DIRGAHAYU TUANKU!
Merafak sembah dengan ucapan setinggi-tinggi tahniah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Tuanku pada 1 Jun 2026 bersamaan 15 Zulhijjah 1447H.
Sembah takzim daripada Patik dan seluruh Bangsa Johor.
DAULAT TUANKU!
Allah Peliharakan Sultan
Allah Berkati Johor
Kepada Allah Kita Berserah
#BangsaJohor #MajuJohor #JohorBersih #JohorSelamat #XtifJohor
Bismillahirrahmanirrahim.
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam Maju Johor.
Saya ingin memaklumkan bahawa saya telah menghadap Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor, pada hari ini, 1 Jun 2026.
Sehubungan itu, atas titah perkenan Duli Yang Amat Mulia Pemangku Sultan Johor, watikah pembubaran Dewan Negeri Johor Darul Ta’zim Kelima Belas telah diperkenankan berkuat kuasa pada 1 Jun 2026. Ini selaras dengan peruntukan Fasal 23 Bahagian Kedua Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor 1895.
Pembubaran ini dibuat bagi memberi laluan kepada proses demokrasi melalui Pilihan Raya Negeri Johor, tertakluk kepada penetapan rasmi oleh Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia.
Keputusan ini dibuat dengan niat untuk memastikan rakyat Bangsa Johor terus memiliki sebuah kerajaan yang stabil dan kukuh.
Saya menyeru kepada semua parti politik, pemimpin dan penyokong agar menghadapi proses demokrasi ini dengan penuh adab, tertib dan berhemah. Sama-samalah kita menjaga keharmonian dan kemuafakatan Bangsa Johor.
Semoga Allah SWT memelihara negeri Johor, melindungi rakyatnya serta terus mengurniakan kestabilan, kemakmuran dan keberkatan kepada negeri ini.
Muafakat Itu Berkat
Kepada Allah Kita Berserah
Allah Peliharakan Sultan
Sekian, wabillahi taufiq wal hidayah, wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Bismillahirrahmanirrahim.
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarokatuh.
Salam Sejahtera dan Salam Maju Johor.
Saya mengambil maklum pandangan, suara dan harapan rakyat Johor serta kepimpinan akar umbi UMNO dan Barisan Nasional Johor berhubung hala tuju parti menjelang Pilihan Raya Negeri yang akan datang.
Selepas berbincang dengan pucuk pimpinan parti, saya dengan rasa penuh insaf dan tanggungjawab menyatakan bahawa Barisan Nasional Johor akan bertanding di semua 56 kerusi Dewan Undangan Negeri pada Pilihan Raya Negeri akan datang.
Bagi UMNO dan Barisan Nasional Johor, pendirian untuk bertanding di 56 kerusi DUN adalah tawaran yang jelas kepada rakyat bahawa kami bersedia untuk terus membentuk sebuah kerajaan yang stabil, kuat dan berkhidmat sepenuhnya kepada pembangunan negeri serta kesejahteraan Bangsa Johor.
Semoga Allah SWT sentiasa merahmati dan melindungi negeri Johor yang kita cintai ini.
Allah Peliharakan Sultan
Allah Berkati Johor
Kepada Allah Kita Berserah
Dato’ Onn Hafiz Ghazi
Pengerusi Barisan Nasional Negeri Johor
#BangsaJohor #MajuJohor #JohorBersih #JohorSelamat #XtifJohor
Menjunjung kasih Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor atas cetusan ilham Program Infaq Jumaat Johor yang terus menyemarakkan budaya memberi, memperkukuh semangat kebersamaan dan menyantuni masyarakat tanpa mengira latar belakang.
Syukur Alhamdulillah, sebanyak 1,043 masjid dan surau Jumaat di seluruh negeri Johor terlibat dalam pelaksanaan Program Infaq Jumaat Johor, sekali gus memperkasa peranan masjid sebagai pusat kebajikan, perpaduan dan pemakmuran rumah Allah SWT. Bagi tahun 2026, Kerajaan Negeri telah memperuntukkan sebanyak RM26.9 juta untuk menjayakan program ini, yang dilaksanakan di setiap DUN pada setiap hari Jumaat.
Pada kesempatan ini, saya berpeluang menunaikan Solat Jumaat bersama para jemaah di Masjid Jamek Gelang Patah, serta menyantuni dan mengagihkan makanan hasil infaq kepada masyarakat setempat termasuk keluarga besar Bangsa Johor daripada pelbagai kaum dan agama yang turut sama menerima manfaat.
Sesungguhnya, nilai memberi dan saling membantu ini mencerminkan kekuatan sebenar Bangsa Johor. Program Infaq Jumaat Johor bukan sahaja membantu golongan yang memerlukan, malah mengeratkan hubungan antara kaum serta menyemai nilai keprihatinan dan perpaduan dalam kalangan rakyat negeri ini.
Firman Allah SWT dalam Surah Al-Baqarah, ayat 261:
“Perumpamaan bagi orang yang mendermakan hartanya di jalan Allah seperti sebutir biji yang menumbuhkan tujuh tangkai, pada setiap tangkai ada seratus biji. Allah melipatgandakan bagi sesiapa yang Dia kehendaki, dan Allah Maha Luas, lagi Maha Mengetahui.”
Marilah kita bersama-sama menyokong dan menyemarakkan amalan berinfaq agar lebih ramai yang dapat dibantu. Semoga usaha ini menjadi asbab turunnya rahmat dan keberkatan Allah SWT kepada negeri Johor serta terus memperkukuh perpaduan dalam kalangan Bangsa Johor. Insya-Allah.
Allah Peliharakan Sultan
Allah Berkati Johor
Kepada Allah Kita Berserah
#BangsaJohor #MajuJohor #InfaqJumaatJohor #InfaqJumaat #RapatkanSaf
Saya telah turun padang meninjau sendiri keadaan semasa Jambatan Sungai Pulai, laluan penting yang bukan sahaja memudahkan perjalanan pengguna antara Kukup dan beberapa lokasi lain, tetapi juga dapat menaikkan taraf sosioekonomi kawasan setempat di Pontian dan Johor Bahru.
Jambatan ini telah siap dan dibuka kepada pengguna pada 18 Januari 2023. Namun, audit teknikal oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) mendapati berlaku mendapan serius melebihi 300mm dalam tempoh kurang enam bulan, sekali gus menjejaskan keselamatan dan keselesaan pengguna jalan raya.
Untuk makluman, punca utama isu ini adalah ketidakstabilan struktur tanah serta kaedah pembinaan asal menggunakan sistem ringan EPS (Expanded Polystyrene System) yang kurang sesuai dengan keadaan sebenar tapak.
Oleh itu, Kerajaan Negeri telah meminta pihak JKR dan pemaju untuk melaksanakan kaedah pembaikan yang lebih kukuh bagi memastikan laluan ini benar-benar selamat dan stabil untuk jangka masa panjang dan insya-Allah, kerja pembaikan dijangka akan bermula pada Jun 2026, dengan sasaran siap sepenuhnya pada 2027.
Saya ingin menasihatkan semua pengguna jalan raya agar sentiasa berhati-hati ketika melalui laluan ini selain mematuhi arahan keselamatan yang ditetapkan. Semoga usaha pembaikan ini dapat disiapkan mengikut masa yang ditetapkan demi keselamatan dan keselesaan semua pengguna. Insya-Allah.
Allah Peliharakan Sultan
Allah Berkati Johor
Kepada Allah Kita Berserah
#BangsaJohor #MajuJohor #JohorBersih #JohorSelamat #XtifJohor