Penglibatan dalam Sidang Kemuncak ASEAN ke-49 dan Sidang-Sidang Kemuncak Berkaitan di Manila, Filipina, mencerminkan komitmen Malaysia untuk terus mengamalkan dasar luar yang seimbang, memperluas jaringan kerjasama strategik serta memastikan suara dan kepentingan ASEAN terus dihormati di peringkat antarabangsa.
Hubungan yang dibina bukan sekadar untuk hari ini, tetapi menjadi asas kepada usaha berterusan menjamin keamanan, kemakmuran dan masa depan yang lebih baik untuk rakyat serta seluruh rantau ini.
#MalaysiaMADANI
#YakinMADANI
#DiplomasiMADANI
Usai Acara Kenegaraan di Kuala Lumpur, saya kini telah selamat tiba kembali ke Manila, Republik Filipina untuk menyertai acara Sidang Kemuncak ASEAN Ke-49 selebihnya sebelum berlepas ke Shenzhen, Republik Rakyat China pada malam ini untuk membawa misi negara ke Sidang Kemuncak APEC 2026.
#ASEAN49
#APEC2026
#DiplomasiMADANI
Usai acara di Bangunan Sultan Abdul Samad, saya dan Presiden @EmmanuelMacron berjalan kaki menyusuri Sungai Klang di kawasan River of Life. Kami kemudian berjalan melalui Pasar Seni hingga ke kawasan berhampiran Petaling Street.
Sepanjang perjalanan, kami sempat bertegur sapa dengan orang ramai dan melihat sendiri ragam seni dan budaya yang menjadikan kawasan ini antara tarikan pelancong di tengah-tengah Kuala Lumpur.
Langkah kami di tengah kota Kuala Lumpur menjadi penutup lawatan rasmi Presiden Macron ke Malaysia. Perjalanan saya bersambung ke Filipina untuk menghadiri beberapa acara terakhir persidangan ASEAN.
Saya menghargai kesempatan bertemu Presiden Macron hari ini dan mengeratkan lagi persahabatan kami. Semoga hubungan Malaysia dan Perancis terus berkembang, khususnya melalui pertukaran budaya dan kerjasama memelihara warisan kedua-dua negara.
Merci pour cette visite, mon ami. À bientôt !
🇲🇾🫶🇫🇷
#MalaysiaMADANI
#YakinMADANI
Saya dan Azizah meraikan Presiden Republik Perancis, @EmmanuelMacron dan isteri, Brigitte Macron, dalam majlis makan tengah hari.
Majlis turut diserikan dengan persembahan kebudayaan oleh JKKN, Permata Seni, Mind’ance Kids dan SRFA Arts and Cultural, alunan suara Anuar Zain dan Ernie Zakri serta persembahan Malaysian Philharmonic Orchestra (MPO), sekali gus menyerlahkan keindahan seni dan kekayaan warisan budaya pelbagai kaum di Malaysia.
Saya percaya persahabatan Malaysia dan Republik Perancis akan terus mekar berteraskan rasa hormat, kepercayaan dan persefahaman yang mendalam, sekali gus membuka lembaran baharu kerjasama yang lebih erat demi kesejahteraan rakyat kedua-dua negara.
🇲🇾🇫🇷
#MalaysiaMADANI
#DiplomasiMADANI
#YakinMADANI
Takziah kepada keluarga Allahyarham Muhammad Shahrul Aliff Yaacob, anggota polis yang terkorban dalam kemalangan melibatkan sebuah van polis di Sungkai, Perak hari ini.
Saya telah mengarahkan Setiausaha Politik saya, Kamil Munim, untuk menyampaikan sumbangan serta menghulurkan bantuan segera kepada waris Allahyarham dan anggota yang terlibat.
Semoga keluarga Allahyarham dikurniakan kekuatan dan ketabahan menghadapi kehilangan ini, manakala anggota polis yang cedera diberikan kesembuhan segera.
Al-Fatihah.
Usai mesyuarat dua hala, saya dan Presiden @EmmanuelMacron menyaksikan pertukaran dokumen kerjasama antara Malaysia dan Perancis:
🤝 MoU Kerjasama Peralihan Tenaga
🤝 MoU Kerjasama Mineral Kritikal
🤝 Pelan Hala Tuju Bilateral Keupayaan Pertahanan dan Kerjasama Industri Pertahanan
🤝 Perjanjian Keselamatan bagi Dokumen Sulit Kerjasama Pertahanan
🤝 LoI Pembangunan Pusat Serantau Bagi Menangani Ancaman Hibrid
🤝 LoI Perolehan Helikopter Tempur dan Penyelamat TUDM Fasa 1
🤝 MoU Kerjasama Strategik Pembangunan dan Pelaksanaan Projek SALAM
Dalam sidang media bersama, saya menyentuh usaha memperkukuh kerjasama pertahanan, perdagangan dan pelaburan. Kerjasama PETRONAS dan TotalEnergies sudah merangkumi projek berskala besar di Asia, Afrika dan Amerika Utara.
Dalam soal mineral kritikal, saya mengalu-alukan komitmen Perancis untuk bekerjasama dalam pemprosesan. Kerjasama ini mesti disertai pemindahan teknologi dan latihan supaya kita dapat membina kepakaran di Malaysia.
Saya turut mengajak Perancis menyokong pembangunan Grid Tenaga ASEAN, termasuk cadangan kabel dasar laut dari Sarawak ke Semenanjung Malaysia dan seterusnya ke Singapura.
Saya berkongsi dengan Presiden Macron rasa kagum terhadap penghormatan rakyat Perancis kepada Victor Hugo ketika pemergiannya. Begitu tinggi tempat sastera dan budsya dalam masyarakat Perancis. Saya berharap kita dapat mempererat kerjasama pertukaran ilmu dan budaya antara kedua-dua negara.
Saya menghargai ketegasan Perancis dalam menyuarakan keprihatinan terhadap penderitaan rakyat Palestin, khususnya di Gaza. Mengenai Ukraine, saya nyatakan pendirian tegas Malaysia menolak pencerobohan Rusia dan terus berdialog dengan kepimpinan negara itu.
Terima kasih Presiden Macron atas kunjungan ini. Saya amat menghargai kesediaan saudara mendengar pandangan Malaysia dan bertukar fikiran secara terbuka mengenai perkembangan dunia. Merci beaucoup.
🇲🇾🫶🇫🇷
#MalaysiaMADANI
#YakinMADANI
Kami kemudiannya mengetuai delegasi negara masing-masing dalam mesyuarat dua hala sambil mempertegaskan iltizam untuk memperkukuh hubungan Malaysia dan Republik Perancis serta mengangkat kerjasama ke tahap yang lebih tinggi.
Pertemuan ini melakar satu lagi mercu tanda penting menerusi peningkatan hubungan kepada Perkongsian Strategik, menjelang ulang tahun ke-70 hubungan diplomatik Malaysia dan Republik Perancis pada tahun hadapan.
Perbincangan memberi tumpuan kepada usaha memperluas kerjasama dalam bidang perdagangan dan pelaburan, industri pertahanan, teknologi tinggi, kecerdasan buatan (AI), semikonduktor, mineral kritikal, peralihan tenaga serta pendidikan dan pembangunan bakat, di samping mempererat hubungan kebudayaan menerusi pertukaran kesusasteraan dan pemikiran falsafah, termasuk warisan intelektual tokoh tersohor Perancis, Victor Hugo.
Malaysia juga mengalu-alukan lebih banyak pelaburan berkualiti daripada Perancis, khususnya dalam sektor berpotensi tinggi yang mampu memacu pertumbuhan ekonomi, meningkatkan daya saing negara dan membuka lebih banyak peluang pekerjaan bernilai tinggi kepada rakyat.
Kami turut menyentuh perkembangan geopolitik serantau dan antarabangsa, khususnya tragedi kemanusiaan di Palestin serta konflik di Ukraine, dengan menegaskan keperluan mendesak untuk menamatkan konflik, menegakkan keadilan dan menghormati undang-undang antarabangsa.
Saya menaruh sepenuh keyakinan bahawa persahabatan yang sekian lama terjalin ini akan terus diperkukuh, sekali gus membawa manfaat nyata kepada rakyat dan menyumbang kepada kemakmuran kedua-dua negara.
======
Malaysia and France reaffirmed a shared commitment to elevating bilateral ties through a Strategic Partnership, deepening cooperation in trade, investment, defence, technology, critical minerals and energy transition, while upholding a common resolve to advance enduring peace, regional stability and shared prosperity.
🇲🇾🇫🇷
#MalaysiaMADANI
#DiplomasiMADANI
#YakinMADANI
Pagi ini menerima kunjungan Tamu Kenegaraan, Presiden Perancis, @EmmanuelMacron di Bangunan Sultan Abdul Samad sempena lawatan rasmi beliau ke Malaysia.
Ini merupakan lawatan pertama Presiden Macron ke Malaysia sejak memegang jawatan. Sambutan ini cukup bermakna tatkala ia berlangsung di mercu bersejarah berusia lebih 100 tahun, yang menjadi sebahagian daripada perjalanan kemerdekaan negara.
Usai istiadat pemeriksaan Pasukan Kawalan Kehormatan, saya dan Presiden Macron mengadakan pertemuan empat mata selama hampir satu jam. Kami bicarakan usaha memperkukuh hubungan dua hala Malaysia-Perancis, di samping bertukar pandangan mengenai perkembangan geopolitik serta isu lain yang menyentuh kepentingan bersama.
🇲🇾🤝🇫🇷
#MalaysiaMADANI
#YakinMADANI
Sewaktu sidang media bersama pengamal media Malaysia yang membuat liputan Sidang Kemuncak ASEAN ke-49 di Manila, saya berkongsi beberapa perkembangan penting hasil pertemuan dan perbincangan sepanjang persidangan.
Ini termasuklah hubungan dua hala dengan negara sahabat serta usaha memperkukuh kerjasama serantau dalam bidang tenaga, perdagangan, kecerdasan buatan (AI), keselamatan siber dan pembangunan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).
Kami turut bertukar pandangan mengenai isu Laut China Selatan, perkembangan di Myanmar serta ketegangan geopolitik antarabangsa. Malaysia kekal berpegang kepada prinsip Kepusatan ASEAN dengan mengutamakan dialog, persefahaman dan penyelesaian secara aman bagi memastikan rantau ini terus stabil dan selamat.
Saya menghargai komitmen Filipina selaku Pengerusi ASEAN tahun ini dalam memastikan perbincangan berlangsung secara substantif dan membuahkan kemajuan. ASEAN harus terus memperkukuh kesatuan, meningkatkan kerjasama dan memastikan manfaatnya dapat dirasai oleh seluruh rakyat di rantau ini.
#MalaysiaMADANI
#YakinMADANI
#DiplomasiMADANI
Dalam Sidang Kemuncak ASEAN–Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) ke-16 di Manila, saya menggariskan keperluan menterjemahkan Pelan Tindakan ASEAN-PBB 2026–2030 kepada hasil yang nyata, khususnya dalam peralihan hijau dan digital, daya tahan iklim serta pembangunan mampan.
Saya turut menggesa agar pembaharuan PBB dilaksanakan dengan lebih berani, termasuk pemansuhan kuasa veto yang sekian lama membelenggu Majlis Keselamatan PBB daripada bertindak secara adil dan berkesan. ASEAN juga mesti terus mempertahankan prinsip Kepusatan ASEAN serta keluhuran undang-undang antarabangsa dalam mendepani persaingan geopolitik yang semakin mencabar.
Mengenai Palestin, Malaysia mengecam sekeras-kerasnya kekejaman berterusan, pemindahan paksa dan kebuluran yang menimpa rakyat Palestin. Kita menuntut gencatan senjata segera dan berkekalan, penyaluran bantuan kemanusiaan tanpa halangan, perlindungan terhadap petugas kemanusiaan serta keanggotaan penuh Palestin dalam PBB.
#MalaysiaMADANI
#YakinMADANI
#DiplomasiMADANI
Lima tahun Perkongsian Strategik Komprehensif ASEAN-Australia menjadi landasan penting untuk membawa hubungan ini ke tahap lebih tinggi, dengan kerjasama yang lebih konkrit, seimbang dan berpaksikan kepentingan bersama.
Malaysia melihat ruang yang luas untuk memperluas kerjasama dalam perdagangan dan pelaburan, keselamatan tenaga, peralihan iklim serta transformasi digital. Usaha membangunkan rantaian bekalan dan nilai serantau yang lebih berdaya tahan, khususnya dalam sektor mineral kritikal, juga perlu diberi keutamaan melalui pemindahan teknologi, pelaburan dan pembangunan kepakaran agar manfaat kemakmuran dapat dikongsi secara lebih saksama.
Dalam menghadapi cabaran serantau dan antarabangsa, ASEAN dan Australia perlu terus memperkukuh multilateralisme, menghormati undang-undang antarabangsa serta meningkatkan kerjasama dalam menangani ancaman keselamatan siber dan risiko kecerdasan buatan (AI).
Ini saya tekankan sewaktu Sidang Kemuncak ASEAN-Australia dan Malaysia turut menyuarakan kebimbangan terhadap konflik di Asia Barat yang semakin meruncing, termasuk serangan ke atas Arab Saudi, serta menggesa agar usaha diplomatik dipergiat bagi meredakan ketegangan dan menangani punca sebenar konflik.
🇲🇾 🇦🇺
#MalaysiaMADANI
#YakinMADANI
#DiplomasiMADANI
Malaysia menekankan kepentingan memperkukuh perdagangan dan pelaburan, memperluas kerjasama dalam bidang kecerdasan buatan (AI) dan ekonomi digital serta meningkatkan usaha bersama membanteras jenayah rentas sempadan, khususnya penipuan dalam talian.
Itu saya tekankan di Sidang Kemuncak ASEAN-Republik Korea (ASEAN-ROK) ke-27, selain membincangkan hala tuju hubungan dialog serta kerjasama strategik antara ASEAN dan Republik Korea.
Malaysia turut menyokong pendekatan dialog berterusan dan penyelesaian secara aman bagi menjamin keamanan serta kestabilan di Semenanjung Korea. Komitmen ini mencerminkan pendirian Malaysia untuk terus memperkukuh kerjasama serantau dan hubungan antarabangsa demi kepentingan bersama.
🇲🇾 🇰🇷
#MalaysiaMADANI
#YakinMADANI
#DiplomasiMADANI
Dalam pertemuan bersama Premier Li Qiang, saya merakamkan penghargaan atas sambutan mesra serta layanan baik sepanjang lawatan saya ke Hangzhou dan Shanghai, yang mencerminkan eratnya hubungan persahabatan antara Malaysia dan China.
Saya turut menzahirkan penghargaan terhadap kemajuan kerjasama dua hala dalam pelbagai bidang serta komitmen bersama untuk terus memperluas ruang kerjasama yang membawa manfaat kepada kedua-dua negara.
Saya juga menantikan penyertaan Malaysia dalam Sidang Kemuncak APEC di Shenzhen pada 18 hingga 19 November ini, termasuk Sidang Kemuncak CEO APEC yang akan dihoskan oleh Presiden Xi Jinping. Saya berharap pertemuan ini akan terus membuka peluang baharu untuk memperkukuh kerjasama ekonomi dan hubungan Malaysia-China.
🇲🇾 🇨🇳
#MalaysiaMADANI
#YakinMADANI
#DiplomasiMADANI
Sewaktu pertemuan dengan rakan sejawat dari Laos, Saleumxay Kommasith, di sela-sela Sidang Kemuncak ASEAN ke-49, saya mengucapkan tahniah atas pelantikan beliau sebagai Perdana Menteri bulan lalu. Pertemuan ini turut menjadi ruang untuk memperkukuh hubungan dua hala, lebih-lebih lagi ketika Malaysia dan Laos meraikan 60 tahun hubungan diplomatik.
Perbincangan memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh kerjasama ekonomi dan perdagangan, termasuk dalam bidang tenaga boleh baharu, infrastruktur, pengangkutan dan logistik. Jumlah perdagangan dua hala bagi Januari hingga Ogos 2026 meningkat 28.7 peratus kepada AS$55.9 juta.
Kami turut bersetuju mempergiat kerjasama melalui penganjuran Mesyuarat Suruhanjaya Bersama bagi Kerjasama Dua Hala (JCBC) ke-4 di Vientiane pada 2027, selain meneruskan usaha memuktamadkan kerjasama dalam bidang pendidikan tinggi dan pelancongan.
🇲🇾 🇱🇦
#MalaysiaMADANI
#YakinMADANI
#DiplomasiMADANI
Dalam Sidang Kemuncak ASEAN-China ke-29, saya menegaskan komitmen Malaysia untuk terus memperkukuh hubungan strategik ASEAN-China yang tahun ini memasuki ulang tahun ke-35 hubungan dialog dan ulang tahun ke-5 Perkongsian Strategik Komprehensif.
Saya menyambut baik kemajuan kemajuan pelaksanaan ACFTA 3.0 yang membuka lebih peluang perdagangan dan pelaburan
khususnya kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).
Kerjasama ini juga perlu diperluas dalam bidang ekonomi digital, AI, pemindahan teknologi, pembangunan kemahiran serta peralihan tenaga bersih.
Malaysia juga kekal komited terhadap rundingan Kod Tatalaku di Laut China Selatan (COC) bagi menjamin keamanan dan kestabilan serantau. Saya turut menegaskan pendirian Malaysia terhadap kekejaman yang berterusan ke atas rakyat Palestin, khususnya di Gaza, serta keperluan untuk mencari penyelesaian yang adil dan berkekalan.
Malaysia juga menghargai sumbangan China dalam membantu usaha kemanusian dan pembinaan semula Gaza.
🇲🇾 🇨🇳
#MalaysiaMADANI
#YakinMADANI
#DiplomasiMADANI
Dalam Sesi Pemukiman Sidang Kemuncak ASEAN ke-49, saya berkongsi pendekatan Malaysia dalam menangani kemelut Myanmar, khususnya melalui penglibatan langsung dan dialog berterusan dengan semua pihak bagi mencari jalan penyelesaian yang lebih berkesan.
Pertemuan dengan kepimpinan Myanmar di Bangkok dan Beijing, disusuli lawatan rasmi Min Aung Hlaing ke Malaysia pada Oktober lalu, merupakan sebahagian daripada usaha ini. Pendekatan tersebut tidak sekali-kali mengetepikan kerangka ASEAN dan Konsensus Lima Perkara (5PC), sebaliknya membuka ruang untuk menyampaikan pendirian serta harapan kita secara terus, di samping menangani isu dua hala, termasuk kebajikan rakyat Myanmar di Malaysia.
Saya turut berkongsi perbincangan bersama Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Marco Rubio, yang antara lain menyentuh perkembangan di Myanmar. Ini memperlihatkan keperluan untuk meneruskan usaha diplomatik dengan pelbagai pihak bagi mencari penyelesaian kepada kemelut tersebut.
Perbincangan turut menyentuh ancaman jenayah penipuan rentas sempadan serta potensi kerjasama dalam bidang kecerdasan buatan (AI).
Dalam soal tenaga, saya menggesa agar pelaksanaan Jaringan Grid Tenaga ASEAN dipercepat bagi memenuhi permintaan yang semakin meningkat, khususnya daripada sektor ekonomi digital dan pusat data, di samping memperkukuh keterjaminan bekalan tenaga serantau.
#MalaysiaMADANI
#YakinMADANI
#DiplomasiMADANI
Seusai hari pertama Sidang Kemuncak ASEAN ke-49, saya mengadakan pertemuan dengan Presiden Asian Development Bank (ADB), Masato Kanda bagi membincangkan perkembangan ekonomi serantau serta peluang memperluas kerjasama pembangunan dan pelaburan.
Saya menyambut baik kemajuan usaha penubuhan pejabat ADB di Malaysia termasuk proses memuktamadkan Host Country Agreement.
Kehadiran ADB dijangka membuka lebih banyak peluang dalam pembangunan infrastruktur peralihan tenaga dan pembiayaa sektor swasta.
Saya turut menggalakkan ADB meneroka peluang baharu menyusuli pembiayaan dalam sektor kitar semula serta komitmen pelaburan bagi pembangunan pusat data.
Malaysia menghargai peranan ADB sebagai rakan pembangunan penting dan berharap hubungan ini terus diperkukuh bagi menyokong pertumbuhan ekonomi yang mampan serta membawa manfaat nyata kepada rakyat.
#MalaysiaMADANI
#YakinMADANI
#DiplomasiMADANI
Malaysia akan terus mengamalkan dasar luar yang seimbang, berpandukan kepentingan negara serta komitmen memperkukuh kesatuan dan peranan ASEAN di tengah-tengah landskap geopolitik yang semakin mencabar.
Dalam aspek ekonomi, usaha menarik pelaburan dan membawa masuk projek berkualiti perlu bergerak seiring dengan tadbir urus yang baik, integriti serta ketegasan membanteras rasuah dan penyalahgunaan kuasa.
Itulah antara perkara yang saya tekankan ketika berucap pada majlis makan malam di Kedutaan Malaysia di Manila, selepas menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-49. Malaysia bukan sahaja mahu dikenali sebagai sebuah ekonomi yang dinamik dan berdaya saing, tetapi juga sebagai negara yang menjunjung tinggi integriti, keadilan dan amanah demi memastikan kemakmuran dapat dinikmati seluruh rakyat.
#MalaysiaMADANI
#YakinMADANI
#DiplomasiMADANI
Sewaktu Sesi Plenari Sidang Kemuncak ASEAN ke-49 di Manila, saya menekankan peri pentingnya memperkukuh kesatuan, Kepusatan ASEAN dan autonomi strategik dalam mendepani perubahan landskap geopolitik serta ketidaktentuan ekonomi global.
Berpandukan Visi Komuniti ASEAN 2045, rantau ini perlu terus memperkukuh integrasi ekonomi dan memastikan manfaat pembangunan dapat dinikmati seluruh rakyat.
Saya turut menggariskan kepentingan memperluas kerjasama dalam ekonomi digital, tadbir urus kecerdasan buatan (AI), keterjaminan makanan dan bekalan ubat-ubatan serta mempercepat pembangunan ASEAN Power Grid ke arah jaminan bekalan tenaga yang mampan dan berdaya tahan. Malaysia juga mengangkat kepentingan diplomasi sains, pemeliharaan biodiversiti dan usaha menangani isu jerebu rentas sempadan.
Dalam hubungan dengan rakan luar, saya menegaskan bahawa ASEAN perlu terus berpegang pada prinsip Perjanjian Persahabatan dan Kerjasama (TAC), di samping mengekalkan hubungan yang seimbang dan konstruktif dengan semua kuasa besar. Pendekatan ini penting bagi memastikan kepentingan strategik rantau ini terus terpelihara.
#MalaysiaMADANI
#YakinMADANI
#DiplomasiMADANI
Sidang Kemuncak ASEAN ke-49 turut memberikan ruang untuk saya meluangkan masa bersama Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien dan DYTM Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Mateen.
Pertemuan dalam suasana mesra ini mencerminkan ikatan persahabatan dan persaudaraan yang erat antara Malaysia dan Brunei Darussalam. Insya-Allah, ikatan istimewa ini akan terus dipelihara dan diperkukuh demi kepentingan serta kemakmuran bersama kedua-dua negara.
🇲🇾 🇧🇳
#MalaysiaMADANI
#YakinMADANI
#DiplomasiMADANI