa Johor.
Allah Peliharakan Sultan
Allah Berkati Johor
Kepada Allah Kita Berserah
#BangsaJohor #MajuJohor #JohorBersih #JohorSelamat #XtifJohor
Kerajaan Negeri Johor mengecam sekeras-kerasnya tindakan tidak bertanggungjawab pihak yang mewujudkan akaun TikTok palsu menggunakan nama dan imej KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dengan kandungan yang jelas bersifat biadab dan menghina institusi Diraja.
Perbuatan memanipulasi wajah Seri Paduka Baginda menggunakan teknologi AI, memuat naik tuduhan palsu serta menggambarkan imej yang menjatuhkan maruah Tuanku adalah satu penghinaan yang amat serius. Ia bukan sahaja mencemar nama baik Seri Paduka Baginda sebagai Ketua Negara dan Raja Melayu beragama Islam, malah menyentuh sensitiviti umat Islam serta menggugat adab dan tata susila rakyat Malaysia terhadap institusi Raja-Raja Melayu.
Kerajaan Negeri Johor tidak akan sesekali berkompromi dengan mana-mana pihak yang menghina KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim. Kebebasan bersuara tidak boleh dijadikan alasan untuk menyebarkan fitnah, kebencian dan penghinaan terhadap institusi Diraja.
Sehubungan itu, Kerajaan Negeri menggesa pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mengambil tindakan segera, tegas dan sekeras-kerasnya terhadap individu atau pihak yang terlibat, termasuk dalang di sebalik akaun palsu tersebut.
Saya juga menyeru seluruh rakyat, khususnya Bangsa Johor, agar tidak menyebarkan kandungan palsu tersebut dan segera melaporkan kepada pihak berkuasa sekiranya menemui sebarang hantaran yang bersifat menghina institusi Diraja.
Semoga Allah SWT sentiasa melindungi KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim serta memelihara institusi Diraja daripada segala fitnah dan niat jahat.
Allah Peliharakan Sultan
Allah Berkati Johor
Kepada Allah Kita Berserah
#BangsaJohor #MajuJohor #JohorBersih #JohorSelamat #XtifJohor
Syukur Alhamdulillah, lebih RM2.48 juta Bantuan Kasih Johor (BKJ) Fasa 4 telah disalurkan bagi DUN Machap melibatkan hampir 12,000 penerima daripada pelbagai kategori sebagai sebahagian daripada usaha berterusan Kerajaan Negeri membantu meringankan beban kos sara hidup Bangsa Johor.
Semasa balik ke kawasan, saya berpeluang menyampaikan sendiri bantuan ini kepada warga Machap, Simpang Renggam. Melihat senyuman, rasa syukur dan reaksi para penerima amat menyentuh hati saya. Antara kategori penerima BKJ Fasa 4 yang disantuni:
1. BKJ Warga Emas (60 tahun ke atas) melibatkan 7,079 penerima;
2. BKJ Suri Rumah melibatkan 1,867 penerima;
3. BKJ Pasangan Baru Berkahwin melibatkan 806 pasangan;
4. BKJ Southern Volunteers melibatkan 731 penerima;
5. BKJ Jawatankuasa Masjid dan Surau melibatkan 673 penerima;
6. BKJ Murid OKU Bersekolah dan OKU Tidak Bersekolah melibatkan 330 penerima;
7. BKJ Anak Yatim melibatkan 197 penerima; dan
8. BKJ Ketua Isi Rumah Miskin (e-Kasih) melibatkan 31 penerima; dan banyak lagi.
Melihat kegembiraan para penerima ini menjadi satu amanah besar buat saya dan seluruh kepimpinan Kerajaan Negeri untuk terus bekerja kuat memastikan hasil negeri dapat dipulangkan semula kepada rakyat.
Saya juga sedar dan insaf, masih ada mereka yang mungkin belum tergolong dalam mana-mana kategori bantuan buat masa ini. Namun, dengan kemampuan yang ada pada ketika ini, inilah usaha yang sedang kita lakukan secara berperingkat, sebaik mungkin dan sedaya upaya.
Marilah sama-sama kita berdoa agar Johor terus dilimpahi rezeki yang berkat dan berpanjangan agar lebih banyak bantuan dapat disalurkan kepada mereka yang benar-benar memerlukan. Semoga dipermudahkan segala urusan. Insya-Allah.
Allah Peliharakan Sultan
Allah Berkati Johor Kepada Allah Kita Berserah
#BangsaJohor #MajuJohor #OHMachap #SimpangRenggam #BantuanKasihJohor #BKJ
Makanan Sedap, Harga Berpatutan dan Bersih
Syukur Alhamdulillah, dalam usaha mengurangkan beban kos sara hidup rakyat, Kerajaan Negeri Johor melaksanakan projek rintis di Medan Niaga Kampung Melayu Majidi melalui pengenalan Baucer Kasih Johor bernilai RM200 yang memberi manfaat kepada seramai 3,349 Ketua Isi Rumah (KIR). Inisiatif ini turut diperkukuh dengan pelaksanaan Menu Kasih Johor, yang menawarkan pelbagai pilihan makanan dan minuman pada harga berpatutan berkonsepkan “Makanan Sedap, Harga Berpatutan dan Bersih”.
Usaha ini merupakan pendekatan Kerajaan Negeri dalam memperkukuhkan ekosistem ekonomi rakyat dan membantu peniaga tempatan. Intervensi di Medan Niaga ini melibatkan pelbagai penambahbaikan merangkumi aspek kebersihan, keselamatan, fasiliti awam serta pemantauan kualiti makanan dengan kerjasama Johor Chef Association (JCA).
Medan Niaga ini menempatkan sebanyak 147 unit premis merangkumi bazar, pasar basah, lot makanan dan minuman, bilik sejuk, ruang niaga pelbagai guna (MCS) serta kedai serbaneka. Antara langkah utama yang dilaksanakan ialah pemberian diskaun 50% kadar sewaan kepada semua peniaga bermula November 2025 hingga Disember 2026 sebagai usaha membantu memperkukuhkan ekonomi peniaga tempatan.
Kerajaan Negeri komited untuk memperluaskan pelaksanaan inisiatif ini ke seluruh Negeri Johor secara berfasa melalui kerjasama bersama semua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT). Model pembangunan Medan Niaga Kampung Melayu Majidi ini akan dijadikan rujukan dalam usaha memperkasa medan niaga yang lebih sistematik, progresif dan berdaya saing di setiap daerah.
Semoga inisiatif ini bukan sahaja meringankan perbelanjaan harian masyarakat, tetapi turut memperkukuh ekonomi peniaga kecil, menghidupkan komuniti setempat dan meningkatkan kesejahteraan rakyat secara menyeluruh. Insya-Allah.
Allah Peliharakan Sultan
Allah Berkati Johor
Kepada Allah Kita Berserah
#BangsaJohor #MajuJohor #JohorBersih #JohorSelamat #XtifJohor