Penghargaan setingginya kepada Presiden Xi Jinping yang memetakan Malaysia dalam kunjungan yang tidak kecil maknanya terutamanya kini di era yang mengasak ke arah kekacauan dan keberantakan.
China tidak hadir untuk menekan tetapi untuk bertaut ikatan yang sedia terjalin kurun lamanya, selain meneroka ruang serta peluang baru untuk memperkuat persahabatan.
Di pihak Malaysia, kita akan lakukan sedaya mungkin untuk menyemangati maksud dan iltizam ini atas nama keluarga besar Asia dan ASEAN demi kekuatan dan kestabilan rantau.
🇲🇾🇨🇳
#MalaysiaMADANI
#MADANIBekerja
Sebelum mengakhiri kunjungan ke Sarawak, saya singgah ke Majlis Ramah-Tamah dan Rumah Terbuka Aidilfitri anjuran Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat di Wisma SABATI.
Saya senang hati melihat rakyat Sarawak berbilang kaum meraikan Aidilfitri sebagai sebuah keluarga besar. Semangat kekeluargaan itu jelas terpancar dalam senyuman dan sapaan mesra daripada tetamu yang hadir.
Saya sempat beramah mesra dengan orang ramai dan bertanya khabar mereka, selain menjamu selera bersama teman-teman dan tetamu yang hadir dengan menikmati juadah tradisi yang membawa nostalgia setiap kali Syawal menjelma.
Terima kasih buat warga Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat atas sambutan yang cukup meriah dan bermakna. Semoga Aidilfitri terus menjadi wadah memperkukuh ikatan kita sebagai sebuah keluarga besar Malaysia, Insya-Allah.
#MalaysiaMADANI
#MADANIBekerja
Usai mesyuarat pembangunan, saya ke Stadium Perpaduan untuk meraikan Syawal bersama warga Bumi Kenyalang dalam Majlis Sambutan Aidilfitri MADANI 2025. Gembira melihat kemeriahan Aidilfitri diraikan bersama rakyat pelbagai kaum yang menggambarkan keutuhan perpaduan di Sarawak.
Sambutan Aidilfitri ini membawa makna yang lebih besar kerana ia ruang untuk kita bermaafan, merapatkan silaturahim, dan mengukuhkan hubungan antara kaum dan agama.
Dalam ucapan, saya menyentuh perkembangan kemajuan Sarawak yang cukup pantas ketika ini. Di pentas antarabangsa, Sarawak dilihat sebagai wilayah yang berpotensi besar sebagai hab tenaga serantau. Sumbangan negeri ini kepada kekuatan ekonomi negara amat besar, dan ia membanggakan kita semua.
Sarawak menampilkan satu model pembangunan yang teguh, dengan pelaburan infrastruktur yang jauh lebih besar berbanding negeri lain, menggunakan dana negeri sendiri. Ini tidak berlaku secara kebetulan, tetapi hasil sistem politik yang stabil, kepimpinan berwawasan, serta semangat untuk mencungkil bakat dan memperkukuh pentadbiran.
Dunia hari ini tidak menentu tatkala ekonomi global terjejas akibat dasar tarif yang diputuskan secara sepihak. Dalam keadaan begini, kita perlu perkukuh daya tahan dan daya saing negara melalui pendidikan berkualiti, latihan kemahiran, dan pendekatan baharu dalam ekonomi.
Saya gembira melihat perkembangan positif di Sarawak dalam banyak bidang termasuk pendidikan, penyelidikan dan industri tenaga. Malah, inisiatif seperti pembangunan Hospital Kanser Kuching, yang didahulukan dana oleh Kerajaan Negeri, menunjukkan komitmen luar biasa untuk kebajikan rakyat.
Alhamdulillah, perkembangan positif Sarawak ini menyuntik keyakinan kepada saya bahawa jika semangat yang sama disemai di seluruh negara, Insya-Allah Malaysia akan terus melangkah ke hadapan dengan gagah dan bermaruah.
#MalaysiaMADANI
#MADANIBekerja
Pagi tadi saya berangkat ke Kuching, Sarawak bagi menyusun beberapa perencanaan terkait pembangunan di negeri ini. Usai tiba, saya terus ke Wisma Bapa Malaysia untuk mempengerusikan Mesyuarat Khas Pembangunan Negeri Sarawak.
Turut hadir Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Dr Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg; Timbalan Perdana Menteri, Dato Sri Fadillah Yusof; serta barisan pimpinan Kerajaan Persekutuan dan Negeri.
Dalam mesyuarat ini, saya menegaskan keperluan agar seluruh jentera kerajaan baik di peringkat Persekutuan mahupun Negeri untuk bersiap siaga berdepan ketidaktentuan ekonomi global, khususnya susulan pengumuman tarif oleh Amerika Syarikat.
Segala perancangan harus segera diterjemah kepada pelaksanaan demi memperkukuh daya tahan dalaman ekonomi negara terhadap sebarang kejutan atau tindakan luar yang mengganggu kelangsungan kita.
Saya turut mendengar pembentangan berkaitan Pelan Hala Tuju Gas Sarawak serta insentif cukai Bank Pembangunan Sarawak yang berpotensi memperkukuh ekonomi negeri dan menjana limpahan manfaat kepada rakyat Sarawak, dan Malaysia secara keseluruhan.
Mesyuarat turut membincangkan hala tuju serta keutamaan projek-projek pembangunan di Sarawak agar diselaraskan dengan perancangan Persekutuan. Semoga usaha bersama ini terus menyuburkan kemakmuran dan kesejahteraan buat seluruh warga Bumi Kenyalang.
#MalaysiaMADANI
#MADANIBekerja
Lawatan rasmi saya ke Thailand membuka lembaran baharu dalam memperkukuh hubungan dua hala Malaysia–Thailand. Dalam pertemuan bersama PM @ingshin, kami sepakat mempererat kerjasama dalam bidang perdagangan, pelaburan dan pembangunan wilayah bersempadan.
Isu Myanmar turut menjadi agenda utama. Saya mengambil peluang bertemu SAC dan NUG Myanmar serta kumpulan penasihat tidak rasmi kepada Pengerusi ASEAN bagi mendengar secara langsung pandangan semua pihak, dengan matkamat mempermudah akses kemanusiaan yang amat mendesak dan menghentikan keganasan secara menyeluruh.
Saya tekankan keperluan pendekatan yang berprinsip, inklusif dan berlandaskan nilai kemanusiaan sejagat. Malaysia selaku Pengerusi ASEAN akan terus menyumbang secara konstruktif ke arah penyelesaian yang lebih mampan dan bermaruah untuk rakyat Myanmar di bawah kerangka ASEAN.
Saya turut bertemu pelabur utama dan captain of industries Thailand, bagi menarik pelaburan berkualiti tinggi ke Malaysia. Hubungan ekonomi serantau yang kukuh adalah kunci kemakmuran bersama.
====
My official visit to Thailand marked a new chapter in strengthening Malaysia–Thailand relations. In my meeting with Prime Minister Paetongtarn Shinawatra, we committed to enhancing bilateral efforts in trade, investment, border security, and the development of our shared border regions.
The Myanmar crisis was also a central focus. I held discussions with the SAC, NUG, and the informal consultative group to the ASEAN Chair to hear their perspectives directly. Our goal is to facilitate urgent humanitarian access and bring an end to the ongoing violence.
I also met with leading Thai investors and captains of industry who expressed strong interest in Malaysia’s economic trajectory. We are laying the groundwork for a future where regional prosperity is shared, sustainable, and driven by high-quality, strategic investments.
🇲🇾🇹🇭
#MalaysiaMADANI
#MADANIBekerja
Kesedaran individu, tahap kefahaman dan keprihatinan terhadap isu sosial, nilai moral, dan tanggungjawab sebagai warganegara, menjadi asas kepada pembentukan masyarakat yang progresif dan negara yang sejahtera.
Saya tekankan perkara tersebut ketika berkongsi pandangan dalam Forum Ilmuwan Madani (FIM) Siri 5 malam ini, bahawa perubahan bermula dari diri sendiri sebelum mampu memberikan kesan besar kepada negara secara menyeluruh.
Elemen kesedaran dalam masyarakat ini perlu mengambil kira perubahan dunia semasa, termasuk kecanggihan teknologi seperti kecerdasan buatan (AI) yang banyak mempengaruhi masyarakat dari segi kemajuan dan gaya hidup.
Namun, teknologi ini memerlukan kawalan dan penyesuaian agar manfaatnya dapat dinikmati secara adil dan beretika.
Justeru, apabila saya mencadangkan penubuhan Fakulti AI, ia adalah satu langkah penting dan selari dengan arus perubahan dunia, yang menuntut kebersamaan semua pihak agar kita mampu dan bersedia menghadapi cabaran mendatang.
Di akhir majlis, saya menitipkan pesanan bahawa lonjakan dan perubahan adalah kunci sekiranya kita ingin membentuk sebuah negara yang benar-benar maju.
#MalaysiaMADANI
#MADANIBekerja
Hati-hati dengan mesej yang tersebar dalam WhatsApp seperti ini. Jangan klik, ini link scammer. Jika anda klik, anda akan hilang akses ke aplikasi WhatsApp anda.
Untuk maklumat sahih mengenai sebarang bentuk bantuan, sila rujuk laman rasmi Kementerian-Kementerian yang berkaitan.